Kelate.net

15 Minit Terlalu Lama

Kemaskini pada June 15, 2015 / Oleh Webmaster


ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!
Pasukan ambulans memeriksa Oniya yang tiba-tiba rebah ketika perlawanan di Stadium Sultan Muhammad Ke IV.

Kuala Terengganu: “Mungkin dia (David Faramola Oniya) boleh selamat jika dihantar dan mendapat rawatan lebih cepat di hospital,” kata Ketua Pegawai Operasi T-Team Mohd Syahrizan Mohd Zain berhubung kematian mengejut mendiang Oniya di padang pada perlawanan persahabatan antara T-Team dan Kelantan, kelmarin.

Mohd Syahrizan berkata, beliau terkilan apabila penghantaran Oniya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu mengambil masa 15 minit sedangkan ia terletak bersebelahan stadium.

“Pemandu ambulans yang bertugas berada jauh dari kenderaan dan difahamkan turut sama menyaksikan perlawanan itu di tempat duduk penyokong.

“Kita bukan mahu mencari kesalahan mana-mana pihak, tetapi kita terkilan kerana Oniya juga lambat menerima rawatan daripada pegawai perubatan yang sepatutnya ditempatkan di mana-mana stadium tidak kira pada perlawanan sebenar atau persahabatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak menduga insiden seperti itu berlaku, tetapi pemandu ambulans tidak sepatutnya berada di tempat duduk penyokong dan sekali gus mengambil masa untuk sampai ke kenderaannya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat berkata, pihaknya akan menghantar secepat mungkin mayat mendiang kapten T-Team ke negara asalnya di Nigeria.

Beliau berkata, pihaknya sudah berhubung dengan bapa mendiang di Nigeria dan isterinya yang kini berada di Uzbekistan serta akan berbincang dengan kedutaan Nigeria bagaimana proses penghantaran pulang ke negaranya.

“Hasil bedah siasat mendapati pemain ini mengalami masalah komplikasi jantung. Mayat mendiang masih lagi berada di Kota Bharu dan saya sudah mengarahkan kepada pengurusan T-Team supaya menguruskan segalanya termasuk menanggung kos penghantaran pulang.

Pertahanan T-Team, Oniya rebah sebelum meninggal dunia ketika beraksi perlawanan persahabatan dengan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, kelmarin dan pemain berusia 30 tahun itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.05 malam kelmarin.

www.hmetro.com.my

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.

Sokongan Kami Zaman Berzaman