Kelate.net

Amutu Sanggup ‘Menderita’ Demi Kelantan

Kemaskini pada May 23, 2015 / Oleh Webmaster


ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!
Austin Amutu

KOTA BHARU – Penyerang Kelantan, Austin Amutu bersedia untuk melupakan kesakitan yang dialaminya akibat kecederaan hamstring demi mahu membantu pasukannya merangkul Piala FA.

Kemahuan tingginya itu membuatkan penyerang dari Nigeria itu menyimpan harapan iaitu jurulatih The Red Warriors, Mohd. Azraai Khor Abdullah akan memberi peluang kepadanya untuk beraksi dalam perlawanan itu biarpun dia belum pulih sepenuhnya.

“Bagaimanapun, semua itu terpulang kepada perancangan jurulatih dan saya bersedia untuk mengikut segala arahan.

“Jika ditanya mahu beraksi atau tidak, jawapannya saya mahu dan sedia untuk memberi aksi terbaik dalam perlawanan itu nanti,” katanya.

Katanya lagi, ini adalah detik bersejarah buat dirinya sejak menyarung jersi Kelantan sebulan lalu.

Pintu perpindahan pemain pada April lalu nyata membawa tuah kepada Kelantan apabila kehadiran penyerang bawah 23 tahun dari Nigeria itu berjaya memberikan impak yang cukup besar dengan menyelesaikan masalah ketumpulan jentera serangan pasukan berkenaan.

Amutu dibawa masuk bagi menggantikan penjaring terbanyak Liga Super Indonesia, Emmanuel Kenmogne yang ditamatkan kontrak akibat prestasi hambar yang diperagakan dalam saingan musim ini.

Nama Amutu segera meniti di bibir penyokong The Red Warriors berikutan persembahan serta kemahiran tinggi yang dipamerkan dalam setiap perlawanan.

Pemain itu menjadi watak penting buat Kelantan apabila dua jaringannya pada minit ke-75 dan di waktu kecederaan dalam perlawanan separuh akhir kedua membolehkan Kelantan mengetepikan Pahang untuk melayakkan diri ke pentas final buat kali kelima dengan agregat 3-2.

Amutu memberitahu, dia bertekad untuk meledak jaringan dalam pertemuan dengan Lions XII hari ini seterusnya membantu Kelantan merangkul kejuaraan Piala FA musim ini.

Katanya, dua jaringan yang dihasilkan ketika menyingkirkan Pahang menjadi motivasi kepadanya untuk memberi aksi terbaik pada perlawanan itu nanti.

“Saya akan memberikan aksi terbaik sekiranya mendapat kepercayaan jurulatih dalam perlawanan itu nanti.

“Ini peluang terbaik saya untuk membuktikan kemampuan sebenar dengan membantu Kelantan merangkul kejuaraan Piala FA,” ujarnya.

www.utusan.com.my

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.

Sokongan Kami Zaman Berzaman