Kelate.net

Apek Dinasihat Segera Kahwin

Kemaskini pada January 5, 2012 / Oleh Webmaster


ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan Islam amat menggalakkan golongan muda yang berkemampuan untuk berkahwin demi menjaga maruah diri dan mengelak hubungan sosial melampaui batas.

KOTA BHARU – Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek yang pernah dilanda pelbagai kontroversi peribadi, dinasihat segera mendirikan rumahtangga agar kehidupan peribadinya lebih terkawal.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Islam amat menggalakkan golongan muda yang berkemampuan untuk berkahwin demi menjaga maruah diri dan mengelak hubungan sosial melampaui batas.

“Saya nasihatkan Khairul Fahmi agar cepat-cepat kahwin, Islam menyebut mana-mana orang muda yang berkemampuan untuk kahwin maka hendaklah menyegerakannya.

“Perkahwinan memudahkan kita mengawal pandangan mata, mengelak melihat perempuan dan isteri orang dan ia juga penting untuk menjaga maruah,” katanya.

Nik Abdul Aziz berkata demikian selepas majlis penyerahan kunci rumah kepada Khairul Fahmi di Taman Kurnia Jaya di sini, semalam.

Penyerahan banglo setingkat bernilai RM200,000 itu genap setahun selepas Nik Abdul Aziz menjanjikan hadiah rumah daripada kerajaan negeri buat Khairul Fahmi selepas membantu Malaysia muncul juara Piala Suzuki AFF 2010.

Dalam masa sama, Nik Abdul Aziz menyatakan rasa bangga atas kejayaan Khairul Fahmi yang kini mendahului senarai Pemain Terbaik Asia bawah 23 oleh laman web sukan terkenal, Goal.com dengan undian melebihi 74 peratus, selain turut disenaraikan sebagai salah seorang Penjaga Gol Terbaik.

Beliau mahu generasi muda di negeri ini menjadikan Khairul Fahmi sebagai idola dan menanamkan azam untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang seperti pemain bola sepak.

“Kita hargai kecemerlangan anak muda dan memberikan hadiah penghargaan sebagai rangsangan seperti yang kita berikan sebelum ini kepada pelajar cemerlang, Nik Nor Madihah Nik Mohd Kamal dan hari ini kepada Khairul Fahmi pula,” katanya.

Sementara itu, Khairul Fahmi ketika ditemui tidak menolak saranan tersebut namun, menyerahkannya kepada takdir dan jodoh.

Bapanya, Che Mat Hussein, 59, pula berpandangan, Khairul Fahmi perlu memberi fokus kepada kerjayanya terlebih dahulu sebelum mendirikan soal berumahtangga.

“Biarlah dia stabil dahulu, tapi kalau ada calon saya harap dapat menantu yang berasal dari negeri ini juga,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih atas hadiah rumah banglo tersebut yang akan didudukinya bersama isteri, Bidah Ibrahim, 55; Khairul Fahmi dan anak bongsu mereka.

Katanya, ini adalah kali pertama keluarga mereka akan tinggal di rumah sendiri setelah berpindah randah dari sebuah rumah sewa ke rumah sewa lain selama lebih 20 tahun.

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.

Sokongan Kami Zaman Berzaman