Info Sukan Malaysia

Topik info mengenai kejohanan sukan-sukan lain di Malaysia

Re: Info Sukan Malaysia

Postby arifkelate » Mon Mar 09, 2009 9:16 am

Hajat Anuar sertai Azad University tercapai

SETELAH tertangguh sejak September tahun lepas, impian pelumba basikal lebuh raya kebangsaan, Anuar Manan untuk menyertai pasukan yang berpangkalan di Iran, Azad University Cycling Team akhirnya tercapai.

Pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu akan bersama-sama pasukan yang berstatus benua itu pada perlumbaan Tour of Thailand pada 4 hingga 9 April depan.

"Sememangnya saya gembira kerana ia tertangguh disebabkan masalah penajaan yang dialami oleh pasukan itu, namun ia telah pun diselesaikan awal tahun ini," katanya semalam.

Anuar berkata, dia akan cuba memberikan persembahan terbaik pada kejohanan itu kerana ia melibatkan banyak laluan yang landai, sekali gus memberikan kelebihan kepada pelumba pecut sepertinya.

Pelumba berusia 23 tahun itu berkata, apa yang lebih penting, ini merupakan peluang terbaik untuknya menyertai sebanyak mungkin perlumbaan pada peringkat antarabangsa bagi meningkatkan lagi kemahirannya.

"Ia juga peluang untuk membuktikan saya masih lagi merupakan antara pelumba tempatan terbaik setelah gagal mempamerkan persembahan yang mantap pada Le Tour de Langkawi (LTdL) yang berakhir 15 Februari lepas," kata Anuar yang menjuarai perlumbaan kriterium Singapura pada 22 Februari lalu.

"Walaupun bakal menyarung jersi pasukan Iran itu selama setahun hingga April tahun depan, saya tetap boleh mewakili pasukan kebangsaan apabila mereka tiada sebarang kejohanan," katanya.

Anuar berkata, setelah kecewa pada LTdL bulan lepas, antara tumpuan utamanya ialah untuk mempertahankan gelaran Raja Pecut Jelajah Malaysia pada kejohanan yang berlangsung penghujung April depan.

Dia mempunyai pencapaian yang hebat pada perlumbaan Jelajah Malaysia kerana berjaya memenangi jersi hijau (Raja Pecut) sejak dua tahun lalu ketika mewakili pasukan LeTua.

Selain Anuar, dua pelumba kebangsaan iaitu Ahmad Hai- dar Anuawar dan Loh Sea Keong kini mewakili pasukan yang berpangkalan di China, Trek Marco Polo selepas berakhirnya LTdL.


arifkelate
Pemain Sekolah Menengah
Pemain Sekolah Menengah
 
Posts: 267
Joined: Thu Jun 19, 2008 3:59 pm
Location: kajang-pengkalan chepa

Re: Info Sukan Malaysia

Postby arifkelate » Mon Mar 09, 2009 9:17 am

Pendekatan baru SIC

GRAND Prix Formula Satu (F1) Petronas Malaysia 2009 yang akan meraikan edisi ke-11 bulan depan memasuki era baru apabila penganjur perlumbaan, Sepang International Circuit (SIC) mempromosikan acara F1 dengan pendekatan berbeza kali ini.

Jurucakap SIC, Azhar Ghazali berkata, menerusi beberapa pendekatan baru, SIC mahu menonjolkan litar itu bukan hanya sekadar litar perlumbaan tetapi juga sebagai gelanggang hiburan.

Ketika ditemui semasa siri jelajah F1 di Gurney Plaza, Pulau Pinang semalam, beliau berkata, dengan matla- mat untuk mendekatkan peminat F1 dan SIC, antara program baru yang dilakukan bagi meningkatkan keghairahan peminat dan penonton sukan pemotoran berprestij itu termasuklah sesi perjumpaan dengan pelumba F1 bagi membolehkan peminat mendapatkan autograf pemandu pada sesi khas di kawasan penonton.

Azhar yang juga bekas pegawai akhbar dan kini Pengurus Bahagian Pener- bitan SIC berkata, beberapa peminat bertuah turut berpeluang mengambil bahagian dalam pertandingan khas go- kart dengan pasukan F1 serta lawatan eksklusif ke garaj pit F1.

"Peminat juga berpeluang merasakan sendiri pengalaman berada di litar dengan menaiki bas dan elemen yang dimuatkan dalam perlumbaan F1 ini akan menjadi asas bagi acara perlum- baan lain yang dianjurkan oleh litar ini," katanya.

Litar Sepang akan menjadi tuan rumah pusingan kedua 17 siri perlumbaan F1 mulai 3 hingga 5 April depan. Pusingan pertama perlumbaan musim ini akan berlangsung di Litar Albert Park, Melbourne pada 29 Mac ini.

Juara termuda F1, Lewis Hamilton daripada pasukan McLaren Mercedes akan mempertahankan kejuaraannya dan bakal menghadapi saingan sengit daripada Kimi Raikkonen dan Felipe Massa dari pasukan Ferrari dan juara dua kali Fernando Alonso dari Renault.

Azhar berkata, sasaran SIC bagi perlumbaan F1 kekal pada jumlah 120,000 penonton di hari perlumbaan.

"Jualan tiket pada masa ini agak rendah berbanding tahun-tahun sebelum ini berikutan kegawatan ekonomi tetapi kami yakin dengan pembelian tiket pada saat akhir menjelang hari perlumbaan," katanya.

Beliau berkata, buat pertama kali SIC menawarkan sebuah kereta sports - Mazda RX8 bernilai RM232,000 sebagai hadiah untuk dimenangi pembeli tiket F1 bertuah.

Azhar berkata, litar itu akan dibuka secara percuma kepada peminat untuk menyaksikan sesi latihan pada 3 April.

Pulau Pinang menjadi negeri ketiga siri jelajah F1 selepas pusat membeli- belah Pavillion Kuala Lumpur dan City Square di Johor Baru, dan venue seterusnya ialah di pusat membeli-belah One Utama di Petaling Jaya hujung minggu depan.

Tiket perlumbaan berharga serendah RM100 boleh dibeli menerusi laman web www.sepangcircuit.com atau menghubungi TICKET HOTLINE di nombor 03-87782222.

Para peminta juga boleh mendapatkan tiket di Litar Sepang, pejabat tiket di KL Sentral Kuala Lumpur dan semasa siri jelajah F1.


arifkelate
Pemain Sekolah Menengah
Pemain Sekolah Menengah
 
Posts: 267
Joined: Thu Jun 19, 2008 3:59 pm
Location: kajang-pengkalan chepa

Re: Info Sukan Malaysia

Postby arifkelate » Mon Mar 09, 2009 9:19 am

Amerika cabar atlet Jamaica

FLORIDA - Pasukan olahraga Amerika Syarikat bersedia untuk mencabar kewibawaan atlet pecut dari Jamaica.

Menurut Ketua Eksekutif Persatuan Trek dan Padang Amerika, Doug Logan, pihaknya kini sedang merancang untuk mengadakan siri perlumbaan membabitkan atlet pecut dari Amerika dan Jamaica.

Untuk rekod, Jamaica merupakan kuasa utama bagi acara pecut masa kini dengan rekod dunia 100 dan 200 meter menjadi milik atlet dari negara itu.

"Saya adalah antara jutaan penonton yang terpukau dengan penguasaan pelari pecut dari Jamaica pada Sukan Olimpik di Beijing tahun lalu," jelas Logan dalam suratnya kepada pegawai Jamaica, Teddy McCook.

"Ia jelas kepada semua pihak bahawa negara Jamaica adalah kuasa bagi acara pecut dan berpagar."

Logan merancang untuk mengadakan siri perlumbaan tersebut di selatan Amerika pada Mei depan sebelum aksi kedua di Jamaica, Jun nanti.

Dalam laporan itu, Logan mencadangkan agar pertemuan tersebut membabitkan Asafa Powell menentang Justin Gatlin, Veronica Camp- bell-Brown menentang Allyson Felix dan Usain Bolt menentang Tyson Gay.

Pada Sukan Olimpik Ogos lalu, Jamaica memenangi empat pingat emas acara pecut.

Bolt muncul pelari paling berjaya apabila menguasai acara 100 dan 200m dengan catatan rekod baru.

Dia bersama-sama Powell turut membantu kuartet 4x100 Jamaica untuk memenangi emas dengan rekod baru dunia. - AP


arifkelate
Pemain Sekolah Menengah
Pemain Sekolah Menengah
 
Posts: 267
Joined: Thu Jun 19, 2008 3:59 pm
Location: kajang-pengkalan chepa

Re: Info Sukan Malaysia

Postby arifkelate » Mon Mar 09, 2009 9:21 am

Hajat besar tak tergapai

REALITI pertentangan jelas lebih sengit, tetapi keputusan di akhirnya tetap tidak berubah ketika Lee Chong Wei tumbang kepada jaguh China, Lin Dan pada final perseorangan lelaki badminton Seluruh England, malam tadi.

Chong Wei menjelmakan segala yang terdaya pada kemunculan sulungnya di aksi kemuncak kejohanan berprestij itu, tetapi dipaksa akur kecundang 19-21, 12-21 selepas bertarung selama 41 minit.



Kejayaan itu juga mengukuhkan kelebihan psikologi milik Lin Dan ke atas Chong Wei dengan kejayaan terbaru di Arena Tertutup Nasional Birmingham itu menuruti kejayaan final Sukan Olimpik, Ogos lalu dan Terbuka China, empat bulan lalu.

Gambaran awal set pertama lagi menampakkan keperitan terpaksa ditanggung Chong Wei, apabila Lin Dan menguasai gelanggang buat memungut tujuh mata berturut-turut dan membuka jurang kelebihan 8-2.

Namun Chong Wei mempamer corak persembahan penuh sabar buat memaksa Lin Dan membuat beberapa kesilapan dan berjaya hampir 9-11. Saingannya lebih sengit selepas itu dan Chong Wei berjaya mendahului - buat kali pertama - pada kedudukan 19-17.

Tetapi jaguh China itu mengubah corak dengan lebih menyerang sebelum pukulan smash yang sekadar dilihat Chong Wei menjelmakan reaksi gembira Lin Dan ketika mengesahkan kemenangan 21-19 selepas 20 minit.

Awal set kedua lebih hampir, tetapi Lin Dan jelas terus mendominasi. Selepas mendahului 11-8 dan 14-12, juara dunia itu langsung mengunci Chong Wei dengan pungutan tujuh mata berturut-turut buat mengesahkan kejuaraan.

Ia adalah gelaran Seluruh England keempat Lin Dan dalam tempoh enam tahun ketika Chong Wei, di sebalik kemampuan layak ke final buat julung kali, terus dipaksa menanti.


arifkelate
Pemain Sekolah Menengah
Pemain Sekolah Menengah
 
Posts: 267
Joined: Thu Jun 19, 2008 3:59 pm
Location: kajang-pengkalan chepa

Re: Info Sukan Malaysia

Postby arifkelate » Mon Mar 09, 2009 9:22 am

Skuad hoki remaja kini cergas kembali

ELEMEN kecergasan yang menjadi bahan perdebatan bagi skuad hoki remaja kebangsaan jelas memberi petanda positif ketika ini andai berpandu kepada kata-kata jurulatih, K Rajan, semalam.

Pengendali itu membuat andaian itu berdasarkan pencapaian terpuji ketika seri 3-3 menentang bekas juara remaja dunia, Pakistan dalam siri persahabatan antarabangsa di Johor Bahru, kelmarin.



“Rata-rata pemain saya sudah meningkat daripada segi kecergasan dalam perlawanan ini. Ini mungkin daripada latihan keras selama sembilan hari di Pulau Pinang, bulan lalu yang banyak membantu meningkatkan tahap permainan pasukan.

“Tetapi aksi dengan Pakistan adalah perlawanan kompetitif pertama sejak Januari lalu dan terdapat beberapa situasi pemain terperangkap kerana tidak bersedia.

“Oleh itu saya berharap kelemahan ini akan dapat kami atasi apabila berdepan Pakistan dalam aksi persahabatan kedua esok (hari ini). Saya percaya kami mampu mengatasinya,” kata Rajan ketika dihubungi semalam.

Namun, Rajan masih belum berpuas hati dengan aksi anak buahnya kerana masih terdapat ruang untuk diperbaiki.

Aksi persahabatan dengan Pakistan adalah persiapan terakhir buat pasukan remaja sebelum memulakan saingan di Kejohanan Empat Penjuru bermula Rabu ini sehingga 15 April ini di Johor Bahru.

Pasukan lain yang bakal menyertai kejohanan itu ialah Singapura, India dan juga Pakistan. Kejohanan itu juga adalah antara persiapan skuad negara sebelum beraksi pada Piala Dunia Remaja di Johor Bahru, Jun ini.

Antara pemain tonggak dalam skuad negara kini ialah pemain pertahanan, Ahmad Kazmirul Nasruddin, perancang tengah, R Nadesh serta penyerang, Harvinder Singh.


arifkelate
Pemain Sekolah Menengah
Pemain Sekolah Menengah
 
Posts: 267
Joined: Thu Jun 19, 2008 3:59 pm
Location: kajang-pengkalan chepa

Re: Info Sukan Malaysia

Postby arifkelate » Mon Mar 09, 2009 9:23 am

Piala Monsun pentas akhir WMRT

KEJOHANAN kapal layar Piala Monsun 2009 di Pulau Duyung, Kuala Terengganu yang memasuki edisi kelima pada 1 sehingga 6 Disember ini sekali lagi menjadi pentas siri terakhir pelayar handalan dunia untuk merangkul kejuaraan World Match Racing Tour (WMRT).

Sejumlah 12 pasukan termasuk pasukan negara dijangka beradu kemahiran dan kecekapan pada kejohanan itu.

Penasihat kejohanan, Datuk Peter Gilmour berkata, sebagai acara pemanas sebelum kejohanan bermula, satu pertandingan membabitkan penyertaan kelab pelayaran seluruh negara akan diadakan pada November ini bagi memilih pasukan yang akan mewakili Malaysia ke kejohanan berprestij itu.



“Sudah sampai masanya Malaysia mempunyai pasukan hebat yang sama-sama mampu memberi cabaran kepada pasukan handalan luar negara.

“Saya yakin jika ada usaha bersungguh-sungguh di kalangan kelab pelayaran, Malaysia mampu melahirkan pasukan terkuat dan digeruni lawan,” katanya ketika ditemui di majlis Makan Tengah Hari Bersama Media Tempatan di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa di Pulau Duyung, semalam.

Gilmore berkata, meskipun sudah empat tahun pasukan tempatan mengambil bahagian dalam kejohanan itu, prestasi mereka masih jauh ketinggalan, baik dari segi pengalaman mahu pun kemahiran mengawal dan mengemudi kapal layar.


arifkelate
Pemain Sekolah Menengah
Pemain Sekolah Menengah
 
Posts: 267
Joined: Thu Jun 19, 2008 3:59 pm
Location: kajang-pengkalan chepa

Re: Info Sukan Malaysia

Postby arifkelate » Mon Mar 09, 2009 9:25 am

Nicol 'tumbang tepat waktunya'

NICOL David tampak perlu menunggu lebih lama sebelum mengaut kesempatan berikutnya untuk bangkit daripada detik kecewa gagal mempertahankan mahkota kejuaraan selepas tewas dalam final Terbuka Skuasy Kuala Lumpur CIMB, kelmarin.

Kehilangan rekod tanpa kalah kepada Natalie Grainger jelas menyusul pada saat kurang selesa bagi pemain nombor satu dunia itu ketika kemelesetan yang melanda ekonomi global dan tidak banyak kejohanan yang dijadualkan buat jelajah profesional wanita.



Nicol, 26, jelas harus meneliti kalendar skuasy antarabangsa semula bagi mengetahui penampilan seterusnya.

“Tiada apa (kejohanan) yang disahkan setakat ini. Matlamat saya adalah untuk menyertai 10 kejohanan setiap tahun,” katanya mengenai perancangan seterusnya.

Nicol yang berbangga dengan rentetan 56 kemenangan sebelum ini dijangka akan memburu gelaran pertama di Terbuka Seoul, Jun ini.

Tetapi dia tidak akan menggunakan masa rehat itu untuk bersantai, sebaliknya akan sibuk dengan kempen mempromosi skuasy ke Sukan Olimpik 2016 menjelang sesi pemilihan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

“Saya adalah salah seorang daripada duta bagi pergerakan sedunia untuk menyenaraikan skuasy dalam Olimpik. Ia adalah salah satu daripada perkara sampingan yang saya lakukan selain mempopularkan laman web www.squashstars.com.”

Kekalahan Nicol kepada Grainger, pemain Amerika Syarikat itu bukan saja menandakan tamatnya rentetan tanpa kalahnya sejak November 2007 tetapi juga simbolik sebagai tamatnya penganjuran Terbuka KL pada tahun depan di Berjaya Times Square berikutan keputusan pusat membeli belah itu untuk tidak meneruskan penajaan gelanggang bagi edisi 2010.

Lebih perit, belum ada kata muktamad daripada penaja, CIMB menyambung kontrak RM1.5 juta setahun itu yang amat diperlukan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) menganjurkan kejohanan itu dan juga Terbuka Malaysia.


arifkelate
Pemain Sekolah Menengah
Pemain Sekolah Menengah
 
Posts: 267
Joined: Thu Jun 19, 2008 3:59 pm
Location: kajang-pengkalan chepa

Re: Info Sukan Malaysia

Postby arifkelate » Mon Mar 09, 2009 9:27 am

Impian Anuar tercapai

IMPIAN pelumba berbasikal lebuh raya kebangsaan, Anuar Manan menyertai Azad University Cycling Team - pasukan yang berpangkalan di Iran - akhirnya tercapai selepas ia tertangguh sejak September, tahun lalu.

Pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu akan bersama-sama pasukan yang berstatus benua itu pada perlumbaan Jelajah Thailand dari 4 sehingga 9 April ini sebagai kejohanan pertama.

“Sememangnya saya gembira kerana ia tertangguh disebabkan masalah penajaan yang dialami oleh pasukan itu. Namun, ia sudah pun diselesaikan awal tahun ini,” katanya, semalam.



Pelumba berusia 23 tahun itu berkata apa yang lebih penting, ini adalah peluang terbaik menyertai sebanyak mungkin perlumbaan di peringkat antarabangsa bagi meningkatkan lagi kemahirannya.

“Ia juga peluang untuk membuktikan saya masih lagi antara pelumba tempatan terbaik selepas gagal mempamerkan persembahan mantap pada Le Tour de Langkawi (LTdL) yang berakhir 15 Februari lalu,” kata Anuar yang menjuarai perlumbaan kriterium Singapura pada 22 Februari lalu.

“Walaupun bakal menyarung jersi pasukan Iran itu selama setahun sehingga April tahun depan, saya tetap boleh mewakili pasukan kebangsaan apabila mereka tiada sebarang kejohanan,” katanya.

Anuar berkata selepas kecewa pada LTdL bulan lalu, antara tumpuan utama adalah mempertahankan gelaran raja pecut Jelajah Malaysia pada kejohanan yang berlangsung penghujung April ini. - Bernama


arifkelate
Pemain Sekolah Menengah
Pemain Sekolah Menengah
 
Posts: 267
Joined: Thu Jun 19, 2008 3:59 pm
Location: kajang-pengkalan chepa

Re: Info Sukan Malaysia

Postby arifkelate » Mon Mar 09, 2009 9:28 am

Pro & Kontra: Keganasan kembali gugat sukan

SUKAN menjadi pencetus kepada keamanan seperti ditunjukkan menerusi perlawanan bola sepak persahabatan tetapi tiba-tiba dunia dikejutkan dengan serangan terhadap pasukan kriket Sri Lanka di Lahore, Pakistan.

Saya terkejut dengan kejadian, Selasa lalu yang mengorbankan enam anggota polis dan dua orang awam, serta mencederakan 19 yang lain, termasuk tujuh pemain dan seorang jurulatih warga Britain.

Jelas keganasan bukan saja berlaku di kalangan ahli sukan, peminat dan penonton dalam acara sukan yang lebih membabitkan sesama mereka tetapi kini menular ke jalan raya dan tempat awam. Mujur nasib menyebelahi pemain kriket Sri Lanka kerana tiada pemain yang terkorban.



Saya bersetuju dengan media dalam dunia kriket, Khamis lalu yang menganggap kejadian itu sebagai ‘hari paling gelap bagi kriket’ dan mencetuskan persoalan mengenai masa depan sukan itu yang disifatkan tamparan kedua terbesar selepas pembunuhan bekas Presiden Benazir Bhutto.

Di Indonesia pula, New Zealand yang dijadualkan mengadakan jelajah perlawanan bola sepak persahabatan di negara Asia Tenggara, terpaksa membatalkan lawatan ke Jakarta atas nasihat kerajaan Indonesia kerana 1 April bertembung dengan hari pilihan raya di negara republik itu.

Bagaimana pula senario dalam negara? Saya terkejut dengan insiden penyokong pada perlawanan Liga Super di antara Selangor dan Kelantan di Stadium Shah Alam, hujung minggu lalu sehingga memaksa Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa meminta penyokong negeri itu menjaga disiplin, tidak kira di mana sekalipun.

Dalam konteks ini, keganasan bukan saja mencacatkan imej bola sepak negara tetapi bimbang akan membawa padah lebih besar.


arifkelate
Pemain Sekolah Menengah
Pemain Sekolah Menengah
 
Posts: 267
Joined: Thu Jun 19, 2008 3:59 pm
Location: kajang-pengkalan chepa

Re: Info Sukan Malaysia

Postby arifkelate » Mon Mar 09, 2009 9:32 am

Tuanku Mizan tempat ke-6

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang menunggang kuda, Mora Anika-Hembara hanya menduduki tempat keenam daripada 17 peserta yang mengambil bahagian pada kategori 100 kilometer, Kejohanan INS-RTES-Penny Endurance 2009 di Lembah Bidong, Setiu, semalam.

Tuanku Mizan mencatat masa enam jam 59.41 saat untuk menamatkan perlumbaan yang bermula jam 5 petang, kelmarin dan berakhir, awal pagi semalam.

Dalam kategori itu, kejuaraan disandang Datuk Mohd Shuaib Ishak yang mewakili Kelab Ar-Raudah Equine Centre, Kedah dengan masa enam jam 8.27 saat bagi meraih hadiah RM3,000 dan piala.



Mohd Shuaib yang menunggang Martika-Mace berusia empat tahun pada mulanya diberi tentangan hebat peserta lain di pusingan pertama dan kedua tetapi dapat mengekalkan tunggangannya dengan baik untuk tiba di garisan penamat.

Tempat kedua dimenangi Amir Ghani Ahmad, juga dari Kelab Ar-Raudhah Equine Center yang menunggang Breeze/Gelding (6:23.10s) manakala Abdul Rahman Mohd yang menunggang Ifra Des Jamets-Gelding dari pasukan Terengganu Endurance di tempat ketiga (6:32.13s).


arifkelate
Pemain Sekolah Menengah
Pemain Sekolah Menengah
 
Posts: 267
Joined: Thu Jun 19, 2008 3:59 pm
Location: kajang-pengkalan chepa

Re: Info Sukan Malaysia

Postby arifkelate » Mon Mar 09, 2009 9:35 am

Nicol kecundang

AKSI mengejutkan ditampilkan pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David di final Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur 2009 apabila kecundang buat pertama kali dalam tempoh 17 bulan, semalam.

Nicol tewas di depan penonton sendiri yang membanjiri setiap tingkat Berjaya Times Square kepada pemain keempat dunia, Natalie Grainger dari Amerika Syarikat 11-8, 10-12, 11-7, 5-11, 11-6, sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan yang diraihnya sejak 2007.

Kekalahan ini juga menandakan 12 rekod tanpa kalah sejak Oktober 2007 dan yang kedua bagi Nicol ketika 14 kali berdepan Natalie sejak 2003. Natalie kini mencatat sejarah apabila muncul pemain Amerika pertama mengungguli kejohanan di sini.

Nicol menyifatkan Natalie sentiasa menjadi pencabar sukarnya di samping terganggu dengan beberapa masalah dalam gelanggang sepanjang perlawanan itu.

Perlawanan mereka tidak begitu lancar apabila tiga kali dihentikan seketika berikutan palang kuning di kawasan bawah gelanggang kerap tertanggal dan Nicol mengalami kecederaan pada dua jari di tangan kanannya.


“Ya, saya sedikit terganggu dan tumpuan saya juga tidak menentu. Tapi, Natalie sememangnya pesaing sukar dan dia pantas menguasai permainan pada masa yang tepat,” katanya.

Kecewa tetap menghambat diri, namun Nicol ingin segera menilai semula kesilapan dan kelemahan yang berlaku susulan kekalahan ini.

Katanya: “Saya perlu kembali berlatih, berbincang dengan jurulatih mengenai apa yang berlaku kepada permainan saya. Pastinya saya kecewa dengan prestasi saya tapi perlu segera menilai dan berusaha memperbaikinya.”

Selaku naib juara, Nicol membawa pulang wang berjumlah AS$5,771 (RM21,481) manakala Natalie pula menerima piala dan wang bernilai AS$8,122 (RM30,232) yang disampaikan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Muhriz Tuanku Munawir.

Sementara itu, juara kategori lelaki, Peter Barker merangkul kejuaraan sulungnya di Malaysia selepas kali pertama sekadar ke suku akhir di Terbuka Malaysia 2006.

Barker, pemain ke-10 dunia, tidak menghadapi masalah menumpaskan rakan sepelatih di London, Adrian Grant meskipun mengambil masa lebih 50 minit dengan 11-6, 11-2, 11-4.

“Pertemuan dengan Grant tidak mudah walaupun kami rakan sepasukan dan berlatih bersama di London. Adrian sentiasa dengan permainan pantas dan cuba menguasai ruang,” katanya yang menerima hadiah utama wang berjumlah AS$7,220 (RM26, 875).

“Jadi, saya tiada pilihan kecuali mula beraksi dengan rentak permainan yang saya kehendaki dan nampaknya cara itu berkesan ke atasnya.

“Faktor rakan sepasukan juga banyak membantu kerana saya faham dengan cara permainannya dan keadaan itu tidak begitu membuatkan saya rasa tertekan.”

Pemain berusia 26 tahun itu juga menyifatkan kejayaan ini adalah paling besar dalam karier profesionalnya. Barker kini merancang kembali ke Malaysia bagi Kejohanan Terbuka Malaysia CIMB 2009 pada Julai ini.

Tambahnya: “Sebelum ini saya tidak berpeluang menyertai Terbuka KL dan Terbuka Malaysia kerana jadual kejohanan yang bercanggah.

“Tapi dengan kekurangan kejohanan sepanjang tahun ini berikutan krisis ekonomi global, saya kemungkinan kembali ke sini untuk Terbuka Malaysia.”


arifkelate
Pemain Sekolah Menengah
Pemain Sekolah Menengah
 
Posts: 267
Joined: Thu Jun 19, 2008 3:59 pm
Location: kajang-pengkalan chepa

Re: Info Sukan Malaysia

Postby arifkelate » Mon Mar 09, 2009 9:36 am

Sazali jaga badan

TEMPOH empat bulan sebelum Sukan Dunia digunakan sepenuhnya jaguh bina badan negara, Sazali Samad, untuk memastikan prestasinya berada pada tahap terbaik sebelum beraksi di kejohanan itu.

Namun, dia masih perlu berhati-hati ketika menjalani latihan kerana enggan kecederaan otot bahunya bertambah buruk sehingga menjejaskan peluang beraksi di kejohanan yang berlangsung di Kaohsiung, Taiwan, 16 hingga 27 Julai depan.

“Kecederaan ini saya alami sejak tahun lalu dan selepas berjumpa doktor, saya dinasihatkan supaya banyak menjalani fisioterapi.

“Saya menjalani fisioterapi di Institut Sukan Negara ketika ini dan saya harap dapat pulih dengan cepat kerana kecederaan ini mengganggu latihan,” katanya.

Ini penyertaan keduanya di Sukan Dunia selepas kali pertama di Helsinki pada 1997, yang menyaksikannya merangkul gangsa.

Beraksi dalam kategori lightweight di Kaohsiung, Sazali sedar dia berdepan tugas sukar untuk menjuarai acaranya.

“Ramai atlit handalan dunia menyertai kejohanan dan saya pasti berdepan tentangan sengit mereka untuk muncul juara,” katanya yang baru memulakan program diet untuk menurunkan berat badannya yang ketika ini 75kg, lebih 5kg daripada keperluan kategori lightweight.

Di sebalik tumpuan terhadap persediaan menghadapi Sukan Dunia, Sazali meluangkan masa membimbing bakat-bakat baru.

“Saya diminta Persatuan Bina Badan Malaysia untuk membantu barisan pelapis yang akan dihantar menyertai beberapa kejohanan termasuk Sukan Sea,” katanya.

Apa yang pasti pengalaman luas Sazali di peringkat antarabangsa termasuk pernah dinobatkan sebagai Mr Universe, pasti menjadi pedoman berguna buat atlit-atlit baru dalam memburu kejayaan.

Asalkan sedia bekerja keras dan berdisiplin seperti Sazali, mereka mampu menjadi atlit kelas dunia.


arifkelate
Pemain Sekolah Menengah
Pemain Sekolah Menengah
 
Posts: 267
Joined: Thu Jun 19, 2008 3:59 pm
Location: kajang-pengkalan chepa

Re: Info Sukan Malaysia

Postby arifkelate » Mon Mar 09, 2009 9:39 am

Impian Akhmal

JIKA catatan pukulannya konsisten di bawah par dalam tempoh beberapa bulan akan datang, tidak mustahil pemain amatur negara, Akhmal Tamizee Nazari, akan bertukar status kepada profesional.

“Saya bercita-cita menjadi pemain profesional kerana ia memberikan lebih jaminan daripada aspek kewangan.

“Tapi sebelum itu, saya perlu pastikan persembahan saya konsisten kerana saingan di peringkat profesional lebih sengit. Kalau saya konsisten mencatatkan 66 atau 67 dalam tempoh beberapa bulan ini, saya mungkin memilih menjadi pemain profesional,” katanya.

Berusia 19 tahun, Akhmal meraih kejuaraan sulungnya tahun ini apabila menjuarai Terbuka Amatur Kuala Lumpur Berjaya Sompo di Bukit Jalil Golf & Country Resort, minggu lalu.

Sepanjang tiga hari kejohanan, dia melakukan catatan 62, 70, 68 untuk keseluruhan 200 pukulan sekali gus mengatasi pencabar terdekat, Joshua Shou dari Singapura dengan kelebihan 12 pukulan.

“Ia kejayaan pertama saya dalam tiga kejohanan yang disertai tahun ini. Kejayaan itu juga menjadi pendorong kepada saya untuk merangkul kejuaraan Siri Nick Faldo di Shenzen, China, hujung bulan ini,” katanya.

Akhmal muncul naib juara bawah 18 tahun acara sama dua tahun lalu, tapi dia dijangka berhadapan cabaran lebih getir kali ini berikutan bersaing dalam kategori bawah 21 tahun.

Andai tidak jadi bertukar status kepada profesional tahun ini, dia berharap mendapat tempat mewakili negara di Sukan Sea Laos, Disember ini.

Dua tahun lalu di Sukan Sea Korat, Akhmal merangkul gangsa.

“Saya belum tahu sama ada akan terpilih atau tidak, tapi jika disenaraikan saya meletakkan sasaran memburu pingat yang lebih baik,” katanya.

Sebanyak 25 acara membabitkan 386 acara dipertandingkan di Sukan Sea Laos, 9 hingga 19 Disember depan.


arifkelate
Pemain Sekolah Menengah
Pemain Sekolah Menengah
 
Posts: 267
Joined: Thu Jun 19, 2008 3:59 pm
Location: kajang-pengkalan chepa

Re: Info Sukan Malaysia

Postby arifkelate » Tue Mar 17, 2009 10:23 pm

Jangan cepat puas hati - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR - Meskipun bangga dengan kejayaan Datuk Lee Chong Wei dan pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong merangkul kejuaraan berganda pada Terbuka Switzerland, namun Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengingatkan pemain negara agar tidak cepat berpuas hati.

Ismail Sabri mengakui, kemenangan tersebut merupakan permulaan yang baik buat badminton Malaysia pada 2009, terutama pada ketika negara baru melancarkan program 'Road To London 2012' iaitu mencari juara Olimpik pertama pada Temasya 2012.

Namun tegasnya, kejuaraan Siri Super itu hanyalah salah satu daripada beberapa lagi kejuaraan yang menjadi buruan Malaysia.

Pada ketika pingat emas Sukan Olimpik menjadi misi utama Malaysia untuk tempoh tiga tahun ini, negara juga berharap untuk melahirkan juara dunia buat kali pertama apabila beraksi pada Kejohanan Dunia di India, Ogos ini.

Malah, Ismail Sabri turut mencabar Chong Wei dan rakan-rakan agar menunjukkan aksi konsisten dalam semua pertandingan yang disertai dan bukan sekadar cemerlang pada satu kejohanan tetapi tewas mudah pada kejohanan berikutnya.

"Situasi sekarang umpama menang satu, kalah satu (menang di Terbuka Switzerland tetapi kalah di Seluruh England). Kemenangan ini sangat membanggakan tetapi apa yang paling penting pemain kena bermain secara konsisten.

"Masalah pemain kita selama ini adalah tidak konsisten dan cepat berputus asa, sebab itu saya sampai pernah memberitahu Rexy Mainaky (ketua jurulatih beregu) supaya pecahkan saja kombinasi kalau mereka terus gagal.

"Mereka nampaknya menyahut cabaran saya itu dengan kebangkitan di Switzerland, saya harap ini adalah permulaan yang baik kepada banyak lagi kejayaan yang bakal dicatat,'' kata Ismail Sabri.

Bagaimanapun kata Ismail Sabri lagi, beliau tetap berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga pemain negara itu, terutama Chong Wei yang akhirnya berjaya menundukkan musuh tradisi, Lin Dan.

Katanya, kemenangan ke atas Lin Dan mampu meningkatkan keyakinan Chong Wei untuk mencari kejayaan lebih besar dan membuktikan bahawa jaguh China itu bukan lawan yang terlalu agung hingga tidak mampu dijinakkan.

"Secara peribadi saya bangga dengan kejayaan Chong Wei menundukkan Lin Dan pada Terbuka Switzerland. Ia menandakan detik kebangkitan semula pemain nombor satu dunia ini.

"Selepas dia kalah kepada Lin Dan pada perlawanan akhir Seluruh England (8 Mac), saya telah menghubungi Chong Wei dan menasihatinya supaya jangan menganggap Lin Dan sebagai lawan yang terlalu agung.

"Sejarah telah membuktikan bahawa Chong Wei pernah mengalahkan Lin Dan, walaupun ia jarang berlaku yang penting dia dia pernah menewaskan jaguh China itu dan dia boleh melakukannya sekali lagi,'' kata Ismail Sabri lagi.

Terbuka Switzerland merupakan kejuaraan kedua Chong Wei tahun ini selepas muncul juara Terbuka Malaysia, Januari lalu, namun ia adalah gelaran pertama buat pasangan muda, Kien Keat-Boon Heong.

Jika Chong Wei menjinakkan Lin Dan 21-16, 21-16, Kien Keat-Boon Heong pula menewaskan pasangan Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen 21-14, 21-18 di final.


arifkelate
Pemain Sekolah Menengah
Pemain Sekolah Menengah
 
Posts: 267
Joined: Thu Jun 19, 2008 3:59 pm
Location: kajang-pengkalan chepa

Re: Info Sukan Malaysia

Postby arifkelate » Tue Mar 17, 2009 10:25 pm

Skuad remaja belum mampu ganti senior

KEJOHANAN Hoki Piala Dunia Remaja yang bakal berlangsung Jun ini bakal menentukan kemampuan skuad negara sama ada memiliki barisan pelapis yang mampu memulihkan semula reputasi sukan itu di persada antarabangsa atau tidak.

Selepas menduduki tangga ke-10 daripada 16 pasukan pada kejohanan sama di Rotterdam, Belanda empat tahun lalu, skuad negara sepatutnya sudah mempunyai sebuah pasukan pelapis yang mantap apatah lagi bakal mengharungi cabaran di tempat sendiri kelak.

Namun Kejohanan Hoki Remaja Undangan Empat Negara yang berakhir Ahad lalu bagaikan mengulangi skrip sama dalam sukan tanah air bahawa Malaysia sentiasa belum bersedia menghadapi apa juga kejohanan yang berprestij dunia, baik dari segi persediaan pasukan ataupun infrastruktur.

Walaupun skuad negara kembali menunjukkan taring sebenar apabila membelasah Singapura 6-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, kejayaan tersebut bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.

Jelas kelihatan belum terdapat kelibat wajah-wajah pelapis yang mampu menggantikan Chua Boon Huat, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil atau Amin Rahim.

Apa pun, pujian harus diberikan kepada penjaga gol, Abdul Hakim Adnan yang beraksi cemerlang sepanjang kejohanan dan berpotensi untuk bergelar penjaga gol nombor satu negara.

Berdasarkan prestasi anak buah K. Rajan sepanjang empat perlawanan itu, mereka kerap mempamerkan kelemahan seperti gagal mengawal permainan, stamina kurang dan tiada aksi kemahiran tinggi mengelecek bola di kalangan pemain.

Malah teguran Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (MHF), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mahu skuad remaja kebangsaan itu memperbaiki tahap kecergasan mereka sudah cukup membuktikan segalanya.

Agak janggal apabila barisan pemain yang rata-rata berusia 21 tahun cepat letih dan termengah-mengah di atas padang untuk mengejar bola. Paling ketara, ketika perlawanan dengan India dan Pakistan yang masing-masing berkesudahan dengan kekalahan 1-3.

Apa pun, langkah segera mengadakan beberapa program kecergasan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi memastikan setiap pemain berada pada tahap kecergasan tinggi wajar dipuji.

Skuad yang sama itu bakal menyertai Kejohanan Empat Penjuru di Sepanyol bulan hadapan dan kita berharap mereka dapat menghasilkan satu keputusan positif.

Mengenai keadaan stadium pula, pihak pengurusan harus memastikan tidak berlaku sebarang takungan air menjelang kejohanan dunia itu kerana ia bakal menjejaskan rentak perlawanan serta akan menyukarkan pemain untuk bergerak.

Padang kedua seperti yang dikehendaki Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dijangka siap sepenuhnya Mei ini namun kemudahan internet masih belum boleh diakses.

Pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2009, pihak penganjur wajib menyediakan gelanggang kedua bersebelahan dengan gelanggang utama di stadium baru itu.

Kejohanan anjuran bersama Singapura itu akan membabitkan 20 pasukan berbanding kejohanan edisi 2005 di Rotterdam, Belanda, yang menampilkan 16 negara.


arifkelate
Pemain Sekolah Menengah
Pemain Sekolah Menengah
 
Posts: 267
Joined: Thu Jun 19, 2008 3:59 pm
Location: kajang-pengkalan chepa

Re: Info Sukan Malaysia

Postby arifkelate » Tue Mar 17, 2009 10:31 pm

Wang bukan alasan kejayaan semata-mata

AKTIVITI berbasikal di negara kita bermula sejak 1938 ketika tentera bersekutu berpengkalan di negara ini.

Mendiang Gurchan Singh Gill dan Kapten C.O. Jennings, pegawai tentera New Zealand, merupakan penggerak utama dalam penubuhan Persekutuan Lumba Basikal Malaya (PLBM) pada Mac 1953. Ia dianggotai oleh empat buah negeri, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Melaka.

Pada Mac 1966, ketika saya bekerja di Kedah, saya telah menubuhkan Persatuan Lumba Basikal Kedah dan seterusnya menjadi setiausahanya sehingga 1968.

Beberapa orang jaguh basikal telah lahir di Kedah, antaranya AS Fazil, AB Rahim, Zainon Osman, Jamil Ishak dan Omar Saad dan mereka pernah mewakili negara ke Sukan SEA, Sukan Asia dan Olimpik.

Pada 1968 saya bertukar ke Melaka dan terus menerajui Persatuan Lumba Basikal Melaka yang ketika itu dalam keadaan 'nazak'.

Saya dilantik sebagai setiausaha dan telah memulihkan aktiviti lumba basikal di Melaka hingga awal tahun 1971 sebelum bertukar kerja ke Selangor.

Semasa bertugas di Melaka, saya juga telah membantu Johor menubuhkan Persatuan Lumba Basikal Johor yang pada ketika itu mempunyai ramai pelumba muda tetapi tiada persatuan.

Pada zaman itulah muncul ramai pelumba-pelumba handalan seperti Daud Ibrahim, Kamarden Ali, Fazil Ibrahim, Sulaiman Anang dan Jasmi Baba.

Daud pernah memenangi pingat emas Sukan Asia 1970 dan empat pingat emas Sukan SEA 1971. Beliau telah dianugerahkan oleh Majlis Olimpik Malaysia sebagai Olahragawan Negara 1971.

Pada Mac 1969, saya telah mengumpul beberapa orang pelumba dan pegawai dari Negeri Sembilan dan seterusnya menubuh Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan yang diterajui oleh mendiang MT Lingam, ketua biro akhbar The Star di Seremban.

Pada akhir 1969, saya juga membantu menubuh Persatuan Lumba Basikal Pahang yang dipimpin oleh Datuk Lim Ah Lek (kini bergelar Tan Sri) manakala setiausahanya ialah Nazri Hussein.

Saya juga terlibat dalam penubuhan pasukan basikal Pahang dan pasukan basikal Polis Diraja Malaysia pada awal 70-an.

Pasukan Polis melahirkan jaguh-jaguh seperti Fazin Saad, Omar Saad, Johari Ramli, Azizan Ramli, Ramli Hashim manakala Tentera memperkenalkan Ismail Ghani, Alias Kamal, Saari Mat Rawi dan Adnan Kaspan.

Berikutan itu, Perlis, Terengganu dan Kelantan juga ditubuhkan bersama-sama Persatuan Lumba Basikal Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Negeri Sabah, Sarawak dan Labuan juga tidak ketinggalan untuk menubuhkan persatuan masing-masing. Dalam pada itu Persatuan Basikal Dalam Gelanggang Malaysia juga menjadi ahli gabungan peringkat pusat.

Persoalannya pada masa sekarang, daripada banyak-banyak persatuan tersebut, berapa buah persatuan sahaja yang betul-betul berfungsi sebagai persatuan sukan?

Apakah pada zaman dulu, persatuan lumba basikal negara mempunyai banyak wang dan mendapat peruntukan daripada kerajaan atau Majlis Olimpik Malaysia?

Ketika saya menjadi Setiausaha PLB Malaysia (1970-1983), beberapa perlumbaan besar diadakan dan beberapa perlumbaan dihidupkan semula. Antaranya Jelajah Malaysia (1971) yang 'terkubur' sejak 1964.

Perlumbaan ini diadakan setiap dua tahun sekali hingga 1982.

Jelajah Utara diperkenalkan pada 1972 dari Kuala Lumpur ke Alor Setar sebanyak empat peringkat. Ia bertahan sehingga 1981.

Jelajah Pantai Timur diperkenalkan pada Jun 1973, dari Kuala Lumpur ke Kota Bahru. Acara ini diadakan sebanyak tiga kali dan selepas itu tiada usaha-usaha dibuat untuk menganjurkannya.

Selain dari itu, saya juga membantu menganjur perlumbaan Jelajah Selangor, Jelajah Pahang, Jelajah Melaka, Jelajah Negeri Sembilan, Jelajah Terengganu dan Jelajah Johor.

Pada zaman sebelum negara mempunyai velodrom, saya banyak menganjur perlumbaan trek di gelanggang rumput mahupun bitumen.

Pertandingan trek di adakan di Stadium Kota Raja di Klang, Stadium Merdeka, Stadium Muar, Stadium Larkin, Stadium Kuala Terengganu dan Stadium Kuantan.

Wang selalunya dikaitkan dengan satu-satu kejayaan. Saya tidak menafikannya, terutama di zaman ini di mana setiap pergerakkan perlu ada wang. Tetapi adakah wang semata-mata yang menjadi penentuan bagi setiap kejayaan?

Pada Januari 1970, ketika saya memegang jawatan Setiausaha PLBM, dengan baki di bank sebanyak RM44.60 namun kami berjaya membawa balik Piala Presiden Suharto dari perlumbaan Jelajah Jawa, melalui kemenangan Ng Joo Ngan.

Bukan sahaja Jelajah Jawa, malah pada Sukan Asia di Bangkok 1970, Daud dan Joo Ngan membawa pula satu pingat emas setiap seorang.

Apakah hanya dengan wang sahaja kita boleh berjaya? Dengan komitmen dan kesungguhan yang baru saya percaya sukan lumba basikal boleh maju dan menjadi sukan yang popular di negara kita.

Shaharudin Jaffar merupakan pelumba kebangsaan era 1960-an dan pelumba negara pertama yang memenangi pingat emas pada Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) di Stadium Merdeka pada tahun 1965.


arifkelate
Pemain Sekolah Menengah
Pemain Sekolah Menengah
 
Posts: 267
Joined: Thu Jun 19, 2008 3:59 pm
Location: kajang-pengkalan chepa

Re: Info Sukan Malaysia

Postby arifkelate » Tue Mar 17, 2009 10:34 pm

Penting faham corak lawan

DUA gelaran yang dimenangi Datuk Lee Chong Wei dan pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada Terbuka Switzerland di Basel, kelmarin, membuktikan betapa pentingnya memahami corak permainan lawan.

Legenda badminton negara, Datuk Eddy Choong, berkata beliau gembira dengan kematangan dipamer Chong Wei mengawal kepantasan pergerakan Lin Dan di final.

“Lin Dan memiliki pergerakan kaki dan tangan lebih pantas berbanding Chong Wei, malah paling pantas antara kebanyakan perseorangan yang ada sekarang.

“Jadi, keupayaan bermain rali panjang dan mengurangkan kepantasan Lin Dan di gelanggang membolehkan jaguh China itu ditewaskan.

“Apa saya lihat, Chong Wei mengekalkan sekurang-kurangnya 30 pukulan pada setiap permainan rali dan menunjukkan dia mulai memahami permainan Lin Dan.


“Malah, penyudah tepat pada masa memberinya kelebihan. Sekarang Chong Wei perlu bertanya, mengapa boleh menang dan terus konsisten dengan taktik yang betul,” kata Eddy, 79, memiliki 47 gelaran antarabangsa sepanjang kariernya selaku pemain perseorangan, beregu dan beregu campuran kepada Arena Metro, semalam.

Ditanya mengenai keperluan pemain negara pada kejohanan lain selepas ini, Eddy berkata, Datuk Misbun Sidek jurulatih bijak dan tahu apa yang perlu dilakukan untuk memperkemaskan permainan anak buahnya.

“Beliau murid terakhir saya kira-kira 30 tahun lalu. Chong Wei dan pemain kita yang lain perlu fikir, mengapa konsisten tapi tidak menang dan pada tahap ini, mengapa menang pula mengatasi Lin Dan.

“Perkara sama perlu difikir Kien Keat dan Boon Heong, mengapa muncul juara hanya pada pusingan keempat Siri Super.

“Saya mahu mengingatkan mereka supaya terus serius dan memikirkan lawan bakal dihadapi daripada satu perlawanan, satu kejohanan lain dan tidak menyalahkan segala-galanya jika tewas.

“Lawan yang perlu dihadapi ramai dan sentiasa berubah-ubah, jadi mereka perlu terus mencari taktik yang tepat bagi mendapat pulangan dalam permainan masing-masing. Jangan menyalahkan perkara lain tetapi diri sendiri. Apabila menang pemain terlalu gembira meraikannya tetapi kalah, menyalahkan segala-galanya.

“Tanpa ada sikap mahu bertanya mengapa saya menang dan kalah, satu-satu kejayaan akan dianggap seperti ‘kosong’ jika mengulangi kesilapan selepas itu,” katanya.

Chong Wei menewaskan Lin Dan 21-16, 21-16 manakala Kien Keat-Boon Heong menundukkan beregu Denmark, Mathias Boe- Carsten Mogensen, 21-14, 21-16.


arifkelate
Pemain Sekolah Menengah
Pemain Sekolah Menengah
 
Posts: 267
Joined: Thu Jun 19, 2008 3:59 pm
Location: kajang-pengkalan chepa

Re: Info Sukan Malaysia

Postby arifkelate » Tue Mar 17, 2009 10:36 pm

Syimir mahu atasi pencapaian lalu

PEMAIN bowling remaja kebangsaan, Syimir Abdul Razak berazam untuk mengakhiri edisi Terbuka Antarabangsa Malaysia Canon kali ini dengan kegemilangan selepas sekadar menduduki tempat kedua kategori Masters Remaja Lelaki dalam kejohanan itu tahun lalu.

Keyakinan itu semakin terserlah apabila mengungguli hari keempat kejohanan terbabit dengan mengumpul 1,530 jatuhan pin dalam pusingan kelayakan semalam, menjadikannya pemain pertama melepasi 1,500 jatuhan pin dalam kejohanan itu.

Selepas berjaya meraih 749 jatuhan pin pada percubaan pertama, dia terus unggul dengan 781 pin hasil aksi cemerlang dalam enam permainan semalam, sekali gus melebarkan penguasaannya dalam kategori itu untuk berada di depan pemain Johor, Chan Wei Siang yang mengumpul 1,398 dan pemain Pulau Pinang, Adrian Charles Dragon, 1,393 jatuhan pin.

Pelajar tingkatan lima SMK Seafield di Subang Jaya itu puas hati dengan pencapaiannya semalam dan melakukan balingan terbaik pada permainan pertama dan ketiga.

“Bagaimanapun kali ini saya berazam untuk muncul juara dan memperoleh gelaran pertama peribadi dalam Terbuka Malaysia.


“Sekiranya saya menjuarai kategori itu musim ini, pasti pencapaian itu membantu saya untuk dipilih menyertai Sukan Remaja Asia di Singapura,” katanya yang akan beraksi di pusingan akhir, Khamis ini.

Sementara itu pemain Thailand, Surasak Manuwong menyingkirkan Adrian Ang untuk kedudukan pendahulu keseluruhan kelayakan kategori Terbuka Lelaki dengan mengumpul 1,508 jatuhan pin.

Wu Siu Hong dari Hong Kong berada di tempat kedua kelompok antarabangsa dengan 1,400 jatuhan pin dan wakil India, Vijay Punjabi mengumpul 1,316.

Adrian bagaimanapun masih di kedudukan selamat dalam kelompok pemain tempatan dengan mengumpul 1,472, diikuti Juara Terbuka Malaysia 2004, Daniel Lim dengan 1,433, Aaron Kong (1,425) dan Muhd Nur Aiman (1,420). Empat pemain teratas secara automatik bakal mara ke pusingan kedua perlawanan akhir Masters.

Bagi kategori Terbuka Wanita, pusingan kelayakan masih diungguli Sharon Koh dengan 1,407 jatuhan pin, diikuti Zandra Aziela Ibrahim Hakimi (1,375) dan Shalin Zulkifli (1,363).

Kelompok antarabangsa diterajui pemain Amerika Syarikat, Missy Bellinder dengan 1,390 jatuhan pin diikuti dua pemain Indonesia, Happy Soediyono dengan 1,359 dan Ivana Hie mengumpul 1,266.


arifkelate
Pemain Sekolah Menengah
Pemain Sekolah Menengah
 
Posts: 267
Joined: Thu Jun 19, 2008 3:59 pm
Location: kajang-pengkalan chepa

Re: Info Sukan Malaysia

Postby arifkelate » Tue Mar 17, 2009 10:39 pm

Afiq kembali sertai UTM Racing

DI sebalik usia muda, Md Afiq Azhar sudah beraksi bersama empat pasukan berbeza termasuk sebagai pelumba persendirian dalam saingan Cub Prix kebangsaan.

Menjelang perlumbaan pembuka tirai Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas 2009 di Alor Star, hujung minggu ini, pelumba berusia 19 tahun itu akan kembali menyertai pasukan pertamanya sewaktu memulakan karier sebagai pelumba.

Dia akan beraksi bersama pasukan Naza Sukimi UTM Racing bersama adiknya, Md Khairul Adli dalam kategori Novis.

Ketika memulakan saingan dalam kategori Wira epg pada 2005, Afiq mewakili pasukan UTM Racing untuk dua pusingan sebelum beraksi penuh bersama pasukan itu pada 2006.

Begitupun, dia membiayai sendiri perbelanjaan bertarung dalam kategori Novis sebagai pelumba persendirian pada tahun sama.


Pada 2007, dia menghabiskan masa bertarung tiga pusingan bersama Petronas Sprinta Ah Hong sebelum beralih menyertai Idemitsu Honda Racing pada pusingan keempat.

Musim lalu menyaksikan Afiq menyertai Sharol Yuzy Ahmad Zaini membawa cabaran Modenas Yuzy Pachi Racing dan dia menamatkan saingan di tempat ke-12 keseluruhan.

Menjelang saingan 2009, Afiq kembali bersama UTM Racing, kini dikenali sebagai Naza Sukimi UTM Racing.

“Saya tidak sesuka hati bertukar pasukan sepanjang tempoh itu. Keadaan itu bukan sekadar menjadikan profil saya sebagai pelumba terjejas malah tidak membantu pembangunan kemahiran saya.

“Keadaan itu berlaku kerana saya mencari pasukan sesuai dengan saya. Selepas mencuba, saya dapati tiada pasukan lain lebih sesuai berbanding UTM Racing menyebabkan saya mahu kembali mewakili mereka, tapi kali ini membawa adik untuk bergandingan bersama saya.

“Saya sentiasa mencuba untuk memiliki hubungan baik dengan pasukan dan membiasakan diri dengan cara sesebuah pasukan dikendalikan.

“Secara kebetulan, pasukan itu mengambil keputusan untuk memberi fokus terhadap kategori Novis tahun ini dan segala-galanya seperti menjadi apabila kami memulakan perbincangan.

“Saya sudah melalui ujian dan saya gembira dengan tahap kompetitif jentera. Saya meletakkan sasaran untuk memburu gelaran juara Novis. Dengan Adli memberi sokongan kepada saya, kami turut meletak sasaran untuk menjulang gelaran selaku juara keseluruhan Novis,” kata Afiq.

Keterangan lanjut mengenai perlumbaan boleh diperoleh dengan melayari www.malaysiancubprix.com atau hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd di talian 03-8733 8787.


arifkelate
Pemain Sekolah Menengah
Pemain Sekolah Menengah
 
Posts: 267
Joined: Thu Jun 19, 2008 3:59 pm
Location: kajang-pengkalan chepa

Re: Info Sukan Malaysia

Postby arifkelate » Tue Mar 17, 2009 10:43 pm

Aksi matang ragbi

AKSI menarik dipersembahkan pasukan dari seluruh negara di Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) bawah 12 dan 18 tahun yang berlangsung di Melaka bermula semalam hingga 21 Mac depan.

Penyelaras dan Penyelia Sukan Jabatan Pelajaran Melaka, Kamarudin Othman, berkata kejohanan itu membabitkan semua pasukan di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak.

Katanya, bakat besar dimiliki dan kesungguhan pemain amat membanggakan terutama menerusi persembahan matang mereka ketika beraksi.

Menurutnya, antara lokasi perlawanan ialah di Kolej Yayasan Saad, Ayer Keroh bagi kategori bawah 12 tahun manakala aksi bawah 18 di Sekolah Menengah Teknik Melaka, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St David dan SMK Bukit Baru.

Kamarudin berkata, selain ragbi, kejohanan bola jaring MSSM juga bermula semalam membabitkan pasukan bawah 12, 15 dan 18 tahun.


arifkelate
Pemain Sekolah Menengah
Pemain Sekolah Menengah
 
Posts: 267
Joined: Thu Jun 19, 2008 3:59 pm
Location: kajang-pengkalan chepa

PreviousNext

Return to Sukan-Sukan Lain

Who is online

Users browsing this forum: No registered users and 0 guests


Hakcipta Terpelihara © 1999 - 2010 Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (1692-08-KEL)