Kelate.net

Azman Seru TRW Teruskan Momentum

Kemaskini pada January 21, 2014 / Oleh Webmaster


ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!
Mohamad Ghaddar menjaringkan 2 gol pada perlawanan tersebut.

PENGURUS pasukan Kelantan, Haji Azman Ibrahim mahu The Red Warriors (TRW) beraksi lebih garang dalam perlawanan kedua Liga Super, meskipun pasukan itu tidak diberi harapan selepas berlaku perubahan besar dalam barisan pemainnya musim ini.

Kelantan yang mendapat suntikan semangat selepas berjaya menundukkan Sime Darby 2-1 dalam aksi perlawanan pertama Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV Sabtu lalu, membuktikan gergasi pantai timur itu masih mempunyai bisa biarpun dianggotai ramai pemain baru.

Azman berkata, rentak kemenangan itu perlu diteruskan selain menasihati pemain supaya tidak berputus asa untuk mencapai keserasian seratus peratus, bagi memastikan kedudukan TRW tidak tergugat dan mengumpul mata secukupnya dalam pusingan pertama.

Katanya, walaupun TRW musim ini tidak diberi harapan, namun pemain perlu berusaha keras bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya satu piala, malah berpendapat perkara itu tidak mustahil untuk dilakukan jika pemain memiliki semangat juang yang tinggi.

“Alhamdulillah kita berjaya mengutip tiga mata dalam perlawanan pertama dan saya harap kita akan meneruskan rentak kemenangan ini. Kita perlu lebih garang selepas ini kerana saya lihat pemain belum mempamerkan aksi sebenar.

“Walaupun kita tidak diberi harapan musim ini namun suka saya mengingatkan pemain supaya tidak berputus asa malah perlu membuktikan kemampuan TRW untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya menjulang satu piala,” katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Berdasarkan rekod, Kelantan mempamerkan kehebatannya apabila berjaya meraih sekurang-kurangnya satu piala setiap musim sejak 2010, malah mencipta kejutan pada 2012 apabila menjulang tiga piala ketika di bawah kendalian bekas jurulatih, Bojan Hodak.

Sementara itu, jurulatih baru Kelantan, Steve Darby berkata, TRW memiliki sedikit masa untuk membaiki kelemahan sebelum kembali beraksi untuk menentang Sarawak di Kuching 25 Jan ini.

Katanya, jentera serangan perlu lebih tajam untuk melakukan penyudah selain mengharapkan pertahanan kukuh bagi mengelakkan gawang dibolosi, sekaligus memastikan TRW berada di kelompok lima terbaik sepanjang pusingan pertama.

“Kita sudah beraksi dalam perlawanan sebenar dan tidak ada lagi untuk mencuba pemain. Kita akan guna masa yang ada untuk membaiki kelemahan khususnya di jentera serangan selain memperkemaskan benteng pertahanan.”

www.sports247.my

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.

Sokongan Kami Zaman Berzaman