Kelate.net

Azraai Enggan Dabik Dada

Kemaskini pada April 23, 2015 / Oleh Webmaster


ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!
Penyerang Kelantan, Dos Santos Filho (kiri) melonjak tinggi menanduk bola meskipun cuba dihalang penjaga gawang Sime Darby, Kamarul Effandi Abdul Rahim pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Kota Bharu, malam kelmarin.

PENGENDALI The Red Warriors, Mohd Azraai Khor Abdullah enggan mendabik dada di sebalik kejayaan skuad bimbingannya mara separuh akhir Piala FA, musim ini.

Mohd Azraai Khor berkata, biarpun kemenangan 3-0  ke  atas  Sime Darby pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin, jelas menggembirakannya, namun dia tidak mahu anak buahnya terus terbuai-buai kejayaan itu.

“Satu kemenangan dinanti-nantikan selepas empat kali gagal sebelum ini. Kebetulan malam ini pula, kita melayakkan diri ke separuh akhir Piala FA dan saya harap momentum ini berterusan aksi seterusnya.

“Apa pun, banyak lagi yang perlu ditingkatkan kerana kita akan jumpa Selangor dalam saingan Liga Super, Sabtu ini. Kemenangan ini tidak membuatkan kami dabik dada, sebaliknya kena berusaha lebih keras lagi,” katanya pada sidang media sejurus perlawanan.

Pada aksi itu, Kelantan mempamerkan taring sebenar untuk menyingkirkan cabaran Sime Darby menerusi sepakan penalti ketua pasukan, Mohd Badhri Radzi pada minit ke-40, Austin Amutu (m-58) dan Erwin Carrillo (m-74).

Kemenangan itu menyaksikan Kelantan mara dengan agregat 4-1 selepas seri 1-1 aksi pertama di Selayang pada 7 April lalu.

Meskipun tampil merendah diri, namun jauh di sudut hati jurulatih berusia 62 tahun itu amat lega setelah dia terpaksa menanti begitu lama untuk mengukir kemenangan sulung bersama pasukannya.

Sementara itu, Azraai turut menghamburkan pujian ke atas empat tonggak importnya yang mempamerkan persembahan terbaik.

Menurutnya, percubaannya menggandingkan trio penyerang import iaitu Erwin Carrillo, Gilmar Dos Santos Filho dan Austin Amutu pertama  kali tidak mengecewakan sambil dibantu peningkatan prestasi pemain tempatan.

“Mereka seperti mempunyai keserasian  dengan Amutu menggunakan kepantasannya, Carrillo pula cukup lincah di kotak penalti manakala Dos Santos Filho pula tidak tamak mencipta peluang kepada rakannya.

“Sebenarnya persiapan kita terjejas dengan kecederaan Jonathan McKain tetapi dia menunjukkan semangat kental hendak beraksi walaupun masih mengalami kesakitan di hidungnya. Semangat seperti inilah saya mahu dalam pasukan ini,” katanya.

www.sinarharian.com.my

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.

Sokongan Kami Zaman Berzaman