Kelate.net

Azraai Puas Hati

Kemaskini pada April 23, 2015 / Oleh Webmaster


ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!
CARILLO (tiga dari kanan) meraikan jaringan ketika menentang Sime Darby, kelmarin.

Kota Bharu: Percubaan kali pertama ketua jurulatih Kelantan Mohd Azraai Khor Abdullah meletakkan trio importnya di jentera serangan membuahkan hasil apabila dua daripada mereka meledakkan gol membenam Sime Darby FC, malam kelmarin.

Pengendali berusia 62 tahun itu berpuas hati dengan aksi Austin Amutu, Gilmar Da Silva dan Erwin Carillo kerana menunjukkan persefahaman serta keserasian mantap walaupun pertama kali digandingkan.

Aksi pemain lain seperti Wan Zaharulnizam, Mohd Badri Radzi, Norhafiz Zamani serta penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat turut cemerlang jika dibandingkan sebelum ini.

Bagi Azraai, kemenangan itu isyarat buat pasukan lain yang Kelantan bukan lagi ‘mudah dijinakkan’ dan berada di landasan kebangkitan selepas menemui semula sentuhan berbisa.

Azraai berkata, sejak mengambil alih tugasan jurulatih pada 24 Mac lalu, beliau gembira kerana Kelantan akhirnya mencapai kemenangan selepas bergelumang dengan lima kekalahan.

“Kemenangan itu hasil gerakan satu pasukan, penuh bersemangat, berdisiplin serta fokus terhadap permainan selain kurang melakukan kesilapan.

“Saya kagum dengan pemain pertahanan, Jonathan McKain yang meminta diturunkan walaupun hidungnya masih cedera dan ternyata aksinya langsung tidak menghampakan.

“McKain bersama Nik Shahrulazim, Mohd Farisham Ismail dan Zairul Fitree Ishak bermain agak cemerlang mempertahankan benteng daripada dibolosi lawan,” katanya.

Azraai berharap kemenangan itu menyuntik semangat pemain berdepan Selangor dalam saingan Liga Super, Sabtu ini.

Kelantan menempa slot ke separuh akhir Piala FA menerusi kemenangan 3-0 dengan agregat 4-1, malam kelmarin, menerusi jaringan Mohd Badhri Radzi, Amutu dan Carillo.

Sementara itu, jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria agak kecewa kerana pemain importnya terutama Reinaldo Da Costa kurang menyerlah berbanding import Kelantan.

Katanya, pada suku akhir pertama, pemain termasuk import bermain agak cemerlang dan komited, namun bila beraksi di Kota Bharu, prestasi mereka terus merudum.

“Bermain di Kota Bharu bukan tugasan mudah dan ternyata pemain Kelantan berjaya memanfaatkan kelebihan itu dengan menguasai hampir 70 peratus permainan.

“Saya akur dengan kekalahan ini dan akan mengkaji semua kelemahan dan besar kemungkinan tenaga pemain muda akan digunakan dalam perlawanan akan datang,” katanya.

www.hmetro.com.my

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.

Sokongan Kami Zaman Berzaman