Kelate.net

Azraai Tagih Sentuhan Tiga Import

Kemaskini pada April 25, 2015 / Oleh Webmaster


ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!
Mohd Azraai (tengah) menyatakan sesuatu kepada pemain Kelantan pada sesi latihan terakhir pasukannya di Stadium Sultan Muhammad IV menjelang aksi bertemu Selangor, malam ini.

GANDINGAN tiga serangkai penyerang import terus menjadi sandaran The Red Warriors bagi memastikan misi mengecewakan pendahulu Liga Super, Selangor, tercapai pada pertemuan dua musuh tradisi itu di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, Mohd Azraai Khor berkata, tidak ada keraguan untuknya memperjudikan nasib pasukannya memandangkan kombinasi mantap ditunjukkan dua pemain import baharu iaitu Austin Amutu dan Gilmar Dos Santos Filho bersama Erwin Carrillo berjaya meledakkan gol ketika bertemu Sime Darby FC, tempoh hari.

“Apa yang boleh saya katakan, Kelantan kini kembali mempunyai kekuatan di bahagian serangan. Kalau tengok pada suku akhir Piala FA baru-baru ini, jika tak ada ketiga-tiga pemain itu, saya rasa macam kita pergi berperang tapi tak bawa peluru.

“Sudah pasti tiga penyerang import itu akan diturunkan untuk berdepan Selangor malam esok (hari ini). Latihan hari ini pun nampak bagus, persefahaman antara mereka juga semakin meningkat,” katanya kepada media selepas latihan terakhir pasukannya, semalam.

Mohd Azraai berkata, barisan pemainnya kini memiliki motivasi tinggi untuk bertemu peneraju takhta liga setelah skuad pantai timur itu berjaya menamatkan badi tanpa kemenangan dalam empat perlawanan lalu.

Malah bekas jurulatih T-Team musim lalu itu juga turut menegaskan, pasukannya tidak berasa tertekan untuk menewaskan Selangor meskipun terdesak memburu tiga mata untuk keluar daripada kelompok tiga pasukan terbawah dalam carta liga, ketika ini.

“Kita mahu lakukannya (menang) sekali lagi selepas mengalahkan Sime Darby FC.

“Kebetulan pasukan ini bebas daripada masalah kecederaan kecuali Ahmad Fakri (Saarani) digantung satu perlawanan tetapi itu tidak menghalang untuk saya menurunkan barisan terkuat,” katanya.

Mengulas lanjut pertemuan menentang The Red Giants, pengendali berusia 62 tahun itu menjelaskan, dia akan melakukan perubahan taktikal bagi mengekang kemaraan skuad bimbingan Mehmet Durakovic yang dilihat mempunyai kelebihan dari segi penguasaan bola.

“Kita kena beri perhatian kepada Muhammad Afiq (Azmi) dan Guiherme (De Paula) kerana dua penyerang ini nampak begitu serasi. Begitu juga perancang utama mereka, Leandro (Dos Santos), saya amat kenal pemain Brazil ini kerana dia cukup licik, lincah dan penuh tipu muslihat.

“Kebimbangan saya ialah di bahagian tengah, sama ada kita boleh beri saingan atau tidak. Apa keadaan sekali pun, kita harap dapat mengatasi keadaan itu dengan Piya (Mohd Badhri) dan rakan-rakannya bermain lebih efektif di posisi itu,” katanya.

www.sinarharian.com.my

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.

Sokongan Kami Zaman Berzaman