Kelate.net

Azraai Tuntut Pemain TRW Bangkit

Kemaskini pada June 23, 2015 / Oleh Webmaster


ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!
Kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi (kanan) gigih menjalani latihan bersama rakan sepasukannya di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin.

PENGENDALI Kelantan, Mohd Azraai Khor Abdullah menuntut barisan pemainnya bangkit buru kemenangan apabila berdepan Sime Darby pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), malam ini.

Ketua Jurulatih The Red Warriors (TRW) itu berkata, sudah lama pasukannya tidak meraih tiga mata dan kemenangan ke atas The Giants Killers cukup penting bagi mengubah posisi mereka setelah dibelenggu kemerosotan prestasi dalam saingan liga musim ini.

“Kami perlu bangkit untuk kutip mata penuh pada pertemuan menentang Sime Darby malam esok (ini). Kebetulan pula ada beberapa pasukan lain mencatatkan keputusan seri pada perlawanan yang berlangsung Sabtu lalu.

“Jadi kami perlu memanfaatkan jurang mata yang tidak begitu ketara ketika ini untuk keluar dari zon bahaya. Perjuangan ini (keluar dari dasar liga) harus bermula dengan menewaskan Sime Darby di tempat mereka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Kelantan akan menurunkan barisan terkuat memandangkan semua pemainnya bebas daripada masalah kecederaan dan penggantungan perlawanan untuk berdepan pasukan berstatus kelab itu.

Justeru, jurulatih berusia 63 tahun itu berharap pasukannya mampu memperoleh keputusan terbaik meskipun rakan sejawatannya, Ismail Zakaria dikatakan sudah melakukan kerja rumah cukup rapi sepanjang liga berehat panjang, baru-baru ini.

“Sudah tentu berdasarkan kedudukan semasa, jurulatih mereka akan berbuat sesuatu untuk pasukannya. Kita kena berhati-hati terutama kelibat dua pemain importnya (Nemanja Vidakovic dan Marko Perovic), selain Reinaldo (Elias Da Costa),” katanya.

Bagaimanapun tegasnya, misi tiga mata itu tidak mustahil mampu dicapai pasukannya sekiranya barisan pemain betul-betul fokus dan beraksi mengikut arahan, selain menerapkan disiplin tertinggi pada pertemuan tersebut.

“Kelantan pernah jumpa Sime Darby dua kali (suku akhir Piala FA) musim ini, tentunya keadaan sudah berbeza kali ini. Kami sudah ada kekuatan berbanding dua pertemuan menentang mereka sebelum ini, malah prestasi pasukan sudah menampakkan peningkatan dari satu perlawanan ke perlawanan lain.

“Budak-budak (pemain) juga tahu apa yang perlu mereka dilakukan kerana kedudukan di tangga ke-10 dalam liga memang tidak begitu menyenangkan. Kebanyakan pemain beritahu hendak bawa pasukan ini keluar dari zon tidak selesa itu,” katanya.

www.sinarharian.com.my

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.

Sokongan Kami Zaman Berzaman