Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!

Butler Nafi Letak Jawatan, Perlu Masa Nilai Pemain Import

Kemaskini pada 17/02/2012 / Oleh Webmaster

Peter Butler

KOTA BHARU – Ketua Jurulatih Kelantan, Peter Butler menafikan khabar angin mengenai peletakan jawatan beliau selepas pasukan bimbingannya tewas 1-2 kepada Selangor dalam perlawanan Liga Super di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Sambil menyifatkan berita tersebut tidak berasas, Butler berkata tidak ada sebab untuk beliau melepaskan jawatan yang disandang lebih tiga bulan lalu meskipun banyak spekulasi bertiup kencang mengenai tekanan yang dihadapinya sebelum ini.

“Saya tidak tahu macam mana berita ini (peletakan jawatan) boleh timbul. Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan pemain dan pihak pengurusan. Malah saya mempunyai reputasi yang baik membimbing pasukan ketika ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Tetapi sekiranya pihak pengurusan tidak memerlukan khidmat saya, mereka boleh melakukannya (memecat) tetapi mereka kena tahu saya seorang yang sentiasa bekerja keras untuk membangunkan pasukan ini.

Jurulatih kelahiran Halifax, England itu dilihat mengeluarkan kenyataan berunsur tidak berpuas hati sejurus perlawanan menentang Selangor berakhir apabila mempertikaikan tindakan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menyenaraikan pemain import baru tanpa berbincang dengan beliau terlebih dahulu.

“Saya perlu berfikir mengenai perkara ini dan berbincang dengan pihak pengurusan dengan cara baik. Ia sesuatu yang mengecewakan tetapi apa yang boleh saya buat. Saya mempunyai kontrak selama dua tahun dan ia menjadi tanggungjawab saya untuk membentuk Kelantan menjadi sebuah pasukan yang mantap,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi kedua-dua pemain import, Butler berkata Obinna Nwaneri masih dalam proses mencapai tahap kecergasan yang optimum sementara Onyekachi Nwoha masih dalam pemantauannya dan belum mencapai prestasi sebenar.

“Saya baru melihat aksi pemain ini (Onyekachi Nwoha) hanya 30 minit dalam perlawanan dengan Selangor. Jadi saya tidak boleh memberi komen lebih lanjut. Apa yang sama lihat dia bagus tapi masih belum membentuk persefahaman dengan rakan sepasukan lain.

“Kalau dia sudah seminggu bersama pasukan ini, itu lain cerita. Tetapi dia baru menyertai pasukan ini dan saya memerlukan masa untuk menilai keupayaannya. Apa yang penting kita kena bekerja keras kerana menghadapi Sarawak dalam perlawanan pusingan pertama kalah mati Piala FA Sabtu ini,” katanya.



Sokongan Kami Zaman Berzaman