Kelate.net

Butler Puas Red Warriors Kekal Teraju

Kemaskini pada January 30, 2012 / Oleh Webmaster


ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!
Denny Antwi meraikan gol ketiga bersama S.Subramaniam ketika mengalahkan Kuala Lumpur 3-0 dalam perlawanan Liga Super malam semalam.

KOTA BHARU – Tiga mata penting yang diraih setelah mengalahkan Kuala Lumpur 3-0 dalam perlawanan Liga Super malam semalam sudah cukup untuk memastikan takhta liga terus diterajui The Red Warriors buat kali kedua selepas mengharungi lima perlawanan.

Bagi pengendali pasukan, Peter Butler, beliau ternyata cukup gembira dengan kemenangan tersebut meskipun di saing hebat barisan pemain muda Kuala Lumpur sehingga berjaya diikat keputusan tanpa jaringan sehingga babak pertama berakhir dalam perlawanan tersebut.

“Sebelum perlawanan, saya beritahu kepada semua pemain betapa kemenangan ini amat penting kepada kita. Jelas semua pemain beraksi mengikut arahan dan tidak memandang mudah barisan pemain muda Kuala Lumpur,” katanya kepada media sejurus perlawanan berakhir.

“Kita hormat pasukan Kuala Lumpur seperti mana kita menghormati pasukan lain seperti Terengganu, Selangor atau pun Negeri Sembilan. Tidak ada bezanya dan ini terbukti apabila pemain Kuala Lumpur bekerja keras sepanjang perlawanan ini dan memberikan masalah kepada kita untuk menjaringkan gol.

“Tetapi saya gembira dengan kemenangan ini dan yang penting sekali kita mendapat tiga mata. Pasukan kita sudah menampakkan peningkatan sedikit demi sedikit dalam setiap perlawanan yang kita harungi setakat ini,” katanya.

Jurulatih kelahiran Halifax, England itu berkata, kunci kemenangan The Red Warriors berpaksikan kepada semangat berpasukan yang ditonjolkan sepanjang aksi 90 minit perlawanan tersebut.

“Kita beraksi dalam tempo permainan dan disertai semangat juang yang tinggi untuk memenangi perlawanan ini. Pemain berhak diberikan pujian kerana bekerja keras untuk memastikan kemenangan kita ke atas Kuala Lumpur,” katanya.

Mengulas mengenai percaturan beliau mengeluarkan penjaring terbanyak, Norshahrul Idlan Talaha di penghujung perlawanan, Butler jelas mempunyai alasan tersendiri di sebalik percaturannya itu.

“Mat Yo (Norshahrul Idlan) juga manusia biasa dan bukan mesin. Kita tidak boleh menggunakan kudrat beliau berlebih-lebihan. Beliau perlu beraksi banyak perlawanan bukan sahaja untuk kita tetapi juga bersama pasukan kebangsaan.

“Saya tidak mahu beliau ditimpa kecederaan kerana kita mahu gunakan khidmatnya dalam banyak perlawanan lagi selepas ini. Saya mesti jaga beliau dengan baik dan lagipun kita sudah selesa mendahului 3-0 pada ketika itu,” katanya.

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.

Sokongan Kami Zaman Berzaman