Penyokong-penyokong Kelantan berpusu-pusu mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia yang dijual di Stadium Sultan Muhammed IV dekat Kota Bharu, semalam. KOTA BHARU - Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa semalam menafikan laporan Kelantan telah hilang kelayakan beraksi dalam Liga Malaysia musim depan. Beliau, sebaliknya menegaskan, skuad Kijang akan hadir mewarnai bola sepak tanah air musim 2010 dengan pasukan yang lebih kuat untuk mengejar gelaran treble.
Menurut Annuar, beliau telah menemui Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad untuk memaklumkan mengenai kedudukan sebenar KAFA dan kemampuan kewangannya, kelmarin. "Mengenai Kelantan tidak layak, saya rasa bolehlah dirujuk balik kepada FAM. Kita tidak termasuk di dalam senarai itu kerana kita bukan sahaja akan menyertainya malah tampil dengan pasukan yang lebih kuat. "Saya tahu ada sedikit masalah teknikal berkaitan hutang lama KAFA sebelum saya menjawat jawatan ini namun pastinya musim depan kita akan beraksi," tegasnya. Annuar bercakap kepada pemberita selepas majlis ringkas penyampaian bonus, semalam berjumlah RM66,000 kepada pemain Kelantan atas kejayaan layaki ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada 7 November ini. Semalam, media melaporkan, Kelantan antara pasukan yang hilang kelayakan kerana tidak memenuhi syarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT). Kelantan dikatakan belum menyelesaikan masalah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pembayaran gaji pemain. Annuar berkata, masalah yang berlaku adalah ekoran aduan beberapa pemain lama Kelantan berhubung pembayaran gaji mereka. Katanya, ia adalah hutang lama sebelum beliau menjadi Presiden. Katanya, Majlis KAFA telah memutuskan bahawa semua hutang persatuan terhadap pemain bermula 2005 akan dilangsaikan. "Itu adalah hutang tujuh atau lapan tahun lalu tetapi KAFA hanya akan jelaskan hutang yang ada bermula tahun 2005 hingga sekarang. "Bagaimanapun, setiap wang yang KAFA ada sekarang saya akan gunakan untuk jaga kebajikan pemain sekarang terlebih dahulu kerana sumber kita terhad," jelasnya. Tambahnya, sekiranya masalah itu masih menjadi alasan untuk Kelantan tidak layak, Annuar akan menggunakan wangnya sendiri untuk membayar setiap hutang yang ada. |