promo
Senario Umum Pembelian Pemain Sekarang PDF Cetak Emel
Ditulis oleh betterman   
TUESDAY, 17 NOVEMBER 2009 23:51

Bagi saya, Kelantan masih diperingkat baru dan mentah dalam pengambilan pemain bintang. Ini berlaku kerana track record Kelantan yang baru bersih dan baru setahun dua bersih. Tidak ada bintang yang benar-benar mahu ke Kelantan kecuali mereka yang mahu membuat turning point dalam karier selain faktor gaji adalah pemangkinnya juga. Keunikan Kelantan tidak cukup menghadirkan rasa ghairah pemain untuk datang ke Kelantan.

Uniknya Kelantan sebuah pasukan yang memiliki pemain hebat yang rata-rata gemar berhijrah dan Kelantan juga pasukan yang antara 5 negeri di malaysia mempunyai fan base yang terbaik dalam sedekad dua ini dan hanya Kelantan tidak pernah memenangi apa-apa major trophies yang dipertandingkan oleh FAM di Malaysia.

Maksud saya turning point dalam career, sebagai contoh Indra Putra. Pemain yang beraksi bagus dengan skuad Malaysia, mempunyai masalah untuk perform dan bagi sepenuh perhatian kepada persembahannya untuk pasukan kelab. Kalau satu pasukan tak mengapa, tetapi dua pasukan sebelum Indra ke Kelantan, beliau gagal sebagai pemain untuk bermain as a team player. Beliau harus lakukan sesuatu untuk karier beliau yang semakin malap, dan beliau berjaya lakukannya di Kelantan.

Sekarang ramai mata memandang kejayaan beliau dan kerana beliau sudah berjaya membentuk form di kelab kendaliannya (sebagai ketua pasukan), pastinya beliau boleh melonjak dan berpindah kepasukan lain yang lebih mampu melonjakkan namanya dan kewangannya. Sama jugalah dengan Norfarhan Muhammad dari PDRM setelah gagal di Terengganu sebelum itu. Tidak keterlaluan kita boleh katakan, Kelantan sekarang merupakan pasukan yang mampu menawarkan gaji tertinggi kepada pemain. Tetapi adakah perkara ini dijamin mampu berkekalan sehingga 3-4 tahun? Pastinya tidak ada yang mampu memberikan kepastian yang jitu.

Adalah penting bagi pemain yang sedang menyinar dalam membina karier sekarang dan masih berusia muda untuk memilih pasukan yang established track recordnya. Pasukan seperti Selangor seumpamanya, mampu menanam rasa kebahagian berpanjangan bagi pemain yang ingin kesana. Selain itu, jika kita perhatikan, ada pemain bintang yang akhir-akhir ini lebih gemarkan pasukan kelab yang baru dan segar track recordnya. Contohnya, KL Plus, Johor FC, T-Tteam dan beberapa lagi yang mendatangkan kesenangan bagi pemain untuk coupe dengan suasana. Bermain untuk kelab tidak akan ada tekanan dari peminat yang taksub seperti peminat pasukan negeri. Kurangnya kontroversi dan tingkatkan prestasi, itu motto melodi sebenarnya, bersesuaian dengan pasukan kelab yang established dari segi kewangan dan kesungguhan. Kita boleh katakan banyak sudah pasukan kelab yang baru ditubuhkan dan banyak yang terkubur. Namun yang pasti pemain yang bersikap tidak mahu terlalu menyinar, mahu untuk mencurahkan bakti buat pasukan kelab yang dijamin akan terjamin karier mereka oleh kerana penaung kelab yang ternama sekurang-kurangnya mampu menampung mereka untuk tiga empat tahun sebelum ada bencana melanda seperti MPPJ, Public Bank, Telekom Melaka dan beberapa lagi.

Saya rasa untuk menjadi pasukan yang sebaik Real Madrid dalam track recordnya, Kelantan memerlukan empat lima tahun lagi, tetapi untuk menjadi seperti Manchester City, Kelantan sudah berada di landasan yang sama. Kita lihat di Manchester City, hanya pemain bintang yang mahu membuat turning point dalam kariernya sahaja yang akan kesana. Namun untuk membina nama yang benar-benar kukuh, seharusnya pemain bintang yang sudah established current form mereka, mahu ke Real Madrid. Kita lihat sahaja apabila pemain-pemain di Malaysia ini sudah bersara, jika dilihat pada sejarah mereka, jika mereka pernah menyertai Selangor, pastinya sedikit ada nafas segar pada penilai itu untuk memikirkan pemain ini bermain untuk Selangor di era mana. Kita lihat sendiri anak Kelantan yang pernah bermain untuk Selangor, walaupun form tidak menentu tetapi ada kekaguman yang terhidu dan ada sebab kenapa dia dibeli oleh Selangor ketika itu. Lihat saja betapa gahnya nama Tengku Hazman. Paling tidak pemain Kelantan yang simpanan sahaja disana sudah dipandang dengan sedikit kekaguman seperti Saifulnizam Hussien dan Shahrizan Ismail.

Penulisan saya ini bukanlah untuk mendatangkan gah kepada selangor. Ini cuma pandangan peribadi biasa yang saya kaji kenapa pemain bintang muda-muda ke pasukan yang established. Di Malaysia ada contoh itu sahaja yang rasional untuk dipampankan. Kita lihat pula pemain luar yang datang ke Kelantan yang benar-benar anak kelahiran negeri luar (tidak termasuk Daudsu) untuk musim lepas. kita lihat Azlan Zainal yang masih muda ke Kelantan adalah kerana faktor kewangan di Perak dan faktor untuk menaikkan namanya kembali yang sudah terkeluar dari senarai pemain nasional. Itu juga faktor turning point, Hanya dia pemain berusia muda jika dikira Indra dan Khalid sudah berusia (didalam karier bolasepak Malaysia). Kelantan tidak gah pun dengan kehadiran pemain muda-muda, faktor juga kerana Kelantan sewaktu itu berinisiatifkan liga perdana sahaja. Tidak ada nama-nama yang tengah mekar mewakili skuad Malaysia pun datang. Tahun ini (untuk musim depan) kita masih di takuk sama. Pemain berusia muda yang saya idamkan seperti Farderin Kadir dan Nurul Azwan Roya pun berkeberatan untuk datang jika di jemput. Bukan menghina pasukan sendiri, tetapi apa yang saya ketengahkan adalah bagaimana pemain bintang malaysia berfikir mengenai pelawaan untuk bermain dipasukan kaya atau pasukan yang digeruni, itu perbezaannya.

Tentang faktor pengurusan kelab juga banyak memainkan peranan sekarang. Ini tidak termasuk pasukan Kelantan, namun ada sedikit untuk saya bahaskan. Ada kelab yang ketiadaan wang dan masih dinilai berhutang seperti Perak, akan kehilangan bintang-bintang mereka(menjadi pertanyaan besar, kemana agaknya hala tuju Razali Umar Kandasamy nanti). Mengenai pasukan Perlis yang mempunyai masalah membayar gaji pemain, jika ada kesetiaan pastinya ramai diantara mereka akan kekal. Mengenai pasukan yang bermasalah pengurusannya, persoalan pengurusan kerajaan negeri atau pengurusan bebas. Kedah sudah kehilangan masterskill Azrai Khoor, pastinya kehilangan key player mereka yang muda-muda dan akan menyinar di Selangor. Khyril Muhaymin, Sabree Abu pastinya akan menyinar disana. Kerana itu kelihatan Selangor masih peringkat perlahan mengambil sikap tunggu dan lihat mengenai kontrak pemain-pemain key player mereka, kecuali beberapa yang terselamat seperti Amri Yahya dan Amirul Hadi serta beberapa lagi. Pendekatan ini sepatutnya merisaukan pengurusan Kelantan, kerana Selangor dijangka saingan sengit kepada kelantan selain Negeri Sembilan dan Perlis yang lebih underdog.

Akan tetapi, sebenarnya pengurusan Kelantan pastinya mempunyai pendekatan berbeza didalam menawarkan kontrak kepada pemain luar. Jika diperhatikan, sikap pengurusan KAFA yang masih bermain kata dua mengenai pemancingan Hardi Jaafar dari Selangor adalah kerana disebabkan kerana KAFA ada kuotasi dan had limit mereka sendiri. Tidak perlu mereka menjelaskan kepada penyokong kenapa dan bagaimana mereka memancing pemain ini dan tidak pemain itu. Tidak perlu kita bising dengan cara KAFA yang terbukti agak berjaya membentuk beberapa pemain yang kita sangsikan, pastinya seperti Khalid Jamlus dan Ahmad Azlan Zainal. Sudah agak berjaya didalam konteks umum walaupun persembahan individu agak mengecewakan. Kita kecewa sebab modal harga pemain yang tinggi, tetapi siapa lebih tahu mengenai had limit dan kuotasi selain KAFA yang mengeluarkan modal lebih besar?

Selain itu saya ingin sentuh mengenai kerisauan penyokong tentang had keramaian kuantiti pemain luar dijangka mengatasi kualiti. Apa yang kita dengar walaupun ini masih bersifat spekulasi, tentang KAFA akan mengambil 11 pemain baru menggantikan 11 pemain yang akan digugurkan. Ingin dijelaskan disini, 11 pemain tersebut bukanlah semuanya pemain luar. Pastinya 11 pemain itu campuran pemain luar dan pemain muda yang akan diketengahkan nanti. Pastinya Kelantan masih bersikap mengenengahkan pemain muda didalam pasukannya sebagai jati diri pasukan seperti sebelum-sebelum ini. Kita lihat lahirnya permata seperti Mohd Zamri Ramli, tidak siapa yang jangka pemain muda ini mampu menyinar sebaris dengan Indra Putra, Norfarhan dan Badhri Radzi. Kita akan dihidangkan dengan permata-permata baru musim depan seperti Wan Zaharulnizam dan Khairul Izwan Roseli yang beraksi cemerlang bersama skuad Malaysia pra sukan sea kendalian Ong Kim Swee. Tidak perlu risau dengan kenyataan itu. Saya rasa paling ramai pun tak akan lebih tujuh pemain luar yang akan datang, disebabkan dua kerusi tambahan menggantikan Khalid Jamlus dan Azlan Zainal.

Sama-samalah kita cuba renungi dan saya tak rasa point-point saya sempurna dan akan dipersetujui ramai. Ini cuma pada pengamatan saya sahaja. Liga Malaysia masih terlalu awal sebenarnya untuk KAFA memanggil pemain untuk diumumkan.  Namun sebagai seorang bekas menteri sukan dan peminat sukan bolasepak eropah, Tan Sri Annuar pastinya merasa terpanggil untuk membuat grand announcement untuk setiap musim, bertepatan dengan keperluan dari pasukan yang mantap pengurusan dan kewangan, adalah amat perlu perkara ini dilakukan. Tan Sri seorang yang gemarkan kesempurnaan dari segi keunggulan nama. Lihat saja ditubuhkan diliputi dengan pakaian beratus dan beribu serta berpuluh ribu harganya. Polo Ralph Lauren, Louis Vuitton, Gucci dan Rolex serta Patek Phillips melengkapkan gaya beliau. Oleh itu, taktik menempah pemain yang mempunyai nama adalah penting dan menepati idealis Tan Sri Annuar. Kegahan nama pemain walaupun bekas pemain kebangsaan mampu menghadirkan gerun kepada pasukan lawan, sama seperti kita ketika bertemu Perlis, kita gerunkan Nizaruddin, ketika bertemu Negeri Sembilan dalam final kita gerunkan Hairuddin Omar. Nama-nama pemain klasikal ini pastinya mencetuskan rasa gementar pada lawan yang lebih rendah mentaliti permainannya, itu adalah suatu yang kerap berlaku diliga-liga eropah.

Oleh itu, kegusaran, keghairahan dan ketaksuban kita dalam menanti debaran pengumuman pemain baru sama-sama kita kongsikan. Selepas debaran final piala malaysia, kita sambung terus debaran yang membuatkan kebanyakan dari kita hilang tumpuan utama kepada perkara-perkara lain seharian didalam hidup kita, asalkan kita masih mampu mengerjakan tanggungjawab kita sebagai manusia muslim dan bekerjaya atau menuntut ilmu, sudah boleh dikira bagus jika dibandingkan ketaksuban penyokong eropah yang mabuk dengan arak dan kemungkaran lain.

 
Maklumat Lain

Khidmat Sokongan


Yahoo Messenger


Yahoo Messenger Group

My status
Skype

Informasi


Paparan Terbaik : 1024X768


Statistik Kunjungan

Kelate.Net Group's


Friendster Group's | Kelate.Net


Facebook Group's | Kelate.Net

Lagu Bola Kelate