|
Setelah mencatatkan satu kemenangan dan satu seri dalam siri perlawanan persahabatan yang diatur KAFA sebelum ini, Kelantan sekali lagi akan diuji oleh sebuah kelab yang berpengkalan di Selangor, Felda United di Stadium Sultan Muhamad ke-IV, Kota Bharu, rabu depan.
Andai rekod pertemuan diambil kira, pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Kota Bharu, Kelantan menundukkan lawan dengan jaringan 4-1 dimana ketika itu Kelantan diperkuatkan dengan kehadiran pemain import yang juga penjaring prolifik dari Senegal, Mohamadou Mustopha.
Pertemuan ini sememangnya dinanti-nantikan peminat Sang Kijang kerana selain Kelantan, Felda juga melakukan beberapa perubahan besar dalam skuad mereka untuk saingan liga musim hadapan.
Bezanya, Kelantan bersaing di Liga Super manakala Felda pula bersaing di Liga Perdana.
Felda dibarisi beberapa pemain berpengalaman selain diuruskan oleh mereka yang berminat untuk membangunkan skuad yang digelar Budak Felda tersebut. Skuad ini disasarkan untuk mengutip sesuatu musim hadapan dan jika pasukan ini benar-benar serius, pertemuan kedua-dua pasukan rabu ini akan berlangsung sengit.
Ini kerana selain mencari kemenangan, medan pertemuan persahabatan ini juga menjadi gelanggang buat jurulatih kedua-dua pasukan mencari kesebelasan utama selain membentuk formasi yang mampu mencabar pasukan lawan.
B. Sathianathan mungkin sudah berkira-kira siapakah yang akan dipilih untuk mengisi kesebelasan utama Kelantan dan rakan sejawatannya di Felda, E. Elavarasan juga mungkin sudah mempunyai barisan impian untuk cabaran pasukan mereka nanti.
Justeru itu, pertemuan ini akan dijadikan tempat buat kedua-dua jurulatih berbangsa India ini untuk memantapkan pasukan sebelum saingan liga bermula dua minggu lagi.
Kelantan yang diikat seri 0-0 Narathiwat Fc kelmarin mungkin tidak akan melakukan perubahan besar dalam kesebelasan utama menentang Felda United.
Kembalinya Akmal Rizal, S. Subramaniam dan Che Hishamudin kedalam skuad pasti akan menambah kekuatan Kelantan di setiap posisi. Walaupun kehilangan Idlan Talaha yang menghadapi tugasan antarabangsa, pemain lain dijangka dapat mengantikannya untuk memburu gol.
Diperhatikan dalam perlawanan sebelum ini, posisi penjaga gol melawan Felda mungkin akan terus diisi Syed Adney Syed Hussien lantaran statusnya selaku penjaga gol skuad Kebangsaan dan pernah bermain dibawah kendalian Sathia ketika di skuad negara. Syed Adney dilihat masih tidak menunjukkan kemampuan sebenarnya selain kadangkala melakukan kesilapan mudah yang boleh memerangkap pasukan.
Tidak salah dalam perlawanan ini Sathianathan menggunakan khidmat Mohd Shahrizan dan Khairul Fahmi di posisi penjaga gol kerana kedua-dua pemain telah membuktikan kemampuan mereka dalam perlawanan sebelum ini selain dapat mempamerkan persembahan yang mungkin membantu sang Kijang.
Barisan pertahanan pula tiada masalah buat masa sekarang kerana menampilkan aksi memberangsangkan ketika menyekat pasukan T-Team dan Narathiwat. Para pemain pertahanan semakin menunjukkan keserasian walaupun masih ada beberapa kesilapan kecil yang dilakukan tetapi ianya dapat diperbaiki.
Azizi Mat Rose, Daudsu Jamaludin, Rizal Fahmi, Farisham Ismail, Zairul Fitree, Sarudy Aziz, Zamri Ramli dan Subramaniam berpeluang untuk diturunkan dalam perlawanan menentang Felda. Walau Sathia menggunakan pertahanan sama dalam dua perlawanan berturut-turut, tidak mustahil pemain lain dapat menyelitkan nama untuk beraksi dalam skuad pertama.
Posisi tengah pula masih lagi tercari-cari rentak membantu penyerang menjaringkan gol. Pertemuan menentang Narathiwat membongkarkan masalah bahagian ini yang sentiasa kebuntuan idea mencari ruang menembusi gawang lawan. Kehadiran kembali Badri Radzi tidak membawa sebarang perubahan kecuali hanya mencatatkan nama selaku pemain tempatan dalam skuad utama.
Posisi ini turut dibarisi Indra Putra, Shakir Shaari, Khairan Eroza, Zul Yusri, Wan Zaman, Norfarhan dan beberapa nama lagi yang mungkin dapat membantu barisan tengah. Kecuali Farhan dan Indra yang sentiasa berlari dan mencari peluang membolosi lawan, pemain lain masih mempamerkan persembahan biasa-biasa yang tidak menunjukkan corak kelajuan seperti dituntut presiden, Tan Sri Annuar Musa.
Begitu juga dengan penyerang Kelantan yang diketuai Hairudin Omar. Dengan bantuan Akmal Rizal, Chanturu, Idlan, Ailim, Nidzad dan Che Hishamudin mereka belum lagi dapat mempamerkan prestasi terbaik yang mampu membunuh pasukan lawan.
Ini lah yang merungsingkan kerana walaupun dihidangkan beberapa peluang keemasan, jaringan yang dinantikan tidak dapat disudahkan walhal penjaga gol lawan sudah tertewas dan tidak mampu berbuat apa-apa.
Oleh itu, perlawanan menentang Felda nanti diharapkan para pemain Red Warriors dapat memberikan sepenuh perhatian untuk memusnahkan lawan.
Bukan kemenangan yang dicari pada pertemuan pemanas badan ini tetapi keserasian pemain dalam pasukan diperlukan untuk saingan depan kerana bukan sahaja Kelantan, pasukan lain yang bersaing dalam kancah Liga Super juga melakukan persiapan terbaik untuk menggapai impian menjuarai Liga Malaysia musim 2010. |