promo
Rentak Red Warrior Hambar PDF Cetak Emel
Ditulis oleh betterman   
MONDAY, 04 JANUARY 2010 13:52

Permainan rentak hambar diteruskan oleh anak buah B.Sathianathan, malam ini di Stadium Sultan Muhammed iv. Rungutan demi rungutan keluar dari mulut penyokong, tidak kesudahan. Penyokong yang hadir perlawanan persahabatan pra musim skuad Pahlawan Merah itu merasakan komitmen dan naluri tidak diletakkan sebagai kepentingan utama, yang mana ianya harapan terpenting bagi penyokong yang hadir.
 
Akibatnya, dari perlawanan ke perlawanan, jumlah penyokong mula berkurangan. Tetapi harus diingat, banyak aspek yang mengganggu gugat persiapan skuad Cik Siti Wan Kembang ini. Saya akan highlight satu persatu aspek-aspek yang saya duga ianya menjejaskan rentak persiapan persahabatan pasukan kita. Akan tetapi saya akan bercerita mengenai kesebelasan utama, rotasi, taktikal dan formasi dahulu.
 
Ianya tidaklah menjadi perkara menarik, bila perlawanan persahabatan, kedua-dua pasukan mengamalkan taktikal nuetral, tidak terlalu menyerang dan bertahan, lebih-lebih lagi menentang pasukan yang bermain hantaran disiplin tepat sampai kaki, sama seperti menentang Narathiwat Fc. Benteng yang fokus, gawang yang sentiasa mengarahkan bek mereka marking pemain lawan, selain hantaran-hantaran biasa yang cuma sesekali merbahayakan kubu Kelantan. Ramai peminat duga, Kelantan mencari sparring partner yang lemah untuk persahabatan. T-Team, Narathiwat dan Felda, bermain corak yang sama, cuma menentang T-Team pemain yang diturunkan adalah bakal kesebelasan utama yang terus menunjukkan aura pembukaan apabila perlawanan pertama di hadapan penyokong sendiri. Pemain merasakan aura itu, Chanturu membalas tepukan tangan kepada peminat yang menyokongnya, Shahrul Idlan dan Syed Adney melambai-lambaikan tangan kepada peminat. Itu adalah perlawanan pembukaan yang mempunyai aura. Namun perlawanan seterusnya amatlah mendukacitakan.

Felda United, sebuah pasukan yang organize dari segi pengurusan kewangan, katanya mendapat suntikan habuan terus dari Perdana Menteri kerana badan Felda yang bersungguh-sungguh membentuk kejituan didalam persatuan mereka. Musim lepas mereka sudah dilengkapkan dengan penghijrahan pemain-pemain separa bintang ke pasukan mereka, hadirnya nama-nama besar dan nama-nama veteran seperti Nazrul Erwan, M. Elanggo, Chow Chee Weng, Hasmawi Hassan dan Juzaili Sameon, tahun ini diperkuatkan dengan kehadiran Khaironnisam Shahabuddin, Hardi Ahmad, Fatrurozi Rozi, Ahmad Shahreen Mubin, Arsyah Ayob dan Nizam Abu Bakar. Tidak hairan perkembangan bola sepak yang boleh dibanggakan apabila produk segar dari Felda yang dapat dituai, nama bintang masa depan Malaysia sudah terhidang dengan kecemerlangan penyerang muda pasukan Malaysia bawah 19 tahun, Wan Zack Haikal. Kesungguhan Felda United untuk menyertai Liga Super untuk musim 2011 sepatutnya boleh mendatangkan kejituan dalam persembahan, dan selayaknya didalam liga M, sudah jelas taraf sama rata antara pasukan elit dan pasukan bawahan amatlah rapat gap nya.

Felda United turun dengan kesebelasan utama, Ahmad Zainal Rabin di posisi gawang, Kamarul Afiq sebagai bek kanan dan Chow Chee Weng sebagai bek kiri. Nazrul Erwan Makmor adalah ketua pasukan yang mengemudi bek tengah bergandingan dengan Ghani Rahman. Dikawasan tengah defensive midfielder, Khaironnisam Shahabudin masih lagi mampu memerah keringatnya melawan pemain-pemain muda dan berjaya dengan tugasan diposisi itu. Rakan gandingan nya ditengah adalah Amir Shahreen. Disayap kanan, Juzaili Sameon bergandingan dengan sayap kiri pemain tinggi lampai yang agak cemerlang tadi, Nizam Abu Bakar. Second striker mereka adalah Arsyah Ayob dan top striker mereka adalah bekas penyerang Kedah, Hasmawi Hassan. Agak lengkap formasi 4-1-3-2 Elavarasan ini.

Berbanding pasukan eksperimen Kelantan, B.Sathianathan mencampur aduk pemain muda dan pemain utama agak keserasian dan persediaan jika ada kecederaan kelak bakal mampu dipikul dengan pergandingan yang telah dilakukan sekarang. Diposisi gawang, Shahrizan Ismail seperti musim-musim lepas memerlukan tiga atau empat perlawanan utama dahulu untuk mendapat form, bek kanan kembali di isi oleh Daudsu Jamaluddin apabila B.Sathianathan tidak mahu bermain corak defensive midfielder tetapi menggunakan formasi 4-4-2 nuetral.
 
Zamri Ramli masih lagi mendapat posisi tangkap muat yang amat lemas untuk ditanggungnya iaitu posisi bek kiri. Ketiadaan Zairul Fitree lebih merisaukan apabila tanggungan itu terpaksa diserahkan kepada Farisham Ismail yang lebih senang bermain posisi centre back atau bek kanan. Gandingan baru ditengah, S.Subramaniam digandingkan dengan pemain yang serius dan mula mendapat rentak, Azizi Mat Rose. Dikawasan tengah, gandingan mantap yang mendapat pujian dalam perlawanan menentang T-Team kembali digabungkan, iaitu Badhri Radzi dan Shakir Shaari. Sayap kiri digalas ketua pasukan Indra Putra dan kanan pula digalas oleh pemain muda meningkat naik, Izuan Solahuddin. Gandingan kembar botak mengepalai serangan pasukan Kelantan, Hairuddin Omar dan Akmal Rizal Rakhli. Kelantan merehatkan tiga pemain utama mereka iaitu Syed Adney, S.Chanturu dan Norfarhan Mohammed.

Separuh masa pertama, pemain-pemain bergelut untuk mencari form. Sambil menghalang hantaran-hantaran senang Juzaili dan Nizam Abu Bakar, sesekali pertahanan dan tengah pasukan Kelantan menjadi lemas. Kelantan seperti musim-musim lepas, terkenal dengan corak yang cepat terikut corak lawan. Jika lawan perlahan mereka akan lebih perlahan. Proses pencairan kebekuan pemain-pemain diatas padang amatlah sukar dan mengambil masa. Indra Putra juga kelihatan tiada mood apabila melihat gandingan Akmal dan Hairuddin yang seolah-olahnya tidak mahu menjadi serasi.
 
Perbezaan ketara Kelantan musim ini adalah dengan cara-cara hantaran senang Shakir yang memudahkan pemain Kelantan untuk move forward. Namun bola di peringkat awal banyak tersekat dengan gerakan gagal Akmal dan Hairuddin yang kurang selesa menerima hantaran-hantaran cantik Badhri dan Indra. Diseberang kiri Zamri yang kecederaan digantikan dengan Farisham. Pasukan Kelantan yang tidak meletakkan pemain defensive midfielder yang boleh hold bola dan membantu benteng, kelihatan tertekan sesekali diasak dan gandingan Subra dan Azizi agak kalut kadangkalanya. Izuan Solahuddin yang mendapat peluang untuk menyinar juga gagal dibantu oleh veteran-veteran apabila hantaran dan permintaan bolanya kerap terhalang dan bola kerap terlebih laju.

Separuh masa kedua, Izuan Solahuddin digantikan dengan pemain yang memilih nombor jersi yang baru iaitu nombor 4, Zulyusri Che Harun. Pemain ini yang dikritik hebat pada perlawanan lalu, kembali dengan lebih semangat, dan membuat crossing yang mengelirukan. Crossingnya kadangkala terlalu laju dan tindakannya masih lagi agak lambat dan teragak-agak, namun crossnya kadang-kadang boleh dipuji. Gol Felda United hadir lebih dahulu kerana Kelantan kelihatan seperti putus asa untuk menyerang, bila mereka mendapat sepakan penjuru, clearance biasa dilakukan oleh Indra, disambar oleh Khaironnisam dengan sepakan loap yang laju mengelirukan Shahrizan kerana bola terlalu deep turun dengan laju dihujung jaring. Selain itu Shahrizan agak teragak-agak kerana sebelum Indra membuat clearance beliau cuba membuat tampanan keluar namun tidak mengena dan mungkin Shahrizan lambat kembali ke dalam gol dan kekalutan didepan gol dengan hadangan yang tak mengena, membolehkan Felda United mendapatkan gol tanpa terlalu memberi effort dalam menyumbangkan gol tersebut.

Kelantan yang agak tersentak dan kadangkala agak tenggelam kembali dalam mencari persefahaman, bangkit dengan gol penyamaan. Passing dari tepi oleh Daudsu keluar box dalam keadaan Akmal tidak terkawal, membuat shoot yang perlahan namun terlantun dikaki benteng dan bola gagal diagak oleh Zainal Rabin. Selepas itu beberapa percubaan sambil lewa Kelantan diselamatkannya selain percubaan yang melewati palang. Kemasukan Nizad Ayub, Rizal Fahmi, Wan Zaman dan Khairan Eroza tidak banyak membantu, namun kehadiran Che Hishamuddin lewat hujung minit ke 80' memberikan tarian yang sedikit menggembirakan penyokong. Depth yang diwujudkan dengan larian mengelirukan membuatkan penyokong sedikit tersenyum. Namun persefahaman yang teruk menjadi punca kenapa pasukan Kelantan gagal menambah bilangan gol.

Mengenai aspek yang meruntunkan jiwa penyokong, iaitu aspek menyebabkan pemain beraksi longlai, saya duga ada beberapa faktor yang menjunam kearah itu. Liga yang bakal tiba, membuatkan pemain tidak mahu memberikan sepenuh agresif kerana risau akan kecederaan. Lihat pula beberapa pemain yang cedera ringan direhatkan terus walaupun boleh diturunkan untuk beberapa minit. Ini kerana jadual yang pack dan tour jauh meletihkan pemain serta liga yang bakal bermula membuatkan pemain bintang seperti Indra Putra juga menyimpan taring buat seketika. Yang merisaukan saya, ialah mood penyerang bintang yang kelihatan masih dengan egonya, membuatkan persefahaman susah dibentuk. Saya lihat Hairuddin mempunyai effort yang baik untuk disumbangkan, tetapi beliau kelihatan kurang meminta bantuan dan kurang mengharapkan rakan, tidak membantu pasukan dan pemain muda dalam pembentukan persefahaman.

Selain itu, masalah yang meracuni minda B.Sathianathan sekarang adalah jauh lebih besar dari masalah yang difikirkan oleh penyokong. Cuba kita bayangkan, bagaimana untuk coach merehatkan pemain-pemain yang hampir sama hebat dengan yang lain diatas padang, dan pemilihan kesebelasan utama yang luas skopnya pasti menjadi topik rutin didalam panel kejurulatihan pasukan Kelantan musim ini. Bayangkan persoalan yang timbul, Siapakah gandingan bek tengah yang baik? Azizi dengan Subra? Azizi dengan Rizal? Rizal dengan Subra? Bayangkan siapa gandingan penyerang? Shahrul dengan Chanturu? Chanturu dengan Akmal? Akmal dengan Hairuddin? mempunyai enam penyerang yang sama hebat dan semuanya fit diturunkan pastinya musibah buat coach. Memilih gawang yang hampir sama standard lagi, menjadi topik rumit untuk dirungkaikan oleh Coach Sathia, Coach Hashim, Coach Sidek, Coach Zahasmi, Coach Kamaruddin, Coach Anizan, Coach Ismail dan Coach Halim Napi?

Kafa juga menjadi satu ikon untuk pemain dan coach merujuk permasalahan mereka. Dengan staff coo dan pembantu staff yang baru dan ramai, dengan pemain-pemain back-up yang ramai berkelayakan untuk diserap, dengan pemain merindui kepulangan Tan Sri dan memberi semangat dan insentif, semuanya berlegar didalam pasukan Kelantan sekarang, dengan permasalahan ulat tiket, permasalahan penyokong ganas, permasalahan hutang lapuk, permasalahan jersi tak original akan dicetak, permasalahan dalaman yang berguni-guni lagi, semuanya menjadi sebab musabab sahaja kenapa pasukan tidak bertambah produktif tetapi bertambah negatif.

Permasalahan ini akan sedikit-sedikit diselesaikan dan jika kena caranya, pastinya awal musim yang hadir tidak akan menggusarkan penyokong, lebih-lebih lagi penyokong seperti saya yang cuma mengharapkan satu piala, iaitu Piala Liga Super, mengharapkan fokus yang cemerlang, konsistensi yang berterusan, gerak kerja yang mantap dan pembentukan sebuah persatuan yang well organized, pastinya menjadi impian penyokong lain juga. Ini adalah mimpi yang akan terjawab nanti. Jika kita rajin untuk menunggu game EPL yang berlangsung pukul 4 pagi di astro, kenapa kita tidak boleh sabar untuk menunggu pembentukan pasukan Kelantan? Saya akhiri analisa saya kerana perlawanan EPL akan bermula 5 minit lagi, sekarang pukul 3.50. Sekian dari Konti Pengulas dan Penganalisa Bolasepak Kelantan.
 
Maklumat Lain

Khidmat Sokongan


Yahoo Messenger


Yahoo Messenger Group

My status
Skype

Informasi


Paparan Terbaik : 1024X768

Kelate.Net Group's


Friendster Group's | Kelate.Net


Facebook Group's | Kelate.Net

Lagu Bola Kelate