|
Ditulis oleh RedsFC
|
|
MONDAY, 04 JANUARY 2010 13:58 |
|
Perlawanan pra musim terakhir menentang Staf USM Pulau Pinang di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu malam tadi berjaya dimenangi tuan rumah dengan jaringan 4-0.
Dua gol jaringan Akmal Rizal dan masing-masing satu gol dari Hairudin Omar serta Che Hishamudin Hasan meletakkan Kelantan dalam keadaan berkedudukan selesa.
Permulaan babak pertama, Kelantan mengasak dengan percubaan sulung dari Farisham Ismail yang melepasi kawalan pertahanan USM tetapi percubaannya disekat penjaga gol lawan, Mohd Solehin.
Kelantan sekali lagi mencemaskan benteng pelawat melalui Hairudin pada minit ke-13 yang tiba-tiba melepaskan sepakan padu tetapi melepasi palang gol.
Usm Pulau Pinang mendapat peluang pertama pada minit ke-15 apabilaMohd Baser Napae memanfaatkan kesilapan Azizi Mat Rose tetapi percubaannya terkena palang gol.
Penyokong seramai 4000 orang akhirnya ceria pada minit ke-19 setelah hantaran lintang Zul Yusri Che Harun berjaya ditanduk Hairudin Omar menewaskan sama sekali Mohd Solehin yang hanya mampu memerhatikan bola menerjah jaring.
Kelantan semakin bernafsu dan melakukan serangan demi serangan untuk menembusi gawang lawan dan Hairudin sekali lagi hampir membolosi gawang pelawat apabila melonjak tinggi menanduk bola hantaran Daudsu tetapi keluar sedikit di tepi sebelah kiri pintu gol Usm.
Usm juga tidak ketinggalan untuk mengancam dan mereka hampir menjaringkan gol melalui`Mohd Afzan yang mendapat hantaran dari sepakan sudut tetapi sepakannya tersasar pada minit ke-38.
Setelah bertungkus lumus menyerang, Kelantan mendapatkan gol kedua melalui Akmal Rizal Rakhli pada minit ke-40 setelah hantaran lintang Indra Putra Mahayudin berjaya ditanduknya mengejutkan barisan pertahanan Usm Pulau Pinang.
Daudsu hampir menambah gol pada minit ke-42 tetapi percubaannya tersasar sedikit melepasi palang gol.
Bersambung babak kedua, Mohd Shakir Shaari melepaskan sepakan kencang dari luar kotak penalti tetapi penjaga gol pelawat lebih bersedia untuk menepis percubaan tersebut pada minit ke-47.
Seminit kemudian, Sathianathan melakukan pertukaran pertama mengeluarkan kapten pasukan, Indra Putra dan memasukkan Mohd Izwan Salahudin.
Kemasukan pemain muda ini menyuntik serangan dari sebelah kanan pintu gol lawan membuatkan pertahanan Usm mula berkampung dikawasan sendiri untuk mengekang asakan Kelantan.
Kemasukan Che Hishamudin mengantikan Zul Yusri Che Harun pada minit ke-55 dilihat berbaloi setelah memanfaatkan hantaran cantik Hairudin Omar untuk gol ketiga Kelantan seminit kemudian.
Minit ke-63, Badri Radzi mendapat peluang menambah gol tetapi dia gagal apabila sepakannya ketika berhadapan dengan penjaga gol gantian pelawat, Mohd Zakri Amin berjaya ditepis.
Setelah percubaan itu, Badri Radzi dikeluarkan digantikan dengan Khairan Eroza Razali.
Sebelas minit kemudian, Akmal Rizal menjaringkan gol kedua peribadi dan keempat Kelantan apabila menyepak masuk bola tampanan pertahanan pelawat susulan percubaan awal Che Hishamudin menyebabkan beberapa pemain Usm membantah keputusan pengadil membenarkan jaringan tersebut kerana mendakwa Akmal berkeadaan offside.
Sebaik gol tersebut, Kelantan melakukan empat pertukaran sekali gus mengeluarkan Akmal Rizal, Hairudin, Azizi dan Syed Adney mengantikan mereka dengan Nidzad Ayub, Ailim Fahmi, Hanif dan Khairul Fahmi.
Dua minit kemudian, Wan Zaman dimasukkan mengantikan Mohd Shakir manakala Farisham dikeluarkan untuk memberi peluang kepada Tuan Mohd Norhafizie melakukan penampilan pertama dengan skuad utama.
Hasil satu sepakan sudut pada minit ke-79, Khairan Eroza melakukan satu volley menarik dari luar kotak penalti tetapi berjaya ditampan Zakri Amin dan volley susulan Khairan selepas itu juga sekali lagi ditepis keluar penjaga gol.
Wan Zaman dan Rizal juga berpeluang mencatatkan nama dalam senarai penjaring tetapi sepakan lencong mereka minit ke-85 dan 86 sipi dari tiang gol pelawat.
Tambahan masa dua minit tidak bermakna buat kedua-dua pasukan sebelum wisel dibunyikan pengadil bertugas Yamin Yaacob untuk memberikan kemenangan ketiga Kelantan dari lapan perlawanan persahabatan yang diatur sepanjang kempen pra musim. |