promo
Preview : Perak lwn Kelantan PDF Cetak Emel
Ditulis oleh RedsFC   
WEDNESDAY, 27 JANUARY 2010 17:43

Perak FA bukanlah calang-calang pasukan yang akan dihadapi Sang Pahlawan Merah dalam perlawanan keenam saingan Liga Super di Stadium Ipoh, Perak, malam esok.

Dibarisi pemain muda tambahan pula bermain di gelanggang sendiri memberi kelebihan awal buat anak didik YM Raja Azlan Shah Raja Shoib membenam cabaran Kelantan.
Rekod musim lalu, Kelantan yang ketika itu berada di kemuncak prestasi telah mengecewakan lawan dengan gol jaringan saat akhir dari Norfarhan Mohamed tetapi dengan Kelantan ketika ini mempunyai pemain serba baru selain kejayaan membelasah Johor Fc baru-baru ini mungkin akan mengganas di Ipoh nanti.

Persoalan sekarang, mampukah B. Sathianathan membimbing anak buahnya menundukkan cabaran Seladang rata-ratanya dibarisi pemain yang tidak mempunyai nama besar dalam arena bola sepak tanahair kecuali beberapa pemain senior seperti Razali Umar, K. Nanthakumar, Arif Ismail, Fauzi Kassim serta Benedict Martin.

Perak baru-baru ini berjaya mengikat Kedah di Darul Aman hasil jaringan penyerang sensasi mereka namun terpaksa berpuas hati dengan satu mata akibat kekurangan pemain setelah Saufi Saadi telah dilayangkan kad merah tetapi jika diperhatikan, Perak mampu bermain dibawah tekanan dan ini mungkin akan memerangkap Indra Putra serta rakan-rakan sepasukan Kijang yang lain.

Melihat kepada situasi ini, Kelantan perlu lebih berwaspada dengan pemain muda Perak FA kerana selain bermain di gelanggang sendiri mereka juga mendapat sokongan padu dari kelompok fanatik mereka yang sentiasa memberi sokongan padu walau pasukan dilanda kekecewaan perlawanan.

Perlawanan malam esok menentang Perak, Kelantan dijangka mengekalkan formasi 4-4-2 dengan semua pemain kelihatan cergas untuk diturunkan kecuali Che Hishamudin yang masih digantung perlawanan akibat tindakan kurang bijak semasa menentang Kedah di Kota Bharu.

Sekembalinya Halim Napi kedalam skuad Kijang mungkin meredakan sedikit kerungsingan peminat akan persembahan Syed Adney yang bertanggungjawab melakukan kesilapan mudah menyebabkan dirinya terpinggir dari skuad pada perlawanan menentang Johor Fc kelmarin. Dengan Shahrizan telah dikeluarkan dari pasukan dan Khairul Fahmi pula belum diyakini untuk turun beraksi penuh dalam perlawanan, Halim Napi akan terus diberi peranan menggalas tugas di posisi no 1 menghalang percubaan lawan untuk merobek kubu kendaliannya.

Pertahanan terbaik Kelantan, Azizi Mat Rose pula dikhabarkan akan terus diberi tanggungjawab penuh bersama-sama bekas ketua pasukan Perak, S. Subramniam serta dua pemain tempatan, Zairul Fitree dan Daudsu Jamaludin untuk mengemudi kawasan bawah menghalang cubaan Razali Umar serta seorang pemain penyerang gantian setelah rakan gandingannya, Saufi Saadi digantung perlawanan.

Tetapi tidak salah jika Sathianathan melakukan sedikit perubahan dengan mencuba gandingan baru meletakkan Subramaniam serta Daudsu di bangku simpanan memberi peluang buat Rizal Fahmi dan Farisham Ismail dimasukkan dalam kesebelasan utama, bermain di posisi asal mereka kerana penting bagi setiap pasukan memasukkan pemain simpanan lain dengan tujuan merehatkan pemain utama dari keletihan dan tekanan perlawanan.

Posisi tengah juga tiada sebarang perubahan besar setelah mereka semua beraksi cemerlang semasa menundukkan Johro Fc. Mereka berjaya menghantar bola kepada pemain penyerang selain mampu mengatur gerak pantas untuk memerangkap barisan pertahanan lawan. Cuma, Indra Putra, Badri Radzi, Shakir Shaari dan Farhan perlu lebih mencari idea untuk mengawal kawasan mereka sebelum melakukan sebarang hantaran atau percubaan ke kubu pasukan Perak.

Diperhatikan ketika perlawanan sebelum ini, mereka bagaikan tidak serasi bersama untuk bermain secara berpasukan setelah kombinasi pemain tengah utama ini lebih kepada skill individu menyebabkan bola kawalan mereka banyak tersangkut selain dirampas lawan untuk melakukan serangan balas.

Oleh itu, Sathianathan perlu memberi kata dua kepada pemain tengah sama ada menyerang pintu gol lawan atau melihat kubu mereka diserang. Jika tiada perubahan, Zamri Ramli, Wan Zaman, Khairan Eroza masih ada untuk masuk mengantikan mereka.

Kritikan demi kritikan serta cemuhan peminat kepada pemain penyerang semakin kuat kedengaran setelah beberapa pemain utama gagal meletakkan bola kedalam jaring. Hairudin Omar masih lagi ketandusan gol setelah lima perlawanan manakala Akmal Rizal pula telah direhatkan untuk perlawanan tiga hari lalu setelah aksi mengcewakan manakala Idlan Talaha pula masih belum cergas sepenuhnya walaupun berjaya menjaringkan gol pertama sebelum dikeluarkan.

Mereka bertiga ini sememangnya mempunyai nama besar dalam arena bola sepak tanahair namun masih gagal beraksi seperti gahnya nama mereka, mungkin tidak serasi dan mungkin juga sudah kehabisan cara untuk beraksi cemerlang. Peminat mengkritik bukan untuk menjatuhkan moral mereka tetapi memberi mereka lebih semangat agar mampu membunuh di depan gawang pasukan lawan.

Oleh itu, sama ada Akmal, Hairudin ataupun Idlan yang akan diturunkan menentang Perak nanti mesti menggunakan kesempatan tersebut untuk mengasah kembali mood ataupun semangat ataupun naluri pemusnah mereka yang kelihatan sedikit berkarat dalam perlawanan lalu. Mengharapkan penyerang muda seperti Ailim dan Nidzad rasanya Sathianathan tidak mampu setelah mereka masih gagal memberi impak kepada pasukan walau dua tahun berada dalam skuad senior.

Malam esok menjadi saksi adakah kemenangan Kelantan menentang Johor Fc tempoh hari adalah nasib semata-mata ataupun berdasarkan kekuatan sebenar pemain Sang Kijang. Manakala Perak pula pasti ingin membuktikan sesuatu kepada penyokong mereka setelah mendapat azimat terbaik mengikat Sang Kenari di Darul Aman.

Nantikan, bagaimana YM Raja Azlan dan B. Sathianathan membimbing anak didik mereka kearah tiga mata untuk memperbaiki kedudukan pasukan dalam carta TM Liga Super.

Perlawanan ini dijangkakan sengit dengan kedua-dua pasukan akan mendapat sokongan penuh dari peminat mereka. Dari Kota Bharu, dua buah bas telah disediakan Kelab penyokong Rasmi Kelantan manakala dari KL pula hampir 20 buah kenderaan ahli Kelate.net dan penyokong Kelantan lain siap siaga untuk berkonvoi ke Ipoh serta tentera-tentera merah yang berada di sekitar utara terutamanya di Perak, Kedah, Pulau Pinang serta Perlis mungkin akan turut serta.

Sang Seladang pula pasti mengharapkan peminat mereka akan turun sama-sama memberi sokongan moral selain mengharapkan mereka dapat mengahalang penyokong Wira Merah dari mendominasi arena mereka sendiri.

Apa-apa pun, kepada yang bertandang, hati-hati di perjalanan selain tunjukkan semangat kesukanan yang tinggi, jangan melakukan tindakan yang mencemarkan nama negeri dan pasukan serta kalau boleh berikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan yang bertanding.
 
Maklumat Lain

Khidmat Sokongan


Yahoo Messenger


Yahoo Messenger Group

My status
Skype

Informasi


Paparan Terbaik : 1024X768

Kelate.Net Group's


Friendster Group's | Kelate.Net


Facebook Group's | Kelate.Net

Lagu Bola Kelate