Kelate.net

Farhan: Semangat Kami Membara

Kemaskini pada May 8, 2015 / Oleh Webmaster


ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!
Mohd Norfarhan Muhammad

‘SEMANGAT kami membara’ Demikian tegas penolong kapten Kelantan, Mohd Norfarhan Muhammad menjelang pertemuan menentang Pahang pada aksi separuh akhir pertama kempen Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam esok.

Pemain sayap yang terkenal dengan panggilan Ben10 itu mengakui moral rakan sepasukannya terjejas setelah tewas 2-3 kepada Sarawak dalam saingan Liga Super tempoh hari, namun dia memberitahu mereka sudah melupakan kekalahan di Kuching itu.

Menurutnya, kondisi pasukannya berada pada tahap terbaik selepas mendapat suntikan motivasi daripada pihak pengurusan pasukan dan mereka tidak sabar-sabar untuk membuat perhitungan dengan juara bertahan musim lalu itu.

“Memang mood rakan-rakan sedikit menurun tapi selepas jurulatih (Mohd Azraai Khor Abdullah) ‘basuh’ dengan kata-kata perangsang, kami kembali bersemangat kerana sedar masih ada sinar untuk Kelantan mendakap trofi kejuaraan pada musim ini.

“Masing-masing (pemain) hendak tunjukkan sesuatu dan pada masa sama kita mahu buktikan kepada penyokong bahawa Kelantan boleh cipta kejutan di sana meskipun prestasi pasukan kurang memberangsangkan ketika ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut pemain kelahiran Wakaf Tapai, Terengganu itu, pasukannya akan turun dengan corak permainan menyerang habis-habisan bagi memastikan misi mencatatkan sekurang-kurangnya keputusan seri ke atas skuad Tok Gajah mampu direalisasikan.

“Kalau ikutkan taktikal jurulatih dalam latihan sehari dua ini, itulah caranya. Apa keadaan sekali pun, saya percaya rakan-rakan dalam pasukan ini bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi pertemuan sengit ini.

“Menariknya kali ini kita akan beraksi di Kuantan terlebih dahulu. Jadi kita akan cuba menggunakan peluang ini menjaringkan gol sebanyak mungkin dan berusaha memastikan gawang tidak dibocori pemain lawan,” katanya.

Bagaimanapun pemain berusia 31 tahun itu menyedari bukan satu tugas mudah bagi pasukannya untuk meraih keputusan positif di gelanggang keramat lawan lebih-lebih lagi skuad kendalian Zainal Abidin Hassan berada di puncak prestasi terbaik ketika ini.

“Kita tahu Pahang memiliki pemain import berkualiti seperti Dickson (Nwakaeme), Damion (Stewart) dan Matias Conti yang merupakan nadi kekuatan pasukan itu.

“Jadi kami perlu merantai kemas pergerakan mereka andai tidak mahu berputih mata,” katanya.

www.sinarharian.com.my

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.

Sokongan Kami Zaman Berzaman