Nafi khabarangin Rooney
MANCHESTER, England - Wayne Rooney dilaporkan memberitahu Manchester United bahawa dia mahu meninggalkan kelab Liga Perdana itu walaupun United berkeras menafikan khabar angin yang disifatkan mengarut itu.
Beberapa akhbar British termasuk Guardian dan Telegraph dalam laporan kelmarin memetik Rooney sebagai kecewa dengan tuduhan pengurus United, Alex Ferguson pada bulan lalu berkaitan kehidupan peribadinya.
Laporan itu juga menyatakan Rooney enggan untuk menandatangani kontrak baru sehingga boleh memaksa kelab itu menjual penyerang tersebut.
Rooney menyertai United dari Everton pada 2004 dengan kontrak bernilai $40 juta (RM124 juta) sehingga Jun 2012.
Jurucakap United, Phil Townsend berkata, dakwaan untuk menjual Rooney adalah tidak benar, namun dia tidak mahu mendedahkan sama ada bersetuju dengan perpindahan melibatkan pemain berkenaan selepas tamat musim ini pada Mei tahun depan.
Rooney tidak bermain pada perlawanan pertama United selepas dikatakan menipu isterinya berhubung skandal seksnya dengan pelacur.
Ferguson berkata, dia telah membantu pemain berkenaan untuk menyerlah berbanding di kelab lamanya Everton.
Bagaimanapun pemain berkenaan terlepas beberapa perlawanan di Liga Perdana dan Liga Juara-Juara kerana kecederaan buku lali seperti yang dimaklumkan oleh Ferguson.
