Kelate.net

Ghaddar Buru Gol Padang

Kemaskini pada January 27, 2012 / Oleh Webmaster


ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!
Ghaddar (kiri) janji ledak menerusi gol padang pada pertemuan menentang Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam esok.

Enggan dilabelkan pakar sepakan penalti, janji ledak gol malam esok

KOTA BHARU – Enggan dilabelkan selaku penjaring gol hanya menerusi sepakan penalti, penyerang import Kelantan, Mohammed Ghaddar mahu memastikan ‘badi’ tersebut berakhir pada perlawanan kelima Liga Super menentang Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhammad IV malam esok.

Ghaddar, 28, pemain yang gembar-gemburkan mempunyai pakej yang serba lengkap selaku senjata pembunuh The Red Warriors pada musim ini berjanji mahu menjadikan pertemuan menentang Kuala Lumpur malam esok sebagai medan kebangkitan untuk beliau menamatkan gelaran tersebut.

“Selepas mengharungi empat perlawanan dan menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti, saya meletakkan sasaran mahu menyumbangkan jaringan untuk Kelantan menerusi gol padang pada pertemuan menentang Kuala Lumpur malam esok,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Itu janji saya kepada penyokong setia Kelantan dan saya mempunyai keyakinan yang tinggi dapat mencapai sasaran tersebut meskipun berdepan dengan pelbagai kritikan ekoran hanya mampu menyumbangkan gol menerusi sepakan penalti sebelum ini.

“Saya datang ke sini (Kelantan) untuk menjaringkan gol dan ia menjadi tugas saya selaku seorang penyerang. Saya mengambil kira setiap kritikan daripada sudut positif dan saya fikir kita mampu mengalahkan Kuala Lumpur malam esok,” katanya.

Mengulas mengenai keserasiannya bersama penyerang tempatan, Norshahrul Idlan Talaha, pemain yang pernah beraksi dengan kelab Al-Ahly dalam Liga Mesir itu tidak menafikan masalah komunikasi masih lagi menjadi penghalang kepada beliau untuk berinteraksi dengan pemain tempatan yang lain ketika beraksi di padang.

“Saya tahu sukar bagi saya berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris tetapi saya mempunyai Matyo (Norshahrul Idlan) yang merupakan penyerang terbaik kebangsaan dan secocok berpasangan dengan saya di jentera serangan.

“Saya percaya dalam beberapa perlawanan lagi pada masa akan datang, saya akan menemui keserasian yang lebih baik dengan beliau seterusnya menjaringkan seberapa gol untuk pasukan Kelantan,” katanya.

Untuk rekod, Ghaddar setakat ini hanya mampu meledakkan dua gol, kedua-duanya  menerusi sepakan penalti ketika aksi pertemuan menentang pasukan Lions XII, pada 10 Januari lalu dan terakhir ketika Kelantan mengalahkan Kedah 3-0 di Alor Setar pada minggu lalu.

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.

Sokongan Kami Zaman Berzaman