Kelate.net

Hasrat Benam Selangor, Tapi Waspada Afiq

Kemaskini pada April 24, 2015 / Oleh Webmaster


ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!
Mohd Badri Mohd Radzi
Mohd Badri Mohd Radzi

KELANTAN bertekad untuk menewaskan pendahulu Liga Super, Selangor apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, Sabtu ini.

Kapten The Red Warriors (TRW), Mohd Badri Mohd Radzi berkata, pasukannya kini berada pada prestasi terbaik selepas mencatat kemenangan 3-0 dalam pertembungan dengan kelab KL Sime Darby FC, Selasa lepas.

“Apa keadaan sekali pun, kita mahu kalahkan Selangor kerana kita sudah menemui rentak kemenangan dan kita belum puas lagi.

“Kalau boleh kalahkan Selangor, itu lagi memberi kepuasan untuk kami, moral pemain semakin meningkat dan kami akan lakukan yang terbaik dengan bermain sebagai satu pasukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Badri berkata, gandingan tiga penyerang import iaitu Gilmar Da Silva, Austin Amutu dan Erwin Carillo menjadi taruhan pada perlawanan itu.

“Kita harap mereka dapat jaringkan gol lagi pada Sabtu ini, selain pemain tempatan seperti Wan Zaharulnizam Zakaria dan Mohd Nor Farhan Muhammad juga mampu menjaringkan gol,” katanya.

Pemain yang mesra disapa Piya itu berkata kemasukan pemain import baharu dari Nigeria, Amutu berjaya mengubah corak permainan TRW selain memberi suntikan semangat buat pasukan itu untuk beraksi lebih baik dalam saingan Liga Malaysia.

Sementara itu, Mohd Badri mengingatkan rakan sepasukan agar berwaspada dengan aksi pemain Selangor, Mohd Afiq Azmi yang merupakan penjaring terbanyak  pemain tempatan dengan tujuh gol, setakat ini.

“Dia (Afiq) menjaringkan tiga gol ketika Selangor menewaskan Lions XII baru-baru ini, jadi kita kena lebih berhati-hati kerana dia amat berbahaya apabila berada di hadapan pintu gol,” katanya.

Selepas lapan perlawanan Liga Super musim ini, Kelantan berada di tangga ke-10 dengan tujuh mata, selepas hanya mencatat dua kemenangan dan satu seri. – Bernama

www.sinarharian.com.my

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.

Sokongan Kami Zaman Berzaman