Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!

Hatrik Aris Julang Skuad Piala Presiden Kelantan

Kemaskini pada 23/02/2012 / Oleh Webmaster


KELANTAN 4
Mohd Norfirdaus Roswanan (m-8)
Mohd Aris Zaidi (m-45,49, pen 84)

PDRM 0

KOTA BHARU – Jaringan hatrik penyerang sensasi, Mohd Aris Zaidi memastikan skuad Piala Presiden Kelantan mencatatkan kemenangan bergaya 4-0 ke atas PDRM dalam aksi perlawanan Liga Piala Presiden yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang semalam.

Turun selaku pasukan pilihan, skuad yang terkenal dengan jolokan The President Warriors seharusnya berpesta gol dalam perlawanan tersebut namun ketumpulan jentera serangan yang mensia-siakan deretan peluang yang terhidang terutamanya dalam babak kedua menafikan hasrat tersebut.

Skuad kendalian Mohd Hashim Mustapha itu tidak perlu menunggu lama apabila membuka tirai jaringan seawal minit kelapan perlawanan menerusi Mohd Norfirdaus Roswanan apabila hantaran lintangnya gagal ditangkap kemas penjaga gol PDRM, Helmy di gawang golnya.

Pasukan PDRM hampir menyamakan kedudukan pada m-14 perlawanan apabila berlaku salah faham diantara pemain pertahanan, Bahaman Ab Ghani dengan penjaga gol, Muhammad Syazwan Yusoff namun rembatan pemain tengah Shazrul pula tersasar daripada pintu gol Kelantan.

Minit-minit akhir babak pertama, Mohd Aris Zaidi mengukuhkan kedudukan apabila menjaringkan gol kedua Kelantan. Hantaran jauh oleh Bahaman pantas disempurnakan oleh Mohd Aris menerusi rembatan kencang melepasi jangkauan penjaga gol PDRM itu.

Empat minit babak kedua bersambung, pasukan tuan rumah terus menjarakkan kedudukan apabila berjaya menjaringkan gol ketiga. Kesilapan pemain PDRM, Shahnaz yang gagal mengeluarkan bola di depan pintu golnya dihukum menerusi tolakan mudah Mohd Aris untuk menewaskan Helmy sekali lagi.

Penyerang, Mohd Azyu Ikmal Che Mat Noor yang masuk menggantikan Mohd Shahiran Md Zin gagal meletakkan bola di dalam gawang pasukan PDRM setelah rembatannya pada m-67 perlawanan ditepis keluar Helmy.

Pemain gantian, Mohd Eskandar Ismail turut terlepas peluang untuk mencipta nama selaku penjaring gol apabila rembatan derasnya pada m-80 perlawanan menerjah jaring sebelah kiri pintu gol pasukan pelawat.

Tindakan pemain pertahanan pasukan pelawat, Abd Halim yang menarik Mohd Aris Zaidi di dalam kotak penalti pada m-84 perlawanan akhirnya mengundang padah apabila pengadil tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada Kelantan. Mohd Aris mudah menyempurnakan sepakan tersebut untuk gol ketiga peribadinya dalam perlawanan tersebut.

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.


Sokongan Kami Zaman Berzaman