Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!

Hodak Belum Mengalah

Kemaskini pada 20/09/2012 / Oleh Webmaster

Bojan Hodak

KELANTAN kini berdepan misi mustahil untuk mencari empat gol tanpa bolos dalam baki 90 minit selepas dibelasah kelab Iraq, Arbil FC 1-5 pada suku akhir pertama Piala AFC, awal pagi semalam.

Reputasi juara empat kali Liga Arab itu yang tidak tewas pada peringkat kumpulan jelas menyulitkan lagi keadaan untuk Kelantan yang pastinya turun untuk sekurang-kurangnya menebus maruah selaku gergasi bola sepak tempatan.

Namun pengendali Kelantan, Bojan Hodak belum mengangkat bendera putih dan mengharapkan anak buahnya mampu mencatat kemenangan pada aksi timbal balik yang berlangsung di gelanggang keramat Red Warriors di Kota Bharu, Selasa ini.

“Kami tidak sepatutnya tewas dengan jaringan besar ini dan mampu menjaringkan lebih gol namun gagal mengambil peluang yang dimiliki,” kata Hodak.

Menurut pengendali kelahiran Croatia itu, barisan pemainnya keletihan dan terjejas kerana perjalanan jauh ke Iraq yang mengambil masa 30 jam selain kehilangan lima pemain utama atas pelbagai sebab.

“Kami akan mendapat kembali khidmat beberapa pemain untuk aksi timbal balik dan berharap mampu mendapatkan keputusan yang bagus. Tiada yang mustahil dalam bola sepak,” katanya yang dijangka dapat menurunkan kesebelasan terbaik dengan kembalinya tonggak seperti Norshahrul Idlan Talaha, Indra Putra Mahayuddin, Obinna Nwaneri selain Mohammed Ghaddar Mahmoud dan S Subramaniam seandainya pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Pada perlawanan yang disaksikan 16,000 penonton itu, Kelantan berjaya mengekang lawan dengan keputusan 1-1 hingga tamat babak pertama menerusi jaringan penalti kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi namun Arbil FC meningkatkan rentak permainan untuk menguasai separuh masa kedua dan menjaringkan empat gol.

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.


Sokongan Kami Zaman Berzaman