
KOTA BHARU – Skrip yang sama namun episod berbeza. Mungkin itu gambaran lebih tepat menilai secara keseluruhan persembahan barisan pemain The Red Warriors yang sekadar mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Kota Bharu, malam kelmarin.
Pada ketika pengendali pasukan, Bojan Hodak menagih aksi sebenar daripada anak buahnya, namun apa yang diharapkan itu tidak berlaku sebaliknya barisan pemain muda skuad warga kota tampil dengan semangat juang yang lebih tinggi untuk menyekat Kelantan daripada berpesta gol dalam perlawanan tersebut.
Begitu pun, Hodak menafikan pandangan tersebut dan menyifatkan prestasi barisan pemainnya tidaklah seburuk mana meskipun hanya mampu menjaringkan satu gol ke atas pasukan tercorot itu.
“Saya fikir malam ini kita bermain lebih baik daripada pertemuan dengan Kedah Sabtu lalu. Kita mengamalkan corak permainan hantaran pendek dan mempunyai beberapa peluang dalam babak kedua untuk menjaringkan gol namun gagal disempurnakan,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir.
“Saya gembira dengan persembahan jentera serangan Kelantan meskipun pada hakikatnya mereka seharusnya beraksi lebih baik daripada malam ini. Anda kena tahu, Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan S Chanturu pertama kali diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama pemain.
“Secara keseluruhan saya gembira peningkatan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain. Jentera tengah kita berfungsi dengan baik terutamanya dalam babak kedua. Cuma kita kena perbaiki ketumpulan jentera serangan selepas ini,” katanya.
Dalam perlawanan tersebut, The Red Warriors terpaksa menunggu sejam untuk memperoleh gol kemenangan mereka menerusi sepakan penalti oleh Mohammad Ghaddar setelah Norshahrul Idlan Talaha dijatuhkan pemain Kuala Lumpur, Ahmad Dashila Tajudin di dalam kotak penalti.
Memahami keresahan penyokong setia Kelantan mengenai prestasi turun naik pasukannya, Hodak memberi jaminan akan melakukan penggiliran pemain bagi menghadapi baki saingan Liga Super musim ini.
“Kita ada baki tujuh perlawanan lagi. Kita secara perlahan-lahan mahu kembali ke landasan sebenar. Yang pasti, kita sudah cukup bersedia menghadapi tiga perlawanan sengit iaitu bertemu Sabah, Terengganu dan Selangor selepas ini,” katanya.
Mengulas mengenai persembahan Mohammad Ghaddar dalam perlawanan tersebut, jurulatih dari Croatia itu ternyata berpuas hati dengan sumbangan pemain import dari Lubnan itu yang mencipta beberapa peluang lain kepada rakan sepasukannya.
Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!