Kelate.net

Jangan Campuri Urusan TRW

Kemaskini pada May 13, 2015 / Oleh Webmaster


ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!
Penyokong Kelantan

Kota Bharu: Sebilangan persatuan penyokong bola sepak Kelantan mengecam tindakan segelintir ejen pemain yang cuba mencampuri urusan The Red Warriors (TRW).

Bagi penyokong, tindakan kelompok kecil ejen itu mungkin merencatkan perancangan ketua jurulatihnya, Mohd Azraai Khor Abdullah dalam menentukan kesebelasan pemainnya.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.net) Mahizi Mahmood berkata, golongan itu tidak perlu mengganggu hal ehwal dalaman Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) kerana jurulatih serta pengurus lebih tahu mengenai pasukan mereka.

Katanya, jika campur tangan seperti itu berlaku, ia tentu menyukarkan Azraai untuk memberi arahan kepada pemain terutama empat importnya.

“Ada baik dan buruknya campur tangan ejen dalam urusan KAFA cuma bila kita serahkan kepada mereka (ejen) sepenuhnya, maknanya lebih kepada mencari keuntungan.

“Sepatutnya kita perlu ada skuad pencari bakat sebelum serahkan kepada jurulatih untuk menilai senarai pemain itu dan bukannya ejen mengarahkan jurulatih melakukan itu dan ini,” katanya.

Sebelum itu, ramai penyokong melenting serta meluahkan rasa tidak puas hati dalam laman sosial terhadap dakwaan wujudnya ‘musuh dalam selimut’ dalam pasukan TRW.

Senario itu berlaku sebaik Kelantan tewas 0-1 kepada Pahang pada saingan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darulmakmur, Sabtu lalu.

Penyokong mendakwa, aksi dua pemain import Kelantan yang bermain ketika pertemuan Pahang itu agak goyah serta langsung tidak bernafsu untuk menjaringkan gol walaupun memiliki banyak peluang keemasan.

Mahizi berkata, masih belum terlambat buat pasukan Kelantan bangkit berikutan TRW kini memiliki ramai pemain berkaliber.

Katanya, walaupun tewas kepada Pahang, Kelantan masih mempunyai harapan untuk melangkah ke separuh akhir Piala FA.

“Semua penyokong masih berdiri teguh di belakang TRW serta sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bagi kerana mereka percaya, Kelantan mampu bersaing dengan pasukan lain.

“Kami juga berharap semua pemain dapat membuktikan kepada penyokong yang Kelantan masih pasukan digeruni dalam saingan Liga Super,” katanya.

www.hmetro.com.my

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.

Sokongan Kami Zaman Berzaman