Kelate.net

KAFA Harap Ihsan Kerajaan Negeri

Kemaskini pada June 14, 2015 / Oleh Webmaster


ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!
KAFA
KAFA

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) menagih ihsan kerajaan negeri untuk membenarkan The Red Warriors menggunakan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu melibatkan dua perlawanan Liga Super di tempat sendiri sepanjang Ramadan kali ini.

Naib Presidennya, Datuk Rosmadi Ismail berkata, pihaknya percaya masih ada ruang untuk kerajaan negeri membuat pertimbangan sewajarnya, meskipun kekal dengan pendirian tidak membenarkan stadium berusia 48 tahun itu digunakan ketika ini.

“Kita minta ihsan kerajaan negeri melalui Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian demi kepentingan semua pihak.

“Dalam masa terdekat juga pihak pengurusan Kafa akan mengadakan perjumpaan dengan kerajaan negeri untuk bincang perkara ini. Kita berharap akan ada situasi menang-menang dalam mengatasi kemelut ini,” katanya, semalam.

Sinar Harian pada Jumaat lalu melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood dipetik berkata, kerajaan negeri tidak membenarkan Stadium Sultan Muhammad IV digunakan kerana pekarangan stadium itu akan digunakan untuk program Madinah Ramadan.

Daripada lima perlawanan Liga Super sepanjang Ramadan, hanya dua aksi sahaja melibatkan pasukan Kelantan di Kota Bharu iaitu bertemu Sime Darby FC pada 20 Jun dan Angkatan Tentera Malaysia (27 Jun), manakala selebihnya di gelanggang lawan.

Menurutnya, Kafa tidak berniat membelakangi program ibadah yang merupakan acara tradisi itu, namun pada masa sama mahu kerajaan negeri memahami kesulitan dialami pihaknya sekiranya Kelantan terpaksa menyewa stadium di negeri lain.

“Keadaan menjadi sukar apabila Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM meminda jadual bermain dalam bulan Ramadan pada musim ini sedangkan stadium itulah satu-satunya gelanggang utama yang boleh digunakan di negeri ini.

“Selain itu, kita juga perlu ambil kira faktor kewangan Kafa. Bukan setakat sokongan peminat akan berkurangan, pasukan akan berdepan keletihan mengharungi perjalanan jauh, malah kita juga terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk bayar penginapan, tiket kapal terbang, sewa stadium dan pelbagai perkara lagi,” katanya.

www.sinarharian.com.my

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.

Sokongan Kami Zaman Berzaman