SELAMAT DATANG KE LAMAN WEB KELAB PENYOKONG SIBER BOLA SEPAK KELANTAN DARUL NAIM [0358-12-KEL]


KDN Temui Regis Laguesse

 
 
Kota Bharu – KelateDotNet (KDN) yang juga sebuah laman web bola sepak siber bersama-sama wakil dari Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK) sempat menemubual dan beramah mesra dengan Regis Laguesse bertempat di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Temubual yang dilakukan pihak KDN bertujuan untuk bertanyakan kepada Regis tentang pengalaman beliau bersama pasukan luar sebelum datang berkhidmat bersama skuad Kijang.

Pengalaman Regis yang pernah melatih banyak pasukan terkenal disamping memperkenalkan bakat-bakat muda ke peringkat tertinggi amat ditagih oleh setiap penyokong Kijang. Ramai mengharapkan beliau mampu menggalas cabaran ini untuk terus memperkasakan skuad Kelantan dalam liga Malaysia setelah pemergian Haji Norizan Bakar.

Menurut Regis Lagueese yang ditemui oleh unit media KDN, tugas beliau bermula 31 Mei ini apabila pasukan Kelantan akan turun menentang gabungan pemain Afrika dalam perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

Katanya lagi, Kelantan merupakan sebuah pasukan yang mantap dan kebanyakan pemain mempunyai tahap kecergasan yang tinggi. Beliau juga mengharapkan setiap peminat bola sepak Kelantan tidak menaruh harapan tinggi tetapi beliau berjanji akan mencuba segala yang terdaya demi memartabatkan bola sepak Kelantan di mata masyarakat.

Rata-rata peminat yang ditemui kelmarin juga mengharapkan agar Regis akan melakukan yang terbaik dan menyamai rekod Cikgu Jan sebelum ini dimana Kelantan tidak pernah tewas di gelanggang sendiri. Menurut wakil Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK), Encik Rustam, beliau amat berharap Regis mampu meneruskan kesinambungan jurulatih terdahulu dimana Kelantan mampu bersaing dengan pasukan kuat lain.

Kelantan yang diundi dalam kumpulan A Piala Malaysia akan memulakan saingan menentang Sarawak di Kuching dan disinilah tugas utama Regis iaitu membantu Kijang membawa pulang 3 mata dari sana.

Temu ramah dengan jurulatih baru Kelatan, Regis Laguesse :

KDN: Selamat petang Tuan…
Regis Laguesse: Selamat Petang.

KDN: Kami dari unit Media KelateDotNet ingin menemubual tuan.
Regis Laguesse: ya Boleh, silakan…

KDN: Bolehkah tuan terangkan secara terperinci tentang diri tuan dalam arena bola sepak?
Regis Laguesse: Ermmm, penglibatan pertama saya dalam kejurulatihan ialah dengan melatih 3 buah pasukan dari Liga Perancis dalam Ligue 1.. Selepas itu saya berkelana untuk melatih KSK Beveren dalam Liga Belgium. Sebelum datang kesini saya berkhidmat di Liga Thai dengan pasukan Bec Tero Sasana Arsenal Fc.

KDN: Apakah kenangan manis Tuan semasa melatih sesebuah pasukan bola sepak?
Regis Laguesse: ohh, saya pernah melatih skuad akedemi Ivory Coast dan apa yang yang membanggakan saya ialah beberapa pemain yang pernah dilatih saya sudah pun mencipta nama dalam Bola Sepak Dunia..

KDN: Siapakah pemain tersebut?
Regis Laguesse: Antara pemain yang pernah dilatih saya ialah Kolo Toure dan Eboue (Arsenal), Yaya Toure (Barca), Salaomon Kalou (Chelsea), Didier Zokora (Spurs) dan banyak lagi…

KDN: Tuan, apakah tanggapan pertama Tuan setelah melihat pasukan Kelantan pada petang ini dibandingkan dengan pasukan dalam Liga Thailand?
Regis Laguesse: Apa yang dapat saya perhatikan dengan pasukan ini ialah Kelantan merupakan sebuah pasukan yang bagus dari segi taktikal dan stamina. Para pemain juga mempunyai semangat melawan yang tinggi walaupun bertemu sesama sendiri dalam perlawanan latihan. Ini sangat berbeza dengan pemain Thailand yang kelihatan malas dalam latihan tetapi mempunyai tahap teknikal yang tinggi dalam perlawanan. Pemain Thailand lebih kepada Teknikal dan kekurangan dari segi kecergasan. Walaupun begitu mereka masih antara yang terbaik di Asia Tenggara.

KDN: Apakah yang ingin dicapai Tuan bersama pasukan Kelantan dalam piala Malaysia kerana masa yang diberikan terlalu suntuk?
Regis Laguesse: Seperti yang kamu sedia tahu, saya tidak dapat mengubah sesebuah pasukan dalam masa terdekat. Walaupun begitu, Kelantan merupakan sebuah pasukan yang bagus dan mantap dalam Liga Malaysia. Oleh itu, saya tidak berniat untuk mengubah pasukan ini terlalu drastik keran ia boleh merosakkan sesebuah pasukan.

KDN: Soalan yang terakhir kepada Tuan. Apakah harapan Tuan ketika ini?
Regis Laguesse: Saya akan melakukan yang terbaik untuk menaikkan bola sepak Kelantan. Saya akan cuba 120% untuk membangunkan pasukan ini agar setanding dengan pasukan utama lain tetapi sebelum itu bagilah saya peluang untuk melihat persembahan Kelantan dalam perlawanan sebelum saya membuat beberapa perubahan bagi memantapkan pasukan ini.

KDN: Terima kasih Tuan kerana sudi ditemubual oleh Unit Media KelateDotNet. Semoga Tuan terus maju dalam Kejurulatihan sesebuah pasukan.
Regis Laguesse: Sama-sama.

 

Artikel Berkaitan:

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.
Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim

Kelate.Net

Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!