Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!

Kelab Bola Sepak Cardiff City Komited Latih Remaja

Kemaskini pada 18/07/2011 / Oleh Webmaster

Kelab Bola Sepak Cardiff City

KOTA BHARU – Kelab Bola Sepak Cardiff City (CCFC) yang dimiliki rakyat Malaysia terus menyatakan komitmennya membantu membangunkan program pembangunan bola sepak remaja di negara ini.

Lapan jurulatih CCFC kini dalam rangka Jelajah 1Malaysia Cardiff City (1MCC-CCFC) dengan Kota Bharu menjadi lokasi persinggahan pertama.

Seramai 207 pelatih Akademi Bola Sepak Al-Hamra Red Warriors (ARMY) terlibat dalam Klinik Bola Sepak bersama CCFC itu.

Pengerusinya, Datuk Chan Tien Ghee berkata, pihaknya gembira kerana dapat bekerjasama lebih rapat dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi menjayakan klinik bola sepak sehari itu.

“Pembangunan bola sepak remaja hari ini sebenarnya cukup penting. Kalau kita perhatikan kanak-kanak seawal usia tujuh tahun sudah terlibat dalam sukan bola sepak,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu, semalam.

Menurutnya, bagi CCFC sendiri cukup teruja apabila bercakap mengenai pembangunan bola sepak remaja.

“Kita cuba mendekatkan masyarakat dengan program seperti ini. Malah kita akan ke Jengka, Pahang dan Jerlun, Kedah bagi menjayakan program klinik bola sepak selepas ini.

“Kelantan merupakan lokasi pertama kami. Saya melihat keghairahan pemain muda negeri ini berasaskan semangat penyokong mereka.

“Saya tidak pernah melihat penyokong Kelantan sebegitu ramai apabila pasukan ini beraksi di luar Kota Bharu. Ini merupakan salah satu sebab mengapa kami datang ke sini,” katanya.

Beliau berkata, program jelajah ini sebenarnya cukup bagus bagi mendedahkan pemain remaja dengan teknik bola sepak moden yang sudah pasti berbeza sama sekali corak permainan bola sepak di negara ini.

“Anda boleh bayangkan jurulatih dari Wales datang ke sini. Sudah pasti kita mengalami kesukaran komunikasi tapi saya lihat perkara itu tidak berlaku di sini. Pelatih-pelatih cukup gembira menimba ilmu walaupun dalam tempoh singkat,” katanya.

Tien Ghee berkata, ia bukan soal mencari siapa terbaik, lebih penting ialah penyertaan daripada semua peserta di sini.

“Di Cardiff City, hampir 10,000 peserta seperti ini setiap tahun.

“Daripada jumlah itu, kami mungkin hanya mendapat hanya seorang pemain yang bagus Craig Bellamy,” katanya.

Menurutnya, beliau gembira dengan perkembangan kelabnya buat masa ini.

“Sudah pasti kita akan datang ke sini lagi. Kita mempunyai cawangan akademi di Kuala Lumpur dan berdasarkan fenomena luar biasa di sini saya bersedia membuka cawangan di negeri ini,” katanya.

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.


Sokongan Kami Zaman Berzaman