Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!

Kelantan Balas Dendam, Benam Terengganu 6-1

Kemaskini pada 15/09/2012 / Oleh Webmaster


Kapten Kelantan, Mohd Badri Radzi meraikan gol dengan tarian yang sangat unik dan menghiburkan.

MISI  Kelantan untuk membalas dendam  kekalahan kepada Terengganu pada perlawanan pertama sebelum ini kesampaian apabila berjaya menundukkan skuad Penyu 6-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Dengan kemenangan Kelantan, ia meletakkan anak buah Bojan Hodak  di kedudukan teratas Kumpulan B, sekali gus melayakkan diri ke suku akhir mengiringi Angkatan Tentera Malaysia dalam Piala Malaysia 2012.

Pada mulanya, kedua-dua pasukan dilihat mempersembahkan corak permainan berhati-hati dan bola banyak berlegar di kawasan tengah padang.

Namun, Kelantan yang bermain di halaman sendiri mula menemui rentak dan mula  mengasak ke gawang lawan.

Akhirnya, pemain pinjaman dari Kuala Lumpur, Afiq Azmi berjaya menceriakan penyokong tuan rumah dengan  membuka jaringan awal  pada minit ke-13.

Terengganu yang tersentak dengan jaringan awal Kelantan, cuba membalas serangan ke arah  gawang lawan tetapi berjaya dihalang oleh pertahanan Kelantan.

Sebaliknya, pada babak akhir separuh masa pertama, Kelantan menjaringkan gol kedua menerusi Nor Farhan Mohammad untuk berada dalam keadaan selesa di depan.

Bersambung babak kedua, tidak sempat anak buah Peter Butler mengatur strategik, Kelantan sekali lagi menjaringkan gol ketiga menerusi Nor Farhan Mohammad pada minit ke-47.

Terengganu terus dihimpit tekanan apabila Kelantan terus berpesta gol pada minit ke-75 dan ke-81 menerusi Mohd Badri Radzi.

Skuad penyu yang tersentak mula melancarkan serangan bertali arus dan hasilnya pada minit ke-78 berjaya menjaringkan gol pertama menerusi Mohd Hafnizam.

Namun, Terengganu terus dihukum dengan kelincahan Indra Putra apabila  mengesahkan kemenangan pasukan tuan rumah dengan  menjaringkan gol keenam pada minit ke-84.

Pada aksi suku akhir pertama,  Kelantan akan bertemu naib juara Kumpulan C, , Felda United pada 28 September ini.

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.


Sokongan Kami Zaman Berzaman