Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!

Kelantan Berpesta Gol

Kemaskini pada 08/12/2012 / Oleh Webmaster
Kelantan FA 2013

KELANTAN 5

Keita Mandjou (m-5, 42)
Mohd Norfarhan Muhammad (m-49)
Dimitrios Pertratos (m-87)
Mohd Haris Safwan Mohd Kamal (m-89)

PERLIS 0

KOTA BHARU – Juara treble, The Red Warriors membelasah pasukan Liga Premier, Perlis 5-0 dalam aksi perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Seawal minit kelima, Kelantan mengatasi Perlis apabila Keita Mandjou memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan pintu dengan menolak masuk setelah menerima umpanan hasil sepakan penjuru Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi.

Skuad bimbingan Robert Scully yang sekali-sekala menyerang hampir menyamakan kedudukan pada m-19 perlawanan menerusi rembatan Muhammad Nasri namun ketangkasan Mohd Shahrizan Ismail berjaya menafikan percubaan tersebut.

Kelantan terus menjarakkan kedudukan apabila Mandjou menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-42 setelah menyambut percubaan awal Indra Putra Mahayuddin yang terkena pemain pertahanan pasukan pelawat di depan pintu gol.

Empat minit babak kedua bersambung, Perlis terus menderita apabila pemain sayap, Mohd Norfarhan Muhammad merembat masuk gol ketiga Kelantan setelah mendapat hantaran pendek daripada Mandjou di dalam kotak penalti.

Penantian hampir 25,000 penyokong setia Kelantan untuk melihat kelibat Dimitrios Pertratos, Lek Kcira, Zairo Anuar Zalani, Mohd Faiz Subri beraksi akhirnya menjelma pada minit ke-60 perlawanan.

Sentuhan pertama Pertratos menjelma tiga minit kemudian apabila melepasi tiga pemain pertahanan Perlis di dalam kotak penalti namun rembatan kencangnya diselamatkan penjaga gol, Mohd Azrul.

Pemain gantian, Mohd Izuan Salahuddin hampir menambahkan jaringan untuk Kelantan pada minit ke-83 namun rembatan kencangnya di dalam kotak penalti berjaya ditepis keluar penjaga gawang Perlis.

Pertratos sekali lagi menggamatkan sorakan penyokong setia Kelantan apabila gerakan solonya mencetuskan situasi berbahaya kepada pasukan pelawat namun rembatan kencangnya sedikit melewati palang gol pada minit ke-85 perlawanan.

Selang dua minit kemudian, Pertratos membuktikan beliau layak menggantikan Mohammad Ghaddar apabila menolak masuk gol keempat Kelantan setelah rembatan awal Mohd Aris Zaidi gagal ditangkap kemas penjaga gol Perlis.

Bekas penyerang Johor FC, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal menutup tirai pesta gol Kelantan di Kota Bharu apabila menanduk masuk menewaskan penjaga gol Perlis setelah menerima umpanan sepakan penjuru Zairo Anuar Zalani seminit sebelum perlawanan berakhir.

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.


Sokongan Kami Zaman Berzaman