
KOTA BHARU – Misi memburu tiga mata penting menanti juara musim lalu, Kelantan apabila melayan kunjungan Kedah dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Sekadar meraih satu mata dalam pertemuan terakhir menentang Johor FC di Pasir Gudang pada 26 Mei lalu, Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak pantas kembali meniup semangat anak buahnya, untuk melakarkan kemenangan kedua belas pasukannya bagi terus memberi saingan kepada peneraju liga ketika ini, Lions XII.
“Kehadiran lima pemain kebangsaan dan Mohammad Ghaddar yang menyertai latihan bersama rakan sepasukan lain sejak Khamis lalu memberi kelegaan kepada saya. Kita berehat panjang selama tiga minggu, dan saya harap pemain mendapat tonik baharu bagi menyambung perjuangan Kelantan mempertahankan kejuaraan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
“Saya tahu pertemuan ini merupakan sesuatu yang sukar bagi kedua-dua pasukan. Kita mahu menang bagi mengejar Lions XII, manakala Kedah juga tidak mahu kecundang bagi mengheret mereka ke dalam zon penyingkiran. Tetapi saya yakin kita boleh mengatasi mereka malam ini.
“Kemenangan 3-0 (Liga Super) dan dua keputusan seri (1-1 dan 2-2) dalam kempen Piala FA lalu tidak menjadi ukuran kepada saya. Itu cerita lama dan tidak perlu kita bermegah-megah. Kita masih berbaki sembilan perlawanan lagi dan perlu menangani satu demi satu selepas ini,” katanya.
Namun sedikit merisaukan bagi Hodak, apabila tiga tonggak pertahanan iaitu Zairul Fitree Ishak, Obinna Nwaneri dan Mohd Farisham Ismail bergelut dengan masa untuk kembali pulih daripada kecederaan menjelang pertemuan malam ini.
“Itulah masalahnya. Kita tidak ada pemain yang digantung tetapi beberapa pemain lain mengalami kecederaan kecil. Saya kena rujuk fisioterapi pasukan untuk mengetahui keadaan mereka dan berharap mereka sempat pulih dan boleh diturunkan nanti,” katanya.
Jurulatih Croatia itu bagaimanapun tidak memandang sepi saingan daripada pemain Sang Kenari, dan menyifatkan pasukan bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu mampu menterbalikkan keputusan andai diberi ruang terlalu bebas dalam pertemuan mala mini.
“Kedah ada Mohd Khyrill Muhymeen (Zamri), Baddrol (Bakhtiar), Vedran (Gerc) dan Abd Elfatah Safi yang dianggap nadi kekuatan pasukan mereka. Kita kena berwaspada dan pemain Kelantan harus menyekat pergerakan pemain-pemain ini.
“Cuma yang saya lihat dalam tiga pertemuan lalu, benteng pertahanan mereka seakan bermasalah. Situasi ini sepatutnya dimanfaatkan barisan pemain kita. Jika itu berlaku lagi, saya tidak nampak mengapa kita tidak boleh menewaskan mereka malam ini,” katanya.
Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!