Kelate.net

Kelantan Buru Gol Tempat Lawan

Kemaskini pada May 8, 2015 / Oleh Webmaster


ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!
Mohd. Norfarhan Mohamad

KOTA BHARU – Kelantan turun dengan misi memburu gol di tempat lawan apabila berdepan penyandang juara, Pahang dalam separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, esok.

Penyerang The Red Warriors, Mohd. Norfarhan Mohamad berkata, jaringan tempat lawan amat penting untuk mencerahkan peluang ke final, sebelum menerima kunjungan Tok Gajah dalam aksi timbal balik di Kota Bharu pada 16 Mei ini.

Katanya, biarpun beraksi digelanggang lawan namun mereka tidak perlu gentar, sebaliknya mempamer semangat juang tinggi dalam perlawanan tersebut.

“Bagaimanapun kita tidak boleh memandang rendah keupayaan Pahang mereka mempunyai ramai pemain hebat, terutama penyerang dan tonggak pertahanan import.

“Berdasarkan prestasi semasa kelebihan tampak berpihak kepada mereka, namun saya dan rakan-rakan sudah bersedia untuk berdepan skuad Tok Gajah.

“Saya harap kita dapat bermain secara berdisiplin dan cuba untuk tidak bolos,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelantan mara ke separuh akhir Piala FA musim ini selepas menyingkirkan Sime Darby menerusi agregat 4-1.

Norfarhan berkata, dia dan rakan-rakan perlu menggunakan kesempatan beraksi pada separuh akhir Piala FA musim ini dengan sebaik mungkin dalam usaha mengembalikan moral pasukan.

“Ini peluang terbaik Kelantan untuk mara ke akhir, jadi ia tidak boleh dilepaskan begitu sahaja,” katanya.

Katanya, kekalahan 2-3 kepada Sarawak dalam aksi terakhir Liga Super, minggu lalu perlu dilupakan dan kembali fokus untuk perlawanan separuh akhir Piala FA.

“Memang moral pemain sedikit jatuh selepas tewas kepada Sarawak tetapi jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah telah memulihkan semula semangat saya dan rakan-rakan sepasukan.

“Rata-rata mereka telah bersedia dan ingin buktikan sesuatu pada perlawanan tersebut, kita akui Pahang memang pasukan yang baik dan tidak pandang rendah mereka,” katanya.

www.utusan.com.my

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.

Sokongan Kami Zaman Berzaman