SELAMAT DATANG KE LAMAN WEB KELAB PENYOKONG SIBER BOLA SEPAK KELANTAN DARUL NAIM [0358-12-KEL]


Kelantan Sambar Keita Mandjou?

Keita Mandjou

KOTA BHARU – Prestasi hambar barisan penyerang import Kelantan sejak kebelakangan ini mungkin dianggap menemui titik penyelesaiannya apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dikhabarkan berjaya memancing khidmat bekas pemain import Perak musim 2004 hingga 2007, Keita Mandjou.

Mandjou yang kini beraksi dengan kelab Pune FC dalam Liga India itu difahamkan bakal mengikat kontrak untuk beraksi bersama The Red Warriors dalam baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Menurut sumber dalaman Kafa, kunjungan Presidennya, Tan Sri Annuar Musa ke India sejak Ahad lalu dilihat satu usaha untuk membawa pemain berusia 32 itu beraksi dengan Kelantan.

“Kehadiran Mandjou pasti memperkuatkan jentera serangan setelah beberapa penyerang import sebelum ini dilihat gagal memberikan sumbangan berkesan kepada Kelantan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

“Langkah ini dianggap bertepatan memandangkan pintu pendaftaran pemain import kali kedua akan dibuka pada 2 April ini oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Jadi ini merupakan masa terbaik bagi Kelantan dalam mencari pemain import yang lebih bagus.

Ketika ini Kelantan mempunyai tiga penyerang import iaitu Onyekachi Nwoha, Mohammad Ghaddar dan Denny Antwi. Namun Ghaddar dan Antwi didaftar beraksi dalam Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (Piala AFC) sementara Nwoha pula beraksi dalam Liga Super.

Seorang lagi pemain import ialah bekas pemain kebangsaan Nigeria, Obinna Nwaneri yang beraksi di posisi pertahanan. Namun segala-galanya bergantung hasil perbincangan pihak pengurusan dan pengendali pasukan, Bojan Hodak dalam menstrukturkan semula barisan pemain import The Red Warriors selepas ini.

Mandjou, 32, pemain kelahiran Guinea sebelum ini turut dikaitkan perpindahan dengan pasukan lamanya, Perak. Beraksi sebanyak 42 perlawanan sepanjang mewakili pasukan Seladang, Mandjou dianggap salah seorang penyerang import paling menonjol apabila meledakkan 36 gol bersama pasukan
tersebut.

Selain pernah memenangi anugerah Kasut Emas pada musim 2005/06 dengan 17 gol, Mandjou yang kini mewakili Pune FC turut menjaringkan 12 gol daripada 17 penampilannya bersama kelab yang kini menduduki tangga kelima daripada 14 pasukan dalam Liga India itu.

Artikel Berkaitan:

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.
Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim

Kelate.Net

Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!