Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!

Kelantan Sedia Lamar Afiq

Kemaskini pada 17/09/2012 / Oleh Webmaster


PENINGKATAN aksi penyerang pinjaman Kelantan, Mohamad Afiq Azmi mula mendapat perhatian pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) khususnya percaturan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim mengakui pihaknya sedang menilai prestasi Afiq dan akan berbincang mengenai masa depan penyerang Kuala Lumpur itu.

“Kita akan panggil dia untuk bincang masa depannya dan kita mempunyai banyak masa lagi sehingga berakhir Piala Malaysia,” katanya semalam.

Sepanjang bersama The Red Warriors dalam kempen Piala Malaysia musim ini anak kelahiran Perlis itu berjaya menjaringkan empat gol dari enam perlawanan.

Aksi terbaik yang ditunjukkan Afiq mula meniti bibir peminat setia The Red Warriors untuk bergandingan bersama penyerang, Norshahrul Idlan Tahala.

Dalam perlawanan menentang Terengganu malam kelmarin, Afiq menjaringkan gol pertama sekali gus membakar semangat rakan sepasukan untuk menewaskan Penyu dengan jaringan besar 6-1.

Mengulas lanjut, Azman berkata, secara keseluruhan pihaknya berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh Afiq dan berbeza dengan apa yang ditunjukkan ketika mewakili Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super.

“Pada saya Afiq seorang pemain berbakat, kalau kena dengan pasukan, saya percaya pemain ini mampu pergi lebih jauh. Saya harap dia dapat terus berusaha untuk meningkatkan mutu permainan di masa hadapan,” katanya.

Untuk rekod, Kelantan turut menggunakan khidmat pemain pinjaman dari Kuala Lumpur Mohamed Aslam Haja Najumudeen dan pemain Sabah, Mafry Balang.

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.


Sokongan Kami Zaman Berzaman