
PENJAGA gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan bola dari pemain Kedah pada aksi tunggal Liga Super, malam tadi.
Kelantan ledak 3 gol di Alor Setar rampas tahta Liga Super
JUARA bertahan, Kelantan merampas tangga teratas Liga Super buat julung kali daripada T-Team untuk tempoh sekurang-kurangnya 24 jam selepas berjaya menewaskan Kedah 3-0 di Stadium Darulaman, malam tadi.
Jaringan Muhamad Ghaddar, Norshahrul Idlan Talaha dan Dennis Antwi sudah cukup untuk membolehkan Kelantan kini mengumpul 10 mata selepas empat perlawanan, tiga mata mengatasi T-Team yang hanya akan turun bertemu pasukan abang, Terengganu, malam ini.
Bagi Kedah, kekalahan perit ini bukan saja melihat mereka gagal mencapai sebarang kemenangan selepas empat perlawanan, malah belum menjaringkan sebarang gol selepas 360 minit perlawanan.
Kelantan yang mensia-siakan beberapa peluang pada awal babak permainan berjaya mendahului pada minit ke-35 apabila Ghaddar berjaya menyempurnakan sepakan penalti menewaskan Helmi Eliza Elias selepas pemain pertahanan Kedah, Fauzie Nan menjatuhkan Norshahrul.
Sisa perjuangan Kedah akhirnya lebur pada minit ke-78 apabila Norshahrul yang tidak dikawal merembat masuk gol kedua Kelantan selepas menerima hantaran Antwi.
Pada masa kecederaan, kesilapan ‘bodoh’ Helmi Eliza yang cuba menggelecek Antwi dihukum pemain import dari Ghana itu yang mudah menolak bola ke gawang terbuka untuk gol ketiga Kelantan.
Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!