Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!

Kijang Sasar Seri

Kemaskini pada 18/09/2012 / Oleh Webmaster

Datuk Afandi Hamzah

TANPA kelibat hampir separuh pemain tonggak, keputusan seri pada aksi suku akhir pertama Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang Arbil FC di Stadium Francouse Al-Hareeri, Arbil City, malam ini dianggap sudah memadai buat pasukan gergasi bola sepak tempatan, Kelantan.

Hakikat itu diakui Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Afandi Hamzah selepas juara Liga Super dan Piala FA itu tempang dalam kunjungan ke tempat lawan walaupun merancang dengan rapi sejak beberapa bulan lalu untuk menampilkan barisan terbaik sebelum ini.

Antara tonggak yang tidak bersama Red Warriors ke Iraq adalah S Chanturu, Mohammed Ghaddar Mahmoud, Norshahrul Idlan Talaha, Obinna Nwaneri serta Indra Putra Mahayuddin yang dibelenggu pelbagai masalah seperti penggantungan dan kecederaan selain tidak dapat menggunakan dua lagi importnya, Keita Mandjou dan Mijo Dadic kerana masalah pendaftaran.

“Kami menyedari apabila sampai peringkat ini, Kelantan yang juga wakil tunggal Malaysia akan berdepan pasukan handalan Asia dengan Arbil FC turut mempunyai rekod baik pada kejohanan ini. “Walaupun tanpa sejumlah pemain utama, kami harap pemain lain masih mampu mempamerkan aksi membanggakan dengan keputusan seri boleh dianggap membanggakan. “Namun lebih bagus jika berjaya mencatat kemenangan,” katanya.

Skuad kendalian Bojan Hodak itu pastinya menaruh harapan kepada ketangkasan penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat selain kemampuan kapten Mohd Badhri Radzi mengawal permainan dengan bintang pinjaman Kelantan, Afiq Azmi menjadi harapan merobek gawang lawan.

“Andai berjaya mendapat keputusan positif di tempat lawan, ia memudahkan tugas Kelantan bagi saingan suku akhir kedua di Kota Bharu pada 25 September. Malah beberapa tonggak yang tersisih sebelum ini seperti Norshahrul, Indra Putra, Obinna serta Ghaddar berkemungkinan besar akan dapat diturunkan”.

Arbil FC yang dikendalikan jurulatih Nizar Mahrous tewas pada separuh akhir Piala AFC musim lalu dan media tempatan negara itu melaporkan juara empat kali Liga Iraq itu sudah berbelanja lebih RM200,000 untuk mendapatkan sejumlah pemain baru seperti penyerang kebangsaan Iraq, Mustafa Karim bagi menghadapi suku akhir dan musim baru saingan domestik.

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.


Sokongan Kami Zaman Berzaman