Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!

Mat Yo Bernilai RM6j?

Kemaskini pada 15/11/2012 / Oleh Webmaster

Norshahrul Idlan Talaha

MUNGKINKAH nilai Norshahrul Idlan Talaha (gambar) mampu mencecah hingga RM6 juta? Persoalan itu timbul selepas Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menyatakan kos besar perlu ditanggung sekiranya melepaskan pemain itu.

Nilai RM6 juta itu termasuk kos tajaan dan pengurusan Norshahrul atau ‘Mat Yo’ sepanjang bersama Kelantan selain jumlah tebus kontrak yang masih berbaki setahun.

Annuar berkata, jumlah tebus kontrak bukan hanya bergantung kepada gaji seseorang pemain malah perlu dilihat daripada pelbagai aspek terutamanya kesan kepada penaja yang menaja pasukan dan pemain.

Katanya, Mat Yo juga menerima bonus kira-kira RM70,000 hingga RM80,000 setahun ketika bersama Kelantan dan perkara itu perlu diambil kira bagi perpindahan pemain yang masih terikat dengan kontrak. “Kami sedia melepaskannya dan keputusan terletak kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) andai setuju dengan syarat dalam surat tawaran itu.

“Ramai tidak faham mengenai syarat perpindahan pemain. Kita tidak boleh lihat gaji pemain saja sebaliknya perlu dilihat dalam semua aspek termasuk kos penajaan malah penaja juga akan mendapat kesan.

“Lebih kurang RM3 juta kos pengiklanan imej Mat Yo dilaburkan penaja dan itu tidak termasuk kos pengurusan sepanjang bersama pasukan hingga kami mampu mencipta kejayaan ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Majlis Sukan Negeri (MSN), Telipot, semalam.

Tanpa berselindung, Annuar berkata, Kafa juga menerima reaksi kurang baik daripada penaja berhubung isu perpindahan Mat Yo namun masalah itu akan diatasi segera.

Annuar berkata, secara prinsip Kafa sudah melepaskan Mat Yo namun bukan dengan kos sebenar malah berdasarkan syarat yang dirahsiakan oleh kedua-dua pasukan.

“Jika RM6 juta itu menjadi harga Mat Yo, perpindahan itu mungkin tidak akan berlaku dan Kafa mengambil pendekatan untuk bersikap adil bagi kedua-dua pihak namun perlu ikut syarat ditawarkan,” katanya.

Bagaimanapun Annuar enggan mendedahkan harga sebenar penyerang itu sebaliknya memberi gambaran Kafa mengambil kira semua aspek bagi proses perpindahannya ke Johor.

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.


Sokongan Kami Zaman Berzaman