SELAMAT DATANG KE LAMAN WEB KELAB PENYOKONG SIBER BOLA SEPAK KELANTAN DARUL NAIM [0358-12-KEL]


Mengenai Kami

Nama Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) sebenarnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Ia begitu sinonim sebagai pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi.

Malah KDN disifatkan kelab penyokong yang pertama mencetuskan kegemparan di Negara ini apabila melakukan demonstrasi di hadapan Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya pda tahun 2009.

Ia gara-gara keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM yang memotong tiga mata ke atas Kelantan ekoran kegagalan menyediakan kemudahan padang dengan sempurna ketika menentang kelab KL Plus FC dalam saingan Liga Super tahun tersebut.

Namun itu sudah menjadi sejarah, sebaliknya kewujudan KDN perlu dilihat daripada sudut positif apabila turut membantu menyemarakkan sokongan pasukan The Red Warriors sama ada menerusi alam maya mahu pun sokongan tidak berbelah bagi setiap kali perlawanan di stadium.

Sejarah penubuhannya bermula pada tahun 1999 apabila diasaskan oleh Azhar Hassan, 46, yang merupakan seorang jurutera salah sebuah kilang elektronik di Shah Alam, Selangor.

“Ia bermula dengan minat yang mendalam untuk belajar membuat laman sesawang sehingga terhasilnya www.kelate.xs3.com pada ketika itu. Gambar pertama yang diambil ialah ketika aksi pertemuan Kelantan menentang ATM di Stadium Merdeka, Kuala Lmpur pada tahun 1999.

“Ketika itu tidak banyak informasi berkaitan bola sepak Kelantan dipaparkan menerusi media cetak dan elektronik. Jadi KDN diwujudkan bukan sahaja sebagai saluran informasi bola sepak Kelantan tetapi juga platform untuk meluahkan sebarang ketidakpuasan hati mengenai prestasi pasukan untuk dibincangkan dalam kalangan ahlinya sebelum diutarakan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengikut saluran yang betul.

“Daripada hanya laman sesawang biasa www.kelate.xs3.com akhirnya ia bertukar nama menjadi www.kelate.net atau Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim pada tahun 2005 sehinggalah sekarang,” katanya.

Menurut Azhar, kewujudan KDN yang sudah didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sejak tahun 2008 itu memberi impak yang cukup tinggi kerana ia mendapat sambutan memberangsangkan apabila menjadi pengantara kepada peminat bola sepak yang berada di dalam dan luar negeri bagi mendapatkan info berkaitan bola sepak Kelantan.

Meski pun sudah mengundur diri daripada mengendalikan laman sesawang tersebut sejak beberapa tahun lalu, namun Azhar mengakui kewujudan KDN meninggalkan kesan yang cukup mendalam terhadap dirinya.

“KDN dan saya tidak dapat dipisahkan. Ia amat mengujakan apabila saya dapat meninggalkan sesuatu yang boleh dikongsi bersama dengan generasi baru peminat bola sepak Kelantan pada ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Webmasternya, Khiru Shaleh Abdullah berkata, KDN sudah melakukan transformasi yang besar termasuk daripada segi pengurusan dan perjalanan aktivitinya sejak empat tahun kebelakangan ini.

“KDN bukan hanya wujud ketika memberi sokongan kepada pasukan Kelantan di stadium malah lebih daripada itu. Kita pernah menganjurkan kempen anti-keganasan penyokong dan melakukan kutipan derma terhadap penyokong Kelantan yang ditimpa nasib malang.

“Selain itu kita turut mengadakan perlawanan bola sepak dan futsal persahabatan dengan kelab-kelab penyokong negeri lain, jamuan hari raya, perjumpaan tahunan selain hari keluarga yang diadakan setiap tahun. Pendek kata kita berjaya merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli KDN daripada seluruh negara menerusi penganjuran program seperti ini,” katanya.

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.
Komen ditutup untuk bahagian ini. Terima kasih.
Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim

Kelate.Net

Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!