
Khairul Fahmi Che Mat
PENJAGA gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak mengambil mudah baki saingan Liga Super musim ini biarpun mereka kini hanya memerlukan tiga mata untuk mengekalkan mahkota kejuaraan.
Selepas berhempas pulas menewaskan Negeri Sembilan 3-2 di Stadium Tunku Abdul Rahman di Paroi kelmarin, Kelantan mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga dengan 54 mata, meninggalkan pencabar terdekat, LionsXII empat mata di belakang.
Dengan baki tiga perlawanan menentang Perak, Sabtu ini, Felda United (10 Julai) dan Sarawak (14 Julai), Kelantan yang dikendalikan Bojan Hodak seakan sudah boleh berkira-kira untuk menjulang trofi Liga Super di Kota Bharu buat kali kedua berturut-turut.
Namun Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek berpendapat, misi Kelantan musim ini belum selesai dan mereka boleh dihukum jika tidak memberi fokus kepada tiga perlawanan penting itu.
“Kami tak boleh ambil mudah kerana masih ada lagi baki tiga perlawanan. Memang kami hanya memerlukan tiga mata untuk jadi juara tapi selagi ia belum dicapai, kami perlu berusaha keras,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran PUMA evoSpeed semalam.
Tiga mata kejuaraan itu mampu dikutip Kelantan sekiranya mereka berjaya menewaskan Perak di gelanggang sendiri pada aksi minggu ini.
Bagi Apek pemain-pemain cukup berpengalaman untuk berdepan tekanan bagi menamatkan kempen liga dengan bergaya sekali gus menambah trofi Piala FA yang dimenangi musim ini.
Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!