Kelate.net

Misi Mustahil Kelantan Nafi Red Giants Juara

Kemaskini pada July 31, 2010 / Oleh Webmaster


ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!
Kelantan hampir pasti akan kehilangan penyerang lincahnya S. Chanturu yang masih cedera.

KOTA BHARU – Walaupun Selangor diambang untuk mempertahankan juara Liga Super hari ini, pesaing mereka, Kelantan tetap belum mengalah dalam perebutan kejuaraan.

Dengan baki dua perlawanan, jagoan pantai Timur, Kelantan masih belum sedia mengibar ‘bendera putih’ dalam usaha menghambat Selangor.

Walaupun misi tersebut tampak mustahil, Kelantan berpegang bahawa ‘dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku’.

Kelantan mengharapkan Selangor bakal menerima kejutan dari Terengganu di Stadium Shah Alam, hari ini yang akan memberikan Kelantan terus berpeluang mencabar juara bertahan itu.

Skuad B. Sathianathan akan menentang Johor FC di tempat lawan.

Walaupun peluang tampak berpihak kepada Selangor, Sathianathan tetap akan memberikan saingan sehingga perlawanan terakhir.

Menurutnya, dia mengingatkan pemain supaya fokus sepenuhnya apabila berdepan Johor FC.

“Johor FC pasukan yang kuat, kita tidak akan ambil mudah perlawanan malam esok, saya minta semua pemain supaya memberikan aksi yang terbaik.

“Main seperti biasa dan dapatkan tiga mata. Tiga mata ini penting dalam usaha kita untuk mengukuhkan lagi kedudukan dalam liga.

”Kita mahu mengekalkan rekod cemerlang tidak pernah tewas dalam 19 perlawanan musim ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Ditanya sama ada mahu mengekalkan skuad ketika menewaskan KL Plus Rabu lalu, Sathianathan memberitahu, dia tetap akan membariskan pemain yang sama.

“Saya berpuas hati dengan apa yang mereka tunjukkan pada perlawanan lalu dan harap mereka akan terus mempamerkan aksi yang sama.

“Saya berharap agar semua pemain dapat meningkat prestasi sebelum kita berehat selama sebulan sempena bulan Ramadhan,” ujarnya.

Kelantan hampir pasti akan kehilangan penyerang lincahnya S. Chanturu yang masih cedera.

-Utusan Malaysia-

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.

Sokongan Kami Zaman Berzaman