Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!

Mohd Norfarhan Wira Red Warriors

Kemaskini pada 19/02/2012 / Oleh Webmaster

Penampilan pertama pemain import, Onyekachi Nwoha dalam perlawanan malam semalam begitu mengecewakan. Dia digantikan dengan Mohd Norfarhan Muhammad pada m-83 perlawanan.

KELANTAN 2
Indra Putra Mahayuddin (m-34)
Mohd Norfarhan Muhammad (m-90+1)

SARAWAK 1
Mohd Azizan Baba (m-20)

KOTA BHARU – Naib juara Piala FA musim lalu, Kelantan melangkah bergaya ke pusingan kedua setelah mengalahkan Sarawak 2-1 dalam aksi perlawanan dramatik pusingan pertama kempen Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Jaringan pemain gantian, Mohd Norfarhan dalam masa tambahan memastikan The Red Warriors terselamat daripada tersingkir awal dalam kempen Piala FA musim ini sambil memadamkan persembahan buruk pemain import, Onyekachi Nwoha dalam perlawanan malam tadi.

Beraksi di laman sendiri, Kelantan yang kehilangan penggempur berbisa Norshahrul Idlan Talaha pada awal permainan kerana kecederaan lutut memulakan asakan menerusi rembatan pemain import barunya, Onyekachi Nwoha pada minit ketiga namun tersasar di sebelah kanan pintu gol pasukan Sarawak.

Pemain pertahanan Sarawak, Yosri Derma Raju hampir meletakkan pasukannya di depan pada m-19 perlawanan namun sepakan percumanya terus ke dakapan penjaga gol Kelantan, Mohd Shahrizan Ismail.

Seminit kemudian, pasukan Sarawak mengejutkan tuan rumah apabila berjaya menjaringkan gol pertama. Kelekaan benteng pertahanan Kelantan dihukum apabila hantaran lintang Vedran Muratovic disempurnakan menerusi rembatan kencang Mohd Azizan Baba untuk gol pertama pasukannya.

Tiga minit berselang, pasukan pelawat kembali menggandakan asakan kali ini juga menerusi hantaran lintang Muratovic namun rembatan Ashri Chuchu diselamatkan oleh Mohd Shahrizan.

Begitupun Kelantan bangkit menyamakan kedudukan pada m-34 perlawanan menerusi jaringan bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin. Sepakan penjuru yang diambil oleh Mohd Badhri Radzi pantas ditanduk masuk oleh Indra Putra untuk gol penyamaan The Red Warriors.

Kelantan mempunyai dua peluang terbaik untuk berada dalam keadaan selesa sebelum menuju ke bilik persalinan namun rembatan Mohamad Ab Aziz Ismail dari jarak 25 meter pada m-39 dan tandukan Nwoha dua minit kemudian diselamatkan penjaga gol Sarawak, Sani Anuar Kamsani.

Tujuh minit babak kedua bersambung, Kelantan mendapat peluang terbaik untuk berada di depan namun rembatan Mohd Badhri hasil lorongan cantik Indra Putra sempat dikeluarkan pemain pertahanan pasukan Sarawak di depan pintu golnya.

Seminit kemudian, pasukan Sarawak hampir menjaringkan gol keduanya apabila percubaan Ashri daripada sudut sukar diselamatkan Obinna Nwaneri di atas garisan gol tatkala Mohd Shahrizan sudah pun tertewas di posisinya.

Pada m-68 perlawanan, pemain sayap, S Chanturu mempersiakan peluang terbaiknya untuk menjaringkan gol bagi Kelantan apabila memilih merembat liar setelah menerima umpanan cantik daripada Mohd Badhri.

Aksi hambar Nwoha sepanjang perlawanan malam tadi ternyata menggecewakan hampir 10,000 penyokong setia Kelantan. Bukan sahaja gerakannya tidak menjadi malah aksi wayangnya yang kerap kali terjatuh selain sering kehilangan bola mencerminkan beliau bukanlah pembelian terbaik The Red Warriors bagi mengharungi saingan Liga Malaysia pada musim ini.

Disebalik cemuhan terhadap pemain import dari Nigeria itu, pasukan Sarawak hampir menjaringkan gol pada m-77 perlawanan. Muratovic bijak melepasi perangkap ofsaid pertahanan Kelantan namun rembatannya pula tinggi meskipun hanya berhadapan dengan Mohd Shahrizan di pintu gol Kelantan.

Mohd Norfarhan Muhammad yang masuk menggantikan Nwoha pada m-83 perlawanan hanya memerlukan tiga minit untuk membuktikan sentuhan berbisanya apabila bijak memanfaatkan sepakan percuma pantas yang diambil Mohd Nurul Azwan namun rembatan kencangnya terus ke dakapan Sani Anuar.

Detik kemenangan untuk The Red Warriors akhirnya muncul dalam masa tambahan. Mohd Norfarhan layak digelarkan wira The Red Warriors apabila rembatannya melepasi jangkauan penjaga gol, Sani Anuar untuk membawa pasukannya mara ke pusingan kedua kempen Piala FA bertemu Kuala Lumpur pada 10 Mac depan.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Mohd Shahrizan Ismail, Mohd Daudsu Jamaluddin, Obinna Nwaneri, S Subramaniam, Mohamad Ab Aziz Ismail (Mohamad Zamri Ramli), Mohd Shakir Shaari, Mohd Badhri Radzi (KP),  S Chanturu, Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha (Mohd Nurul Azwan Roya) dan Onyekachi Nwoha (Mohd Norfarhan Muhammad).

FORMASI : 4-4-2

SARAWAK : Sani Anuar Kamsani, Mohammad Dzulazlan Ibrahim, Ramesh Lai Ban Huat, Sahran Abdul Samad, Guy Bwele (KP), Mohamad Rashid Mohamad Aya, Yosri Derma Raju, Mohd Azizan Baba, Ashri Chuchu, Zamri Morshidi (K Ravindran) dan Vedran Muratovic.

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (3) Sarawak (1)
Percubaan tersasar : Kelantan (8) Sarawak (1)
Sepakan penjuru : Kelantan (4) Sarawak (2)
Sepakan percuma : Kelantan (25) Sarawak (14)
Ofsaid : Kelantan (2) Sarawak (6)
Kekasaran : Kelantan (11) Sarawak (15)
Kad kuning : Kelantan (Mohamad Ab Aziz Ismail dan Mohd Shakir Shaari) Sarawak (Mohamad Rashid Mohd Aya dan Mohammad Dzulazlan Ibrahim)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :   Enam minit
Penguasaan bola : Kelantan (55%) Sarawak (45%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Mohd Yusof Mat Karim
Penolong Pengadil 1: Sabri Daud
Penolong Pengadil 2: Khalid Mohd Noh
Pegawai Keempat : Mohd Adri Tahir
Kommissioner Perlawanan : M Kathegesan
Penilai Pengadil : S Paramasivam
General Koordinator : Arif Hassan

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.


Sokongan Kami Zaman Berzaman