Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!

Nwakaeme Pukau Penyokong TRW

Kemaskini pada 08/02/2013 / Oleh Webmaster

Dickson Nwakaeme

KOTA BHARU – Penyerang import yang sedang diuji, Dickson Nwakaeme terus mempamerkan aksi memukau apabila membantu Kelantan menewaskan Felda United FC 2-0 dalam aksi perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, petang semalam.

Meskipun tidak menjaringkan gol, kelincahan pemain kelahiran Nigeria yang kerap memperdayakan pemain pertahanan lawan, selain keupayaannya membuka ruang kepada rakan sepasukan selain mencipta gerakan berbahaya cukup menghiburkan.

Sekali gus, dia menjadi calon import paling sesuai untuk menamatkan konflik ketumpulan jentera serangan Kelantan.

Keghairahan Nwakaeme untuk membuktikan kehebatannya di hadapan hampir 7,000 penyokong setia hadir seawal minit keempat menerusi gerakan menarik satu dua bersama Kapten, Indra Putra Mahayuddin, namun rembatan leretnya tidak menepati sasaran.

Selang lapan minit kemudian, penyerang bertubuh sasa itu bijak melakukan ‘dummy’ hasil hantaran lintang Salim Arrache, namun rembatan pemain sayap, Muhammad Izuan Mohd Salahuddin pula tinggi melewati pintu gol pasukan pelawat.

Malah Nwakaeme mempunyai peluang kedua untuk menjaringkan gol pada minit ke-21 hasil umpanan Mohd Daudsu Jamaluddin, namun rembatannya tersasar di sebelah kiri gawang Felda United FC.

Dua minit kemudian, giliran Salim pula mensia-siakan peluang terhidang apabila memilih menampan tinggi bola di depan gawang Felda United FC berpunca hantaran lintang Muhammad Izuan.

Pasukan pelawat yang turun tanpa penyerang import Lubnan, Mohammad Ghaddar yang kembali menyarung jersi negaranya pada pusingan Kelayakan Piala Asia 2015, hanya mempertaruhkan Razali Umar Kandasamy dan Rudie Ramli.

Bagaimanapun, mereka hampir mengejutkan tuan rumah pada minit ke-29 perlawanan.

Sepakan penjuru bekas pemain Johor FC dan Perlis, Mohd Syazwan Zainon pantas ditanduk tepat Shafizan Hashim, namun tiang gol menjadi penghalang ketika Muhammad Syazwan Yusoff sudah tertewas di posisinya.

Nwakaeme kembali mempamerkan kegarangan sebenarnya apabila mudah melepasi kekangan dua pemain pertahanan dua minit kemudian, namun percubaan Zairo Anuar Zalani hampa apabila gagal menembusi pintu gol Felda United FC.

Begitupun, Salim, pemain yang pernah beraksi bersama kelab Marseille di Perancis membuktikan ketajaman penyudahnya apabila menjaringkan gol pembukaan perlawanan menerusi rembatan kencang yang gagal diselamatkan Mohd Helmi Eliza Elias pada minit ke-33.

Hasilnya, Kelantan mendahului 1-0 sehingga tamat babak pertama.

Felda United FC bagaimana pun bermula garang sebaik sahaja tiga minit babak kedua bersambung apabila hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan jarak jauh pemain tengah, Wan Khairul Faiz Kamaruddin namun sekadar menggegarkan tiang gol Kelantan.

Percaturan Devan yang mencuba formasi baharu dengan menggandingkan Wan Khairul Faiz bersama Azi Shahril Azmi di bahagian tengah begitu berkesan apabila kedua-dua pemain tersebut dilihat sering kali menjana serangan buat pasukan mereka.

Dua minit kemudian, kelincahan Nwakaeme di dalam kotak penalti sekali lagi membuatkan pemain pertahanan lawan sesak nafas apabila beliau bertindak bijak melakukan hantaran lintang kepada Muhammad Izuan, namun rembatan bekas pemain Harimau Muda A itu tinggi melewati pintu gol.

Nwakaeme, penyerang yang pernah menyarung jersi Song Lam Nghe An FC dalam Liga Vietnam musim lalu terus memberi masalah kepada benteng pertahanan skuad kendalian K Devan lima minit kemudian.

Menerusi gerakan sama, tiga pemain Felda United FC mudah dilepasi beliau namun rembatan susulan bekas pemain T-Team, Zairo Anuar pula jauh meliar daripada gawang pasukan pelawat.

Indra Putra terus mempamerkan aksi berkualiti selaku pemain tengah terbaik negara apabila rembatan kencangnya hasil tolakan ke belakang pemain gantian, Mohd Subri menggegarkan palang sekali gus bola melantun masuk untuk gol kedua pada pada minit ke-72 perlawanan.

Anak buah Bojan Hodak bagaimanapun buntu menggandakan jaringan apabila percubaan Nwakaeme pada minit ke-76 mudah diselamatkan Mohd Helmi Eliza.

Sementara rembatan Mohd Haris Safwan Mohd Kamal pada minit ke-84 yang gagal ditangkap kemas penjaga gawang Felda United FC itu juga gagal menghasilkan gol.

Sebaliknya pasukan yang terkenal dengan jolokan ‘The Settlers’ hampir memperoleh gol sagu hati mereka tiga minit sebelum perlawanan berakhir.

Namun rembatan jarak jauh Shafizan berjaya ditepis keluar Norhadi Ubaidillah untuk keputusan 2-0 kekal milik Kelantan.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN – Muhammad Syazwan Yusoff (Norhadi Ubaidillah), Mohd Daudsu Jamaludin (Mohamad Zamri Ramli), Obinna Nwaneri (Lek Kcira), Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Zairul Fitree Ishak, K Nanthakumar (Azizi Matt Rose), Zairo Anuar Zalani (Mohd Badhri Radzi), Salim Arrache (Khairul Izuan Rosli), Muhammad Izuan Mohd Salahuddin (Mohd Faiz Subri), Indra Putra Mahayuddin (KP) (Mohd Haris Safwan Mohd Kamal) dan Dickson Nwakaeme.
FORMASI: 4-4-2

FELDA UNITED FC – Mohd Helmi Eliza Elias (Rozaimie Rohim), Mohd Rahman Zabul (Mohd Nizam Abu Bakar), Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussain (KP), Carlos Junior Pereira, Mohd Syazwan Zainon, Mohd Akmal Mohd Noor (Mohd Khairul Anuar Jamil), Azi Shahril Azmi, Wan Khairul Faiz Kamaruddin, Shafizan Hashim, Rudie Ramli (Mohd Fazli Zulkifli) dan Razali Umar Kandasamy (Mohd Rizal Ahmad).
FORMASI: 4-4-2

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.


Sokongan Kami Zaman Berzaman