
Peter James Butler
KOTA BHARU – Kepulangan semula bekas pengendali Kelantan musim 2009 Peter James Butler untuk melatih The Red Warriors tahun depan di sambut baik oleh peminat setia mereka.
Rata-rata peminat melaungkan keyakinan jurulatih kelahiran Halifax, England itu mampu meneruskan legasi kejayaan yang ditinggalkan oleh B. Sathianathan dan Datuk M. Karathu.
Seorang peminat setia The Red Warriors, Mohd. Fuad Mat Noor, 29, berkata, kepulangan Bulter ke pangkuan Kelantan tepat pada masanya selepas kehilangan khidmat Karathu.
“Berdasarkan pengalaman yang ada pada Butler saya yakin dan percaya beliau mampu meneruskan kejayaan buat Red Warriors. Kejayaan Bulter membimbing Kelantan muncul selaku naib juara Piala FA membuktikan kredibilitinya sebagai jurulatih yang hebat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melantik Butler sebagai ketua jurulatih baharu bagi musim 2012 berikutan pengunduran Karathu.
Turut mengalu-alukan kedatangan Butler ialah Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (kelate.net), Mohd. Khairi Yazid yang percaya beliau akan memantapkan pasukan Kelantan bagi menghadapi saingan musim hadapan.
“Pemilihan Bulter sememangnya tepat memandangkan cabaran musim hadapan cukup getir dimana kita akan beraksi di pentas Asia. Berdasarkan rekod 2009 saya yakin dan percaya corak persembahan Kelantan akan lebih mantap terutamanya pada bahagian jentera serangan,” katanya.
Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!