Pemain Harus Berkorban: Sathia
Entri Berita ini di tulis pada 20. Aug, 2010

B Sathianathan
KOTA BHARU – Dengan saingan kempen Piala Malaysia musim ini bakal membuka tirai pada 14 September depan, hari kelima di mana umat Islam menyambut perayaan Aidilfitri, pengendali Kelantan, B Sathianathan tidak mempunyai pilihan selain menuntut pengorbanan daripada anak-anak buahnya menyingkatkan cuti mereka menyambut perayaan tersebut.
“Ada tugas besar menanti mereka (menghadapi kempen Piala Malaysia), jadi mereka harus bersedia melakukan pengorbanan itu. Saya mungkin mengarahkan semua pemain turun menjalani latihan pada petang hari raya kedua nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
“Ini adalah masa di mana para pemain perlu bersedia melakukan pengorbanan besar. Bukan sahaja pemain, para pegawai pasukan pun tidak terkecuali dalam hal ini.
“Perayaan (hari raya) kita boleh sambut tiap-tiap tahun, tetapi peluang untuk memasuki ke perlawanan akhir Piala Malaysia bukan tiap-tiap tahun datang kepada kita,” katanya.
Sathianathan berkata, lawan pertama yang akan dihadapi oleh Kelantan di Kota Bharu ialah juara bertahan, Negeri Sembilan, justeru pemainnya harus menyiapkan pasukan yang mantap menghadapi seterunya itu.
“Pemain harus memahami tanggungjawab di mana peminat setia Kelantan betul-betul dahagakan kemenangan. Jadi ini adalah masa untuk mereka membalas kepercayaan peminat selama ini,” katanya.
Ditanya mengenai tahap kecergasan pemainnya, Sathianathan berkata, pemain menyedari bahawa mereka perlu melakukan ‘kerja rumah’ sebagaimana yang diarahkan oleh beliau sebaik sahaja saingan liga berakhir baru-baru ini.
“Mereka semua dibayar gaji, walaupun tidak bermain dalam bulan puasa tetapi mereka masih perlu bekerja. Kerja rumah yang saya bekalkan itulah yang mereka harus lakukan.
“Saya tidak akan berkompromi mengenai tahap kecergasan mereka. Kita tengok keadaan mereka pada ujian kecergasan pada 21 Ogos ini, sama ada mereka berjaya atau tidak melepasi tahap kecergasan ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, kalau pemain datang dengan kosong (tanpa kecergasan yang dikehendaki), maka dia juga terpaksa memulakan daripada bawah. Pemain mungkin terpaksa mengharungi latihan dua atau tiga jam setiap malam.
“Kalau mereka tidak cergas, bermakna saya perlu mengarahkan mereka menjalani latihan tanpa bola. Mereka semua perlu banyak berlari tanpa bola dalam latihan nanti. Begitulah sebaliknya, kalau mereka cergas sepenuhnya, sudah pasti menyenangkan kerja saya, mereka menjalani latihan dengan bola.
“Kecergasan cukup penting dalam semua kegiatan sukan. Anda belum tentu dapat bermain bola sepak walaupun hanya 20 minit kalau tidak mempunyai tahap kecergasan tinggi,” katanya.
Last 5 posts by Mat Yu Soleh
- Balestier Khalsa Uji Red Warriors - February 4th, 2012
- Nwaneri, Okocha Sah Beraksi Malam Esok - February 3rd, 2012
- Harimau Malaya Baham Red Warriors - February 2nd, 2012
- Kelantan Bukan Lawan Mudah - Rajagobal - February 1st, 2012
- Video Highlights| Samad Okocha Awudu - January 31st, 2012




