Peminat Red Warriors Hasilkan Replika Tayar


#M Volkswagen Malaysia meraikan Tahun Baru Cina

email

KOTA BHARU – Saingan kempen Piala Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi bukan sahaja membangkitkan semangat juang yang tinggi dalam kalangan para pemain bola sepak Kelantan, tetapi juga kian menular dalam kalangan peminat fanatik bola sepak di negeri ini sendiri.

Kampung Lepan Kandis yang terletak di Jalan Kemubu, Pulau Chondong, dan terletak 30 kilometer dari ibu negeri ini mungkin mendahului kampung lain di negeri ini menyatakan sokongan luar biasa terhadap bola sepak Kelantan.

Inisiatif yang dilakukan oleh penduduk kampung itu dengan membina replika The Red Warriors daripada barangan terbuang seperti tayar kenderaan mungkin boleh menjadi contoh terbaik di atas semangat yang ditunjukkan itu.

Penyelaras projek tersebut yang juga Ahli Majlis Tertinggi Kelate.Net, Mahizi Mahmood berkata, pihaknya mengambil masa hampir seminggu untuk menyiapkan replika tayar The Red Warriors itu.

“Atas dasar cintakan bola sepak Kelantan, kami mengambil pendekatan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap pasukan bola sepak Kelantan dengan mewujudkan replika tayar ini. Semua ini dilakukan atas semangat menyokong bola sepak Kelantan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Walaupun secara kasarnya replika ini dilihat agak ringkas, tetapi proses pembuatannya tidak semudah yang disangkakan terutamanya dari segi menyiapkan logo Kafa itu.

“Semuanya dilakukan secara gotong-royong dan kita hanya mengeluarkan belanja sekitar RM100 bagi kos membeli cat dan mencetak logo Kafa, sementara kerja mengecat dan menghiasi replika ini dilakukan oleh kami sendiri,” katanya.

Mahizi berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada syarikat Kijang Kuari Sdn Bhd yang sudi menyumbangkan tayar terpakai itu bagi tujuan pembinaan replika itu.

Ahmad Salleh, 55 tahun, berkata, beliau memuji semangat yang ditunjukkan dalam kalangan penduduk kampung itu yang begitu teruja memberi sokongan padu terhadap kebangkitan mendadak prestasi bola sepak Kelantan sejak akhir-akhir ini.

“Apa yang menarik, kewujudan replika tayar TRW sejak seminggu lalu telah menarik perhatian orang ramai yang melalui jalan utama di kampung ini.

“Walaupun jumlah penduduk kampung ini sekitar 200 orang sahaja, tetapi semangat setia kawan yang ditunjukkan mencerminkan sikap bekerjasama dan bersatu padu dalam menjayakan sesuatu perkara sentiasa melekat di hati penduduk kampung ini.

“Kita berharap kewujudan replika ini mampu menjadi ikutan dalam kalangan kampung-kampung lain di sekitar negeri ini dengan mereka cipta pelbagai replika lain berasaskan bola sepak dan semoga kita bersama-sama menyemarakkan kembali kemeriahan bola sepak Kelantan pada tahun ini,” katanya.

Last 5 posts by Mat Yu Soleh


Fan Page Kelate.Net KelateDotNet Twitter

#M PETRONAS Syntium Team – Super Taikyu Endurance Series

Leave a Reply