
Juara Liga Super 2011
Pentas suku akhir piala Malaysia 2011 merupakan pentas terakhir buat pasukan TRW memperagakan aksi sebagai pahlawan merah yang semakin digeruni. Walaupun tewas dan gagal mempertahankan status sebagai juara bertahan, namun kita sebagai rakyat Kelantan dan sebagai pemain yang ke-13 harus berbangga dengan pencapaian yang dilakar oleh pasukan TRW sepanjang tahun 2011.
Muncul juara Piala Sumbangsih menumbangkan musuh ketat TRW iaitu Selanggor dan diikuti dengan status sebagai Juara Liga Super 2011 membuktikan betapa hebatnya penampilan TRW musim ini. Walaupun nasib tidak menyebelahi TRW dalam pentas Final Piala FA setelah tumbang kepada jiran tetangga yang juga merupakan musuh tradisi iaitu Terengganu, sudah cukup membuktikan betapa TRW bukan calang-calang pasukan untuk dihadapi oleh setiap pasukan, apatah lagi setiap kali TRW beraksi di kandang keramat sambil dikeremuni dengan lautan merah yang sentiasa membakar semangat para pemain TRW untuk melakar kemenangan.
Kepada para penyokong TRW, teruskan sokongan anda dalam membantu kegemilanggan TRW untuk tahun-tahun mendatang. “Gomo kelate Gomo” akan terus kita laungkan demi kebangkitan TRW pada musim akan datang. Ayuh para penyokong semua, tekadkan azam dan semangat sang pahlawan merah dalam hati sanubari kita untuk terus menyokong erti perjuangan yang belum selesai. Cabaran mendatang pasti lebih besar yang menunggu untuk kita sama-sama tempuhi bersama.
Kepada para pemain TRW,kami sentiasa di belakang anda untuk memberikan sorakan keramat “Gomo Kelate Gomo” bagi mencapai kemenangan. Jadikan peristiwa semalam sebagai pengajaran dan tauladan yang berguna buat kita semua sebagai persediaan menempuhi cabaran yang mendatang yang pasti lebih hebat dan penuh ranjau. Buat semua, berbanggalah menjadi pemain,penyokong dan peminat TRW kerana inilah nadi dan semangat yang akan mencorakkan perjalanan sebenar” Sang Juara”. TRW sentiasa di hatiku.
Oleh: Zaidan Brazil
Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!