Kelate.net

Rahmat Buat Red Warriors

Kemaskini pada June 20, 2015 / Oleh Webmaster


ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!
Pemain tengah skuad Piala Presiden Kelantan, Mohd Amir Zikri (belakang) dipanggil menjalani bersama skuad senior ketika ini.

BERITA penangguhan dua aksi Liga Super sepanjang Ramadan bukan sahaja disambut gembira malah bagaikan satu rahmat buat kem The Red Warriors dalam mempersiapkan pasukan berkenaan mengharungi saingan liga domestik itu.

Keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminda dua perlawanan melibatkan Kelantan menentang Sime Darby pada 20 Jun dan Angkatan Tentera Malaysia (27 Jun) ke satu tarikh lain dianggap bertepatan.

Malah ia membolehkan pemain Kelantan lebih fokus terhadap persiapan setelah kerajaan negeri tidak berganjak dengan keputusan awal tidak membenarkan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu digunakan sepanjang bulan Ramadan ini.

Situasi Menang-Menang

Tentunya, individu paling lega sekali adalah Ketua Jurulatih Kelantan, Mohd Azraai Khor Abdullah yang menyifatkan penangguhan dua perlawanan itu sebagai situasi menang-menang bagi pasukannya.

“Keputusan itu (pinda perlawanan) adalah tepat. Sejujurnya, ruang yang ada ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi mencari kombinasi terbaik dan memperbaiki kelemahan dalam pasukan ini.

“Persiapan pasukan tak terjejas meskipun kita terpaksa berlatih dan bermain dalam bulan puasa pada tahun ini. Ini (berlatih) adalah perkara biasa sejak beberapa tahun lalu malah semua pasukan juga perlu menghadapi perkara yang sama,” katanya.

Ujian Pemain Muda

Malah sepanjang tempoh rehat ketika ini, pengendali berusia 63 tahun itu sempat mengatur dua perlawanan persahabatan yang berkesudahan Kelantan tewas 3-4 kepada Negeri Sembilan manakala satu lagi menentang T-Team terpaksa dihentikan setelah pemain import lawan, David Famarola Oniya meninggal dunia.

Pada aksi yang berlangsung di Kota Baharu pada 12 Jun lalu, Kelantan sedang mendahului 3-2 namun pengadil perlawanan menamatkan permainan lebih awal setelah mendapat pengesahan kematian pemain import Nigeria itu.

“Saya telah menguji tiga pemain muda daripada skuad Piala Presiden iaitu Ahmad Syihan Hazmi (Mohamed), Mohd Qayyum (Marjoni Sabil) dan Mohd Amir Zikri (Mohd Pauzi) dan mereka telah menunjukkan prestasi baik dalam perlawanan itu,” katanya.

www.sinarharian.com.my

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.

Sokongan Kami Zaman Berzaman