
KELANTAN 2
Mohd Fazliata Taib (gol sendiri m-45+2)
Mohammad Ghaddar (m-55)
KEDAH 1
Mohd Khyril Muhymeen
Zambri (m-88)
Kutip tiga mata penuh, terus kejar takhta liga
KOTA BHARU – Perebutan takhta kejuaraan Liga Super semakin memuncak di antara juara musim lalu, Kelantan dengan kelab jemputan dari Singapura, Lions XII tatkala saingan liga hanya berbaki kurang sebulan untuk ditamatkan.
Dalam aksi perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi, The Red Warriors memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Kedah di hadapan hampir 20,000 penyokong setia mereka.
Kemenangan malam tadi mengukuhkan kedudukan Kelantan di tangga kedua dengan 41 mata sementara Lions XII meraih 47 mata setelah berpesta gol membelasah Sabah 9-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura.
Percubaan Kelantan hadir seawal minit ketiga perlawanan menerusi pemain tengah, Mohd Nurul Azwan Roya namun rembatannya di luar kotak penalti tinggi melewati pintu gol Kedah.
Kedah kembali membalas serangan seminit kemudian menerusi lambungan jauh Mohd Fauzie Nan kepada Mohd Khyril Muhymeen Zambri yang bijak melepasi perangkap ofsaid pemain tuan rumah namun rembatan derasnya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Kelantan.
Tiga minit berselang, Mohd Norfarhan Muhammad mensia-siakan peluang terbaik Kelantan apabila tampanannya hasil umpanan Mohd Nurul Azwan dalam situasi kelam-kabut di depan pintu gol Kedah diselamatkan penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Elias.
Kelantan sekali lagi mempunyai peluang untuk berada di depan pada minit ke-19 perlawanan namun lorongan cantik Kapten, Mohd Badhri gagal disempurnakan Indra Putra Mahayuddin di dalam kotak penalti pasukan pelawat.
Corak permainan berhati-hati yang dipamerkan pemain Kelantan bertukar menjadi hambar apabila banyak deretan peluang yang dimiliki gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.
Sebaliknya pasukan bimbingan Wan Jamak Wan Hassan tampil dengan asakan berbahaya pada minit ke-39 perlawanan. Pemain tengahnya, See Kok Luen hampir meletakkan Sang Kenari di depan namun bola rembatan separa voli sedikit melewati pintu gol Kelantan.
Gol yang ditunggu-tunggu oleh Kelantan akhirnya tiba pada penghujung babak pertama. Kesilapan pemain pertahanan Kedah, Mohd Fazliata Taib tertampan bola secara tidak sengaja dalam usahanya mengeluarkan hantaran lintang Mohammad Ghaddar menghadiahkan gol pertama untuk Kelantan.
Babak kedua bersambung menyaksikan tidak ada pertukaran pemain dilakukan kedua-dua pasukan. Namun Kelantan bermula garang menerusi rembatan kencang Mohammad Ghaddar daripada sudut sukar yang menyaksikan bola sekadar menerjah jaring sisi gawang gol Kedah pada pada minit ke-47 perlawanan.
Kedah bagaimanapun bangkit selepas itu memberi saingan menerusi percubaan Abd Elfatah Safi pada minit ke-52 yang sedikit melewati pintu gol manakala rembatan Kaptennya, Baddrol Bakhtiar dua minit berselang pula gagal menepati sasaran.
Seminit kemudian, Mohammad Ghaddar menggamatkan suasana di stadium apabila menjaringkan gol kedua Kelantan. Umpanan pendek Mohd Norfarhan dimanfaatkan Mohammad Ghaddar menerusi rembatan kencang menewaskan Mohd Helmi Eliza di pintu golnya.
Ketinggalan dua gol, barisan pemain Kedah ternyata tidak mudah berputus asa dan kembali memperkemaskan corak menyerang mereka. Tindakan bek kanan Kelantan, Mohd Daudsu Jamaluddin mengasari See Kok Luen di dalam kotak penalti pada minit ke-61 memaksa pengadil perlawanan memberikan sepakan penalti kepada pasukan pelawat.
Namun Elfatah Safi gagal merapatkan jurang kedudukan untuk Kedah apabila sepakannya ke penjuru sebelah kanan berjaya diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat.
Kedah sekali lagi gagal merapatkan jurang apabila rembatan Elfatah Safi pada minit ke-65 sekadar menerjah jaring sisi sebelah kanan pintu gol Kelantan sementara kuisan pemain sayap, Mohammad Faizal Abu Bakar empat minit kemudian dipatahkan Khairul Fahmi.
Usaha berterusan pemain Kedah untuk merapatkan kedudukan bagaimanapun berhasil pada minit ke-88 perlawanan. Kesilapan bek tengah Kelantan, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid yang gagal melakukan hantaran tepat kepada rakan sepasukan dihukum oleh Mohd Khyril Muhymeen menerusi rembatan rendah untuk menewaskan Khairul Fahmi di gawang gol Kelantan.
Begitu pun, tambahan masa empat minit gagal membantu Kedah untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata ke Alor Setar. Ketangkasan Khairul Fahmi berjaya menafikan rembatan leret Elfatah Safi sementara percubaan pemain gantian, Mohd Sabre Mat Abu sekadar menggegarkan palang gol untuk membolehkan Kelantan mengukir kemenangan ke-12 dalam saingan liga setakat ini.
Kesebelasan utama pemain :
KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, S Subramaniam, Mohamad Zamri Ramli (Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim), Mohd Nurul Azwan Roya (S Chanturu), Mohd Shakir Shaari, Mohd Badhri Radzi (KP), Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad (Muhammad Ramzul Zahini Adenan) dan Mohammad Ghaddar.
FORMASI : 4-4-2
KEDAH : Mohd Helmi Eliza Elias, Mohd Fauzie Nan, Mohd Fazliata Taib (Khairul Helmi Johari), V Thirumurugan, Mohd Fiqkry Mohd Isa (Mohd Sabre Mat Abu), See Kok Luen (Amar Rohidan), Abd Elfatah Safi, Baddrol Bakhtiar (KP), Mohammad Faizal Abu Bakar, Mohd Khyril Muhymeen Zambri dan Vedran Gerc.
FORMASI : 4-4-2
STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (4) Kedah (5)
Percubaan tersasar : Kelantan (6) Kedah 8)
Sepakan penjuru : Kelantan (4) Kedah (3)
Sepakan percuma : Kelantan (13) Kedah (15)
Ofsaid : Kelantan (3) Kedah (3)
Kekasaran : Kelantan (12) Kedah (9)
Kad kuning : Kelantan (Mohd Badhri Radzi dan Mohammad Ghaddar) Kedah (Mohd Fazliata Taib, V Thirumurugan dan Baddrol Bakhtiar)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : Enam minit
Penguasaan bola : Kelantan (52%) Kedah (48%)
PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Mohd Yusof Mat Karim
Penolong Pengadil 1: Azman Ismail
Penolong Pengadil 2: Yusri Mohamad
Pegawai Keempat : Ku Alauddin Ku Mohd
Kommissioner Perlawanan : Othman Omar
General Koordinator : Arif Hassan
Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!