
B. Sathianathan
KETIKA Selangor mula berkira-kira untuk menjulang trofi Liga Super musim ini, Kelantan pula pasrah andai mereka sekali lagi kempunan untuk muncul juara, lapor KHAIRI MOHAMAD.
Malam ini, Selangor mampu mengesahkan kejuaraan Liga Super menjadi milik mereka sekiranya berjaya membenam Terengganu di Stadium Shah Alam.
Bagaimanapun, Kelantan tetap berazam untuk mengutip tiga mata penuh ketika turun menentang Johor FC di Pasir Gudang malam ini.
Dengan hanya dipisahkan lima mata berbanding Selangor ketika saingan berbaki dua perlawanan, jurulatih Kelantan, B. Sathianathan (gambar) kini seakan- akan tidak kisah sama ada trofi Liga Super akan terus kekal di Sela- ngor ataupun mungkin ‘berpindah’ ke Kota Bharu.
Menurutnya, apa yang penting misi Kelantan adalah mengekalkan rekod hanya tewas satu perlawanan sepanjang 26 aksi Liga Super bagi musim 2010.
“Musim lepas kita di tangga keenam liga dan kini kita berada di tangga kedua dan terus memberi tekanan kepada pendahulu liga (Selangor).
“Saya rasa ia suatu yang baik dan saya yakin semua orang termasuk peminat boleh berbangga dengan pencapaian tersebut.
“Sekiranya Selangor menang malam esok (malam ini) sudah tentu kejuaraan akan menjadi milik mereka tetapi saya yakin ia tidak memberikan kesan kepada pemain saya kerana kami kini sedang bersiap untuk mengharungi cabaran Piala Malaysia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambahnya, berdepan Johor FC bukan suatu tugas yang mudah dan para pemainnya sedar dengan cabaran yang terpaksa mereka hadapi terutama beraksi di tempat lawan.
“Sokongan yang diberikan oleh para peminat Kelantan sudah tentu tidak ternilai harganya.
“Saya tahu dan pemain juga tahu, para peminat sentiasa mahukan kemenangan dan kami juga mahu semua peminat tahu kami sentiasa berusaha memberikan yang terbaik setiap kali turun beraksi.
“Tekanan pasti ada tambahan pula beraksi di tempat lawan. Saya mahu pemain sentiasa fokus dan kita akan terus kekalkan rekod ke- menangan ini sehingga ke penghujung saingan liga,” ujarnya.
-Kosmo-
Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!