Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!

Saya Masih Jurulatih Kelantan: Butler

Kemaskini pada 18/02/2012 / Oleh Webmaster
Peter Butler

KOTA BHARU – Jodoh Ketua Jurulatih, Peter Butler bersama The Red Warriors nampaknya masih kekal utuh apabila pengendali berusia 46 tahun itu mengesahkan terus membimbing pasukan tersebut meskipun mencetuskan ‘ribut’ beberapa hari lalu.

Bekas jurulatih kelab BEC Tero Sasana yang beraksi dalam Liga Thailand pada musim lalu itu berkata, insiden yang dicetuskan oleh beliau sendiri itu dianggap selesai setelah beliau mengadakan pertemuan tertutup dengan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Azman Ibrahim di sini semalam.

“Saya masih Ketua Jurulatih Kelantan dan tidak ada sebab untuk saya meninggalkan pasukan ini. Lagipun saya masih mempunyai kontrak selama dua tahun dengan Kelantan  dan saya sentiasa mengambil berat soal pasukan ini,” katanya dalam sidang media ringkas di Kota Bharu semalam.

“Apa jua andaian yang dilontarkan saya tetap berada di sini (Kota Bharu). Hari ini (petang semalam) pun saya akan kembali ke padang mengendali sesi latihan seperti biasa. Saya gembira mengendali pasukan ini malahan saya tidak memikirkan langsung perkara lain.

“Namun secara jujurnya saya mempunyai perasaan dan pendirian tersendiri. Tan Sri Annuar Musa (Presiden Kafa) pun tahu mengenai perkara ini. Kadang-kala saya perlu meluahkan pandangan yang saya fikirkan benar,” katanya.

Butler, Jurulatih kelahiran Halifax, England beberapa hari lalu mencetuskan ‘hubungan dingin’ apabila mengeluarkan kenyataan berbaur tidak puas hati ekoran tindakan pihak pengurusan Kafa memilih pemain import baru, Onyekachi Nwoha tanpa merujuk kepada beliau dan tindakan tersebut dilihat seolah-olah mencampuri urusan kerjanya selaku pengendali pasukan.

Ditanya adakah hubungan beliau dengan pemimpin nombor satu bola sepak negeri itu renggang setelah mengeluarkan kenyataan pedas di media beberapa hari lalu, Butler menjelaskan beliau tetap berhubung seperti biasa dengan Annuar.

“Kami sentiasa berhubung dan beliau selalu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dan bercakap dengan saya setiap hari. Sebab itu saya masih berada di sini. Ia tidak akan mengubah keadaan (meletak jawatan) dan segalanya tetap berjalan seperti biasa.

Malah Butler sekali lagi turut menafikan khabar angin mengenai berita peletakan jawatan beliau selaku Ketua Jurulatih Kelantan seperti yang digembar-gemburkan dan menganggap berita tersebut karut semata-mata.

“Dunia bola sepak penuh dengan pelbagai spekulasi dan andaian. Saya sudah berada di dalam bidang ini selama 25 tahun. Saya tidak dapat lari daripada pelbagai perkara seperti ini. Namun setiap orang mempunyai pendapat masing-masing dan berhak bersuara dan saya juga tidak terkecuali.

“Saya ada tugas dengan pasukan ini. Kita perlu persiapkan pasukan kerana akan menghadapi Sarawak dalam saingan kalah mati kempen Piala FA. Perkara itu yang menjadi keutamaan bagi saya sekarang,” katanya.



Sokongan Kami Zaman Berzaman